Anda mungkin sering mendengar dakwaan bahawa terdapat tujuh orang yang berwajah serupa di atas muka Bumi. Jika dakwaan itu benar, apakah kebarangkalian untuk anda bertemu mereka?

Berdasarkan populasi hari ini sebanyak 7.8 bilion, kemungkinan untuk bertemu orang berwajah serupa adalah 1 dalam 557 juta jika mengambil kira separuh populasi adalah lelaki manakala selebihnya wanita. Ini bermakna, kemungkinan untuk bertemu seseorang yang mirip seperti anda adalah sangat tipis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, ia bukanlah mustahil. Kisah seterusnya menceritakan bagaimana kembar seiras yang terpisah sejak lahir tanpa mengetahui kewujudan antara satu sama lain boleh bertemu. Berikut adalah kisah mengenai Bobby, Eddy dan David.

Pertemuan semula kembar tiga

Robert Shafran atau lebih dikenali sebagai Bobby, baru sahaja diterima untuk menyambung pelajarannya di Kolej Komuniti Sullivan di New York pada tahun 1980. Pada hari pertama di kolej tersebut, dia terkejut apabila disambut dengan baik seperti mereka sudah lama mengenalinya.

bobby bertemu eddy

Bobby bertemu Eddy

Lebih mengejutkan, semua orang memanggilnya dengan nama Eddy. Bobby berasa bingung, terkejut dan terharu dengan peristiwa aneh yang berlaku pada hari pertama kuliahnya. Bobby akhirnya mendapat jawapan apabila seorang pelajar bernama Michael Domnitz menerangkan perkara sebenar kepadanya.

Menurut Michael, rakan baiknya bernama Eddy Galland mempunyai wajah yang sangat mirip dengan wajah Bobby. Hampir semua orang di kuliahnya menyangka bahawa Bobby adalah Eddy memandangkan Eddy tidak hadir pada hari itu.

Michael kemudian mempelawa untuk membawa Bobby bertemu Eddy yang tinggal di Long Island. Tanpa mengetahui dia akan bertemu dengan kembarnya pada hari pertama memasuki kolej, Bobby bersetuju.

Apabila kedua-dua kembar itu bertemu, mereka tergamam dan memandang antara satu sama lain selama beberapa minit. Ini kerana mereka tidak tahu langsung tentang kewujudan kembar mereka sehingga bertemu semula pada usia 19 tahun. Sebenarnya, kejutan yang lebih besar menanti mereka.

Terpisah selama 19 tahun

bobby eddy dan david ketika bayi

Bobby, Eddy dan David ketika bayi

Beberapa bulan kemudian, ibu angkat kepada Eddy menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang tidak dikenalinya sambil berkata "Saya rasa saya adalah yang ketiga". Lelaki itu adalah David Kellman, seorang lagi kembar kepada Bobby dan Eddy.

David merupakan pelajar Quenns College yang juga terletak di New York. Setelah terbaca artikel surat khabar mengenai pertemuan semula kembar yang lama terpisah, David terkejut apabila mendapati Bobby dan Eddy sangat mirip dengan wajahnya sendiri. David yang juga anak angkat kepada keluarganya yakin bahawa dia adalah kembar kepada Bobby dan Eddy.

Akhirnya, ketiga-tiga kembar itu disatukan semula dan sangat gembila apabila mengenai antara satu sama lain. Mereka juga menyedari bahawa memiliki banyak persamaan seperti menghisap rokok jenama Marlboro, meminati gusti dan mempunyai ciri-ciri wanita idaman yang sama.

Kisah Bobby, Eddy dan David mula menjadi paparan di banyak akhbar dan berita. Kembar tiga itu menjadi terkenal dalam sekelip mata dan menyukai populariti itu. Mereka juga memutuskan untuk tinggal bersama.

bobby eddy dan david

Bobby, Eddy dan David di restoran mereka 

Mereka sering dilihat memakai pakaian yang sama dan bercakap serentak atau menghabiskan ayat antara satu sama lain. Selain itu, mereka juga membuka sebuah restoran bernama Triplets pada tahun 1988.

Kebahagian tidak berkekalan

Keretakan mula terbentuk dalam hubungan antara Bobby, Eddy dan David kerana merasakan ada yang dipinggirkan antara satu sama lain. Ketegangan juga mula timbul antara mereka.

Pada tahun 1995, Eddy Galland yang mempunyai hubungan tegang dengan ayah angkatnya telah dimasukkan ke dalam hospital kerana kemurungan teruk. Masalah mental Eddy menjadi semakin teruk sehingga akhirnya membawa kepada dia menembak dirinya sendiri sehingga mati.

kembar tiga berpisah

Sedih dengan kematian saudara kembar mereka, hubungan Bobby dan David menjadi renggang dan akhirnya mereka membawa haluan masing-masing.

Kekejaman atas nama sains

Pada tahun yang sama, seorang wartawan dan juga pemenang Hadiah Pulitzer bernama Lawrence Wright telah menerbitkan sebuah artikel mengenai satu kajian psikologi yang mengejutkan.

Satu pasukan penyelidik yang diketuai oleh Pakar Psikologi Amerika bernama Peter Neubauer telah memisahkan anak kembar seperti Bobby, Eddy dan David dengan bantuan agensi anak angkat. Bayi kembar malang ini telah diatur untuk diberikan kepada ibu bapa angkat berlainan latar belakang sosio-ekonomi sejak mereka lahir lagi.

peter neubauer

Peter Neubauer, ketua saintis yang memisahkan ramai kembar

Bobby, Eddy dan David pada mulanya percaya bahawa mereka terpisah disebabkan keadaan. Hakikatnya, mereka sengaja dipisahkan sebagai sebahagian daripada kajian psikologi rahsia peringkat tertinggi. David telah diserahkan kepada keluarga kelas pekerja, Eddy kepada keluarga berpendapatan sederhana makanala Bobby pula kepada keluarga yang agak kaya.

Pasukan penyelidik yang juga tidak memberitahu hal yang sebenar kepada ibu bapa angkat ketiga-tiga kembar ini. Mereka terus melakukan kajian dan hanya memberitahu ibu bapa angkat kembar ini bahawa ia adalah "kajian perkembangan biasa". 

Demi kajian mereka, pasukan penyelidik lupa bahawa ia melibatkan manusia yang mempunyai perasaan dan akan memberi kesan mendalam terhadap kehidupan kanak-kanak ini kelak. Mereka sanggup menutup sebelah mata ke atas perbuatan kejam terhadap bayi-bayi ini hanya atas nama sains.

Seorang pengarah bernama Tim Wardle telah menerbitkan sebuah dokumentari pada tahun 2018 bertajuk Three Identical Stranger di mana ia mendedahkan kesan yang dialami Bobby dan David akibat kajian ini.

bobby dan david kini

Bobby dan David kini

Bobby dan David mendakwa mereka amat kecewa dan marah kerana menjadi subjek kepada eksperimen yang tidak berperikemanusiaan ini. Mereka juga pasti bahawa ramai lagi kembar yang mengalami nasib yang sama seperti mereka.

Walaupun setelah 40 tahun, eksperimen itu masih memberi kesan mendalam terhadap kehidupan Bobby dan David. Peter Neubauer selaku ketua pengkaji tidak pernah mendedahkan kajiannya terhadap umum dan berapa banyak bayi telah menjadi mangsa kajiannya. Kajiannya itu masih lagi disimpan dalam peti berkunci di Universiti Yale dan hanya akan dibuka pada tahun 2065.




Hakcipta iluminasi.com (2017)