Sebagai manusia, sebenarnya banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada haiwan yang sama berkongsi bumi ini dengan kita. Untuk hari ini, mari kita baca kisah seorang lelaki yang belajar tentang satu perkara dari insiden yang melibatkan anak kucing yang terperangkap dalam enjin keretanya.


Hari itu kebetulan cuti Israk Mikraj, kami sekeluarga merancang untuk ke rumah saudara di Ampang. Lagipun, anak-anak dah banyak kali sibuk nak berjumpa dengan sepupu mereka. Kami bertolak awal pagi kononnya hendak sampai awal, tapi kita hanya mampu merancang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oleh kerana risau jalan sesak, kami memilih untuk menggunakan jalan Hulu Langat ke Ampang, jalan yang berbukit-bukit tu tapi sepanjang perjalanan, dengar macam ada bunyi halus. Tapi tak berapa jelas sehinggalah kami tiba di kemuncak jalan yang selalu ramai manusia lepak melihat keindahan (indah la sangat, hahaha) Kuala Lumpur.

"Macam ada bunyi anak kucing?" kata isteri aku.

"Ak aah," sahut aku. Bunyi mengiau itu makin kuat kedengaran lalu kami berhenti di tepi jalan. Aku bukakan pintu bonet enjin dan benar ada dua ekor tengah menggigil ketakutan. Seekor di atas bateri, seekor lagi di sebelahnya. Aku berlari ke bonet belakang mencari kalau ada bekas untuk aku letakkan mereka sekejap, tak sanggup aku nak tinggalkan tepi jalan. Anak-anak kucing tu kecil saja lagi, dah mampu berjalan sikit-sikit tapi belum sampai tahap mampu makan sendiri serta masih menyusu.

Isteri aku tunggu dalam kereta. Aku cakap pada dia, "ada dua ekor!"

Tengok di bonet belakang, tiada kotak atau sebarang bekas, aku kembali ke bahagian enjin. "Eh, dah hilang?"

Tinjau punya tinjau dengan isteri, nampaklah anak-anak kucing itu berada di bahagian bawah enjin dan nampak ada lagi seekor. Tiga ekor rupanya semuanya. "Saya tak dapat nak ambik ni Na," kata aku pada isteri. Isteri aku cuba mencapai anak-anak kucing itu, tetapi kemudian dicakar tapi memandangkan dia dah biasa kena cakar dengan kucing dan juga suami dia, tak apa lah semua tu. Anak-anak kucing itu masuk semakin ke dalam ke dalam tempat yang tak mampu dicapai tangan.

"Macam mana ni?" tanya dia.

"Tak apalah, kita jalan aje perlahan-lahan, doa ajelah tak ada yang jatuh," kata aku. Aku takkan lupa pengalaman memandu dan tiba-tiba nampak dekat cermin pandang belakang anak kucing warna oren jatuh ke jalan dari kereta. Nasib baik aku nampak dan jalan masa tu jalan kampung.

Nampak isteri aku murung."Kita tak boleh buat apa lagi dah ni, doakan aje lah diorang duk diam-diam," kata aku. Setelah beberapa kali cuba memujuk dengan mengajuk suara kucing betina oleh aku dan isteri, kami kembali ke kereta dan teruskan perjalanan perlahan-lahan. Marah orang pada kami hari tu rasanya, 50km/j saja kelajuan.

Setibanya di Ampang, kami disambut oleh saudara kami. Lepas bersalaman dan memohon maaf kerana kelewatan, kami bukakan semula bonet dengan harapan ada yang dah ke atas semula tapi nampaknya anak kucing tu selesa duduk di bahagian bawah. Seperti biasa cubaan memujuk kucing dengan suara buat-buat tetap dilakukan, tetap gagal juga.

"Kita letak aje nasik dengan ikan masin kat bawah ni, mana tau dia keluar," kata isteri aku. Lalu kami letakkan umpan kami itu, kembali ke dalam rumah dan tinggalkan anak-anak kucing itu dengan harapan besar.


Beberapa jam berikutnya, dua anak kucing tu melompat ke lantai lalu berlindung di tepi tayar. Yang lagi seekor nampaknya tersepit di satu ruang yang tak mampu kami capai. Yang kelihatan hanyalah kaki dia yang jatuh ke bawah melalui celah-celah lubang yang ada. Bila dipegang, rasalah dia menggigil. Dua ekor dah selamat dalam kotak, tinggal seekor lagi.

