Saban tahun, tidak kira di Malaysia mahupun luar negara kita pasti akan membaca laporan-laporan di dada akhbar mengenai mangsa-mangsa penipuan daripada pelbagai pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tersangat lumayan. Orang putih kata pelaburan "too good too be true".

Walaupun penipuan dalam pelaburan seringkali didedahkan dia media massa, setiap tahun pasti sahaja akan ada ramai orang yang akan menjadi mangsa. Malah, apabila sesuatu pelaburan haram itu didedahkan, akan muncul pula skim pelaburan baru yang menggunakan modus operandi yang sama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebanyakan mangsa skim pelaburan haram ini biasanya adalah mereka yang naif dan langsung tidak tahu mengenai kegiatan licik ini. Ada juga yang tahu, tetapi mereka akhirnya rambang mata apabila dijanjikan bulan dan bintang daripada pelaburan yang mereka lakukan.

Apa itu Skim Ponzi?

ponzi scheme

Pelaburan seperti ini juga dikenali sebagai Skim Ponzi, sempena nama Charles Ponzi iaitu individu terawal yang ditangkap melalui kegiatan penipuan sebegini. Dalam Skim Ponzi ini, para pelabur biasanya akan dijanjikan pelaburan berlipat kali ganda dalam jangka mangsa panjang.

Pada peringkat awal, pelabur-pelabur terawal ini akan dibayar bahagian keuntungan seperti yang dijanjikan. Setiap pelabur baru yang dibawa masuk pula akan dibayar komisyen tambahan. Hal ini akan menyebabkan setiap individu yang menyertai pelaburan sebegini akan bergiat aktif untuk mencari pula pelabur baru.

Realitinya, keuntungan dan komisyen yang dibayar bukanlah diperolehi daripada keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan daripada syarikat penipu ini. Sebaliknya, wang yang dibayar ini diperoleh daripada wang pelaburan yang dibayar oleh para pelabur baru.

Walau bagaimanapun, mana-mana skim penipuan seperti ini biasanya tidak akan dapat bertahan lama apabila syarikat tidak lagi mampu membayar keuntungan yang dijanjikan kepada para pelabur. Syarikat seperti ini bergantung sepenuhnya kepada kemasukan pelabur baru. Maka, jika tiada pelabur baru maka tiada bayaran "keuntungan" kepada pelabur lama.

Sila baca artikel kami mengenai Bernie Madoff iaitu individu yang telah melakukan penipuan Skim Ponzi terbesar di dunia. Daripada 24,000 orang pelabur, dia dikatakan telah menyebabkan kerugian sebanyak $65 bilion.

Ciri-ciri Skim Ponzi

not dollar

Secara umumnya, untuk mengenalpasti skim pelaburan seperti ini tidaklah terlalu sukar. Sekiranya anda ditawarkan skim pelaburan dan mempunyai salah satu daripada ciri-ciri berikut, maka sila berwaspada.

1. Syarikat pelaburan akan menjanjikan kadar keuntungan yang tetap pada setiap bulan. Dalam mana-mana pelaburan sekalipun, adalah tidak logik untuk menawarkan keuntungan pada kadar yang tetap kepada para pelabur. Ini adalah kerana setiap pelaburan disertai dengan risiko dimana syarikat juga berkemungkinan akan mengalami kerugian.

2. Skim pelaburan seperti ini menggesa anda mencari pelabur baru. Kebiasaannya syarikat penipuan ini akan mengatakan anda tidak perlu menjual sebarang produk. Sebaliknya, mereka akan mengajar anda untuk mencari pelabur baru. Realitinya, wang pelaburan daripada pelabur baru inilah yang digunakan untuk membayar wang kepada anda yang kononnya dicanang sebagai keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan syarikat.

3. Dicanang sebagai skim pelaburan yang tiada risiko. Langsung tidak masuk akal. Mana mungkin wujud pelaburan yang tiada risiko. Ini hanya ayat bagi meyakinkan anda bahawa anda langsung tidak akan rugi apabila membuat pelaburan. Jangan tertipu.

Untuk keselamatan wang anda juga, bolehlah menyemak sama ada skim pelaburan tersebut telah didaftarkan dengan Bank Negara atau tidak. Sekiranya tidak didaftarkan, elakkan melabur dalam skim tersebut agar tidak menyesal di kemudian hari.

