Kredit foto: Instagram Saharul Ridzwan

Saharul Ridzwan, aktor yang juga suami kepada Qaabila Deena Emir, melahirkan kesyukuran kerana doanya untuk melihat anak beliau, Muhammad Luth Ali menyebut ‘Allah’ sebagai perkataan pertama, dimakbulkan.

Kata pelakon berusia 28 tahun itu, dia terlebih dahulu menyatakan kepada isterinya ketika berada di Tanah Suci tentang harapan untuk melihat Ali menyebut kalimah itu sebagai perkataan awal.

“Subhanallah, doa saya dimakbulkan. Saya terkejut apabila perkataan pertama yang disebut Ali adalah 'Allah'.

“Alhamdulillah ia berlaku ketika usianya baru menjengah enam bulan. Isteri saya dapat merakam detik manis ini apabila Ali menyebut 'Allah' usai mendengar azan Asar,” katanya menurut portal Harian Metro.

Menurut pelakon drama Megat Extend ini, sebagai bapa, dia mempunyai harapan besar untuk masa depan cahaya mata yang dilahirkan pada 6 Jun 2017 itu.

“Saya mengimpikan Ali mampu menjadi penghafal Al Quran atau hafidz. Sejuk hati ibu bapa andai anaknya mampu menghafal Al Quran," katanya. 

Tambah Saharul, dia juga akan membaca surah sebagai alunan sebelum anaknya tidur.

“Justeru, setiap malam sebelum tidur saya atau isteri akan memperdengarkan surah Al-Fatihah dan zikir buatnya. Saya juga akan mengalunkan surah sebelum dia terlelap,” katanya.

Saharul berkongsi video momen Ali menyebut 'Allah' di laman Instagram.

Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat menganggap anaknya antara individu bertuah kerana menuturkan kalimah Agung itu sebagai perkataan terawal.

Sumber berita: Harian Metro 




Hakcipta iluminasi.com (2017)