Oleh pada 08 Mar 2022 kategori

Mungkin kebanyakan daripada anda pernah menikmati keenakan coklat jenama Hershey yang popular di seluruh dunia. Namun, tidak ramai mengetahui mengenai pengasas syarikat coklat ini iaitu Milton Hershey. 

Milton memperolehi kekayaannya setelah berjaya menghasilkan coklat susu secara besar-besaran yang pada masa itu adalah produk mewah yang dihasilkan oleh orang Jerman dan Switzerland. Walaupun kaya-raya, Milton sebenarnya adalah seorang yang sangat pemurah. Berikut adalah kisahnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah awal Milton Hershey

Dilahirkan pada 13 September 1857 di Derry, Pennsylvania, Milton Snavely Hershey merupakan anak kepada pasangan petani berketurunan Switzerlan dan Jerman.

Sebagai seorang anak petani, Milton tidak mendapat pendidikan tinggi dan hanya bersekolah sehingga darjah empat sahaja. Ketika berusia 14 tahun, dia mendapat pekerjaan di sebuah syarikat akhbar Jerman-Inggeris tetapi tidak gembira dengan kerjanya itu.

milton hershey muda

Milton Hershey ketika muda

Bapa Milton berang apabila anaknya dipecat daripada syarikat akhbar itu tetapi ibunya mencadangkan supaya Milton menceburi bidang pembuatan manisan pula. Milton kemudian belajar untuk membuat gula-gula dan aiskrim daripada Joseph Royer di Lancaster, Pennsylvania.

Setelah empat tahun mengikuti Joseph Royer, Milton kembali untuk memulakan perniagaannya sendiri. Dia berpindah ke Philadelphia pada tahun 1876 di mana ia merupakan tahun Amerika Syarikat mengadakan World's Fair yang pertama. Milton berharap pameran itu akan membuatkan perniagaannya berjaya.

Kegagalan perniagaan Milton Hershey

Walaupun mendapat bantuan kewangan daripada ibu dan ibu saudaranya, perniagaan pertama Milton Hershey gagal teruk dan syarikatnya diisytiharkan muflis pada 1882. Dia kemudian berpindah ke Colorado untuk mencari pekerjaan ketika Amerika dilanda kemelesetan ekonomi.

milton hershey dan isteri

Milton Hershey dan isterinya, Catherine.

Di sanalah Milton mempelajari ilmu membuat gula-gula karamel menggunakan susu segar. Pada tahun 1883, dia memulakan perniagaan manisannya yang kedua di New York.

Namun, perniagaan keduanya juga tidak bertahan lama kerana masalah aliran tunai dan polis merampas peralatan membuat gula-gula kerana gagal membayar hutang. Menjelang tahun 1886, Milton Hershey hampir muflis.

Dia menggunakan wang terakhir yang ada padanya untuk membeli tiket kereta api pulang ke Lancaster. Di tempatnya sendiri, dia dianggap sebagai seorang yang gagal.

Belajar menghasilkan coklat

Di Lancaster, Milton Hershey yang berusia 29 tahun ketika itu akhirnya bernasib baik. Ketika membantu ibu dan ibu saudaranya menghasilkan manisan, Milton secara tidak sengaja mencipta sejenis karamel yang digelarnya sebagai "Crystal A".

hershey crystal a

Hershey mula menjual produk Crystal A kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya dan menjanjikan bahawa ia akan "cair di dalam mulut anda." Dia bernasib baik apabila salah bertemu dengan seorang pengimport gula-gula British yang sangat tertarik dengan produk itu sehingga meminta pesanan borong.

Setelah mendapat pinjaman daripada Bank Kebangsaan Lancaster, Milton mengasaskan Lancaster Caramel Company pada tahun 1886 dan hanya menjual coklat secara borong kepada pelanggan. Perniagaan itu merupakan satu kejayaan besar sehingga Milton mempunyai dua kilang dan 1,300 pekerja pada 1890-an.

Pada tahun 1892, Milton membeli sebuah mesin pembuat coklat dari Jerman. Sebelum itu, Milton hanya menggunakan coklat sebagai salutan pada gula-gula karamelnya. Milton merancang untuk membuat peralihan dalam perniagaannya.

Syarikat Coklat Hershey

Pada tahun 1900, Milton menjual Lancaster Caramel Company dengan harga USD 1 juta. Walaupun kehilangan perniagaan dan produk "Cystal A" yang menguntungkan tetapi dia bijak apabila mengekalkan hak resipi coklatnya.

kilang coklat hershey

Kilang asal coklat Hershey di Pennsylvania

Hasil daripada jualan itu, dia kemudian mengasaskan Syarikat Coklat Hershey di Bandar Derry di mana dia tahu bahawa kawasan ladang di situ mempunyai bekalan tenusu yang mencukupi untuk perniagaannya. Pada tahun 1905, produk terkenalnya iaitu Hershey Kiss memasuki pasaran.

Walaupun mempunyai wang yang begitu banyak, Milton Hershey dan isterinya, Catherine Sweeney, tidak mempunyai zuriat untuk mewarisi kekayaan mereka. Namun, mereka tahu bagaimana untuk membelanjakan wang itu.

Sifat pemurah Milton Hershey

Pada tahun 1909, Milton dan isterinya membuka Sekolah Perindustrian Hershey untuk kanak-kanak yatim piatu dan ia masih beroperasi sehingga hari ini. Kanak-kanak ini diberi didikan dalam kemahiran menghasilkan produk manisan seperti gula-gula dan coklat.

sekolah milton hershey

Sekolah Milton Hershey

Setelah isterinya meninggal dunia pada tahun 1915, Milton menumpukan hidupnya kepada perniagaan dan kerja-kerja kebajikan. Dengan kekayaan yang melimpah ruah, dia mula membina sebuah bandar yang dinamakan sebagai Hershey di Pennsylvania.

Dia mula membina rumah untuk para pekerjanya. Dalam tahun-tahun yang mendatang, Bandar Hershey mempunyai kemudahan yang lengkap seperti bank, hotel, sekolah awam, taman tema, gereja, padang golf dan zoo.

Milton Hershey turut menyumbangkan USD 60 juta saham syarikatnya kepada badan dana Hershey Trust. Dia juga menyumbang coklat Hershey kepada tentera Amerika yang berperang dalam Perang Dunia Kedua.

Pada hari ini, Sekolah Milton Hershey mendidik seramai 1,900 pelajar setiap tahun. Sementara itu, Yayasan M.S. Hershey masih membiayai aktiviti kebudayaan di Bandar Hershey yang kini mempunyai populasi kira-kira seramai 14,000 orang.

bandar hershey

Bandar Hershey

Milton Hershey meninggal dunia pada 13 Oktober 1945. Walaupun telah lama tiada, perniagaannya terus berkembang pesat di seluruh dunia. Jutaan orang di seluruh dunia telah menikmati produk enak daripada syarikat Hershey tanpa mengetahui keperitan yang dilalui Milton Hershey menjayakan perniagaan coklatnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)