Pengasas Skim Ponzi

pengasas charles ponzi keratan akhbar malaysia

Skim penipuan pelaburan ini juga dikenali dengan nama lain iaitu Skim Ponzi. Ianya adalah sempena nama seorang individu yang bernama Charles Ponzi. Charles Ponzi lahir pada tahun 1882 di Parma, Itali. Dia berhijrah ke Boston, Amerika Syarikat pada tahun 1903 dengan menaiki sebuah kapal.

Pada tahun 1907, dia berpindah pula ke Montreal, Kanada dan mula bekerja sebagai kerani di Bank Zarossi. Bank ini ditubuhkan untuk memberi bantuan kewangan kepada para imigran dari Itali yang berhijrah ke situ. Tidak lama kemudian, bank ini terpaksa ditutup akibat pelbagai masalah dan penipuan kewangan.

Charles Ponzi juga telah dikenakan hukuman penjara di Quebec selama 3 tahun atas jenayah pemalsuan cek sewaktu bekerja di bank tersebut. Setelah menamatkan hukuman, Charles Ponzi dihumban sekali lagi ke penjara selama 2 tahun kerana kesalahan menyeludup masuk imigran Itali daripada Kanada ke Amerika Syarikat.

Idea mewujudkan Skim Ponzi

international reply coupon

Charles Ponzi kembali ke Boston dan berkahwin dengan Rose Gnecco pada tahun 1918. Dia melakukan pelbagai pekerjaan kecil-kecilan bagi menampung hidupnya dan isteri. Pada ketika inilah dia mendapat idea untuk mewujudkan satu jenis skim penipuan sehingga namanya diabdikan untuk skim penipuan ini.

Charles Ponzi menerima satu surat daripada sebuah syarikat di Sepanyol. Dalam surat tersebut, terdapat satu kupon (International Reply Coupon - IRC) yang boleh ditukar kepada beberapa setem khidmat pos laju ke negara lain. Dia mendapat idea untuk membuat keuntungan dengan membeli IRC daripada sesuatu negara dan menukarnya dengan IRC yang lebih mahal di negara lain.

Modus operandinya mudah. Dia akan menghantar duit kepada agennya yang berada di beberapa buah negara untuk membeli IRC bagi pihaknya. IRC itu kemudiannya akan dihantar kepadanya di Amerika Syarikat. Kemudian, dia akan menjual pula IRC tersebut pada harga yang lebih tinggi. Dengan cara ini, dia mampu memperoleh sehingga 400% keuntungan.

Kerana kekurangan modal dan tamak mahukan keuntungan yang lebih banyak, dia mula mencari pelabur untuk tujuan ini. Setiap pelabur dijanjikan kadar keuntungan 50% dalam tempoh 45 hari atau 100% dalam tempoh 90 hari. Namun, dia sebenarnya tidak lagi menjalankan perniagaan jual beli IRC sebaliknya terus menggunakan duit pelaburan tersebut untuk dirinya sendiri.

Dengan pelaburan yang banyak daripada para pelabur, dia mula gelap mata. Dia tidak lagi melakukan pelaburan sebaliknya hanya membayar keuntungan yang dijanjikan kepada pelabur lama menggunakan duit pelaburan daripada pelabur baru, Dalam erti kata mudah, dia hanya "rolling" duit daripada pelabur baru ke palabur lama.

Dengan modal besar yang diperolehi daripada wang para pelabur, dia dikatakan berjaya menjana pendapatan sehingga $250,000 setiap hari! Satu jumlah yang sangat besar pada ketika itu. Selagi mana ada pelabur baru, maka makin banyaklah wang diperolehnya.

Keruntuhan Skim Ponzi

charles ponzi ditangkap

Namun, langit tak selalunya cerah. Orang ramai mula syak wasangka dengan skim pelaburannya yang menjadikan Charles Ponzi seorang yang kaya raya dalam sekelip mata. Menjelang Ogos 1920, akhbar The Boston Post mula melakukan penyiasatan terhadap kekayaannya yang tidak masuk akal.

Kes penyiasatan ini menyebabkan ramai pelaburnya mula risau akan pelaburan mereka dan beramai-ramai ingin mengeluarkan kembali wang pelaburan mereka. Dia akhirnya diberkas pada 12 Ogos 1920 dan telah dikenakan tuduhan terhadap 86 kes penipuan kewangan.

Dia akhirnya mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selam 14 tahun. Isterinya meminta cerai daripada pada 1937 dan Charles Ponzi mati dalam kemiskinan di Rio de Janeiro, Brazil pada 18 January 1949. Sepanjang kegiatan penipuan Skim Ponzi yang dilakukannya, dia dikatakan mempunyai wang berjumlah $7 juta.

Kredit:

  1. TIME Magazine
  2. Biography
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)