Siapa di kalangan pembaca Iluminasi mempunyai kemampuan bertangan kidal atau dominan tangan kiri? 

Secara statistiknya anda adalah salah seorang yang unik, kerana berdasarkan anggaran hanya 10% daripada jumlah populasi di bumi ini seorang yang tangan kirinya dominan. 89% daripadanya dominan tangan kanan dan selebihnya atau 1%, tidak ada tangan dominan serta mempunyai kemampuan sama rata di antara kedua-dua tangan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hidup sebagai seorang kidal memang mencabar. Walaupun tidaklah seteruk dulu di mana individu dominan kiri dituduh merupakan pengikut Iblis - rutin harian seorang kidal tetap berdepan banyak masalah yang kompleks tanpa kita sedari. 

1. Seorang bertangan kidal lebih tinggi risiko berpenyakit mental

kemahiran menggunakan tangan kiri dominan

Walaupun belum dapat dijawab secara sahih apa yang menyebabkan penyakit skizofrenia sering berlaku di kalangan individu bertangan kidal, petunjuk yang kerap ditemui menunjukkan penyakit mental itu ada hubungkaitnya dengan mereka yang dominan tangan kiri.

Skizofrenia adalah gangguan mental di mana seseorang tidak lagi mampu mentafsir realiti dengan betul, sehingga menyebabkan beliau mampu mengalami delusi dan juga halusinasi; mengganggu kesihatan seseorang dan mampu menyebabkan banyak masalah luar biasa menghantui beliau.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Yale Child Study Centre, 40% penghidap penyakit skizofrenia didapati bertangan kidal - menampakkan kadar yang jauh lebih tinggi berbanding pecahan dominan kanan dan dominan kiri.

2. Individu kidal didapati lebih bijak dalam penguasaan bahasa

individu kidal tangan kiri kuasai bahasa

Dalam satu kajian yang berjaya memperjelaskan banyak perkara berkenaan pengaruh otak dalam membentuk tangan dominan seseorang, saintis dari Universiti Oxford telah berjaya mengenalpasti perbezaan 'struktur fungsi' otak di antara kedua-dua golongan dengan lebih jelas.

Kajian besar-besaran melibatkan 356,567 peserta dengan 38,322 daripadanya bertangan kidal disokong oleh bank data 500,000 individu di UK mendapati ada perbezaan ketara dalam cara otak seorang kidal memproses protein yang digunakan bagi membantu perkembangan dan struktur otak.

Otak individu kidal di dapati mempunyai hubungan yang lebih ketara dalam keupayaan memproses bahasa, kerana isyarat yang diproses oleh otak melibatkan bahasa bekerja dalam struktur yang lebih berkoordinasi berbanding peserta dominan kanan.

Bagaimanapun, kajian ini juga melaporkan wujudnya hubungan lebih ketara gangguan skizofrenia dengan individu kidal - memperkuatkan lagi dakwaan yang dibentangkan Yale sebelumnya.

3. Anda mungkin kidal kerana ibu anda stres ketika mengandung atau melahirkan anda

ibu mengalami masalah stres mengandung

Teori berkenaan tahap stres atau kebimbangan seorang ibu semasa mengandungkan anak mereka sebagai penentu kecenderungan tangan dominan bayi, telah disuarakan berdekad-dekad lamanya.

Dalam kajian tahun 1974, kanak-kanak yang mempunyai dominan tangan kiri didapati mempunyai ibu yang mengalami masalah semasa proses kelahiran kanak-kanak tersebut. 

Kajian lebih baru yang diterbitkan dalam tahun tahun 2007 dan 2014 pula menyokong teori tersebut, berikutan dapatan berlakunya pergerakan tangan kiri yang lebih banyak pada bayi dalam kandungan menyentuh muka mereka - ketika ibu mereka dalam keadaan stres.

Bagaimanapun penyelidik kajian ini mengingatkan bahawa dapatan mereka bukanlah boleh diambil sebagai indikator penuh atau fakta, tetapi lebih kepada teori. Ini disebabkan oleh kesan stres yang memberi gangguan pada bayi, hanyalah bersifat sementara serta belum dibuktikan memberikan perubahan kekal.

4. Orang kidal kurang dijangkiti penyakit Parkinson

penyakit parkinson kurang menjangkiti individu kidal

Penyakit Parkinson merupakan penyakit di mana seseorang yang mengalaminya mula hilang kawalan ke atas pergerakannya, akibat gangguan ke atas otak.

Mereka yang menderita penyakit ini akan mula berdepan masalah ketidak seimbangan badan, hilang koordinasi tubuh, menggeletar tanpa henti, kejung dan juga suka bergerak. Apa yang berlaku kepada pesakit Parkinson adalah ketidak seimbangan pada fungsi otak, mewujudkan aktiviti yang tidak simetri pada fungsi badan. 

Kajian oleh penyelidik dari Universiti Oxford yang diterbitkan dalam tahun 2019, mendapati akibat daripada pembentukan sistem neuro atau organ otak yang berbeza, seseorang kidal mempunyai risiko lebih rendah untuk menghidap penyakit Parkinson.

Dalam kajian tersebut dapat dilihat dengan jelas daripada aspek susur galur genetik, individu bertangan kidal bukan saja mempunyai kadar penyakit Parkinson lebih rendah berbanding individu dominan tangan kanan. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)