"Tak boleh jadi, kita kena ke bengkel ni," kata isteri aku. "Kalau dia mati dalam tu macam mana pulak?"

Aku dan isteri tinggalkan anak kami mencari bengkel. Nasib kami baik ada sebuah bengkel dibuka yang menjual peralatan kereta. Aku dekati lelaki Cina pemilik bengkel itu dan terangkan pada dia masalah kami. Muka dia kelihatan cuak-cuak. Aku tak tau kenapa.

Lalu dia dan rakannya bukalah bumper depan kereta kami dan cepat-cepat isteri aku capai anak kucing yang tersepit itu. Memang kecik saja dia dan dah agak lemah, tetapi masih garang. Anak kucing yang tu la rasanya yang mencakar sebab yang lagi dua sebelum tu buat bodo aje kena angkat.

"Aiyyaa!" kata dia melihat anak kucing itu. Rupa-rupanya dia takut anak kucing. Harap rambut saja blonde, penakut rupanya. Cepat-cepat dia pasang semula badan kereta kami dan pada masa itulah ada bunyi mengiau datang lagi dari dalam kereta.

"Empat ekor?" kata aku pada isteri.

Lelaki Cina blonde ala pelakon siri 'Young and Dangerous' penakut kucing dan rakannya membuka semula badan kereta itu lalu kami cari di mana dia. Rupanya dia menyorok di bahagian bawah berdekatan radiator yang tak mampu dilihat. Allah maha kuasa, Dia buatkan anak kucing tu mengiau ketika itu, kalau tak memang kami tak tahu yang dia ada di situ.

Kami kembali ke rumah saudara dengan dua anak kucing lalu kami letakkan ke empat-empatnya dalam satu kotak. Diberikan air dan makanan kucing yang baru kami beli, lega jugalah tengok anak-anak kucing tu selamat semuanya. Tetapi aku syaratkan pada isteri aku supaya jangan dilayan sangat anak kucing tu, takut nanti timbul rasa sayang. Kami pun dah lama tak ada kucing lepas kelahiran anak kami dan kami belum mampu menampung kapasiti nak bela kucing lagi. Duduklah mereka dalam kotak sampai ke malam. Sekali sekala aku dan anak aku jenguk.

Seronok tengok anak-anak kucing tu tidur berpelukan bersama-sama.

Kami pulang lewat pada malam itu dan sampai di rumah, kami letakkan kotak anak-anak kucing itu di luar. Tidak lama kemudian, datang seekor kucing putih bertompok perang.

"Tu ha mak dia," kata isteri aku, dia memang kenal. Sebenarnya isteri aku dah perasan kucing tu suka tinggal anak-anak dia sebelum tu lagi. Aku letakkan kotak anak kucing tu lalu kami ke belakang kerana nampak ibunya takut nak menghampiri. Si ibunya datang, menghidu-hidu anak-anaknya lalu dia memanjat menggigit salah seekor yang ada.

Dia menggonggong anaknya entah ke mana, kami tak nampak kerana dah malam. Tak lama kemudian, dia muncul lagi menggigit anaknya yang kedua lalu kembali menghilangkan diri semula. Kami ikuti dia tetapi tetap nak nampak ke mana dia.

Si ibu itu muncul lagi buat kali ketiga, menggigit anaknya yang mencakar isteri aku tu tapi separuh perjalanan, anak kucing yang ditinggal sendirian itu mula berbunyi kuat, takut. Dia tinggalkan sebentar anak dia yang sedang digonggong tadi lalu kembali pada anaknya yang sendirian. Aku tak tau lah apa berlaku, tapi anaknya diam, mungkin kena marah kot lalu dia kembali pada anaknya yang sudahpun dibawa sebentar tadi, kembali menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu. Dia menggonggong anaknya dan terus melangkah ke destinasi.

Anaknya yang masih dalam kotak dengan setia menunggu ibunya kembali. Senyap je.

Untuk kali terakhir, ibunya berjalan semula mencari anaknya, lalu digonggong dalam mulut dan dia kembali melangkah. Isteri aku turuti ibu kucing itu dan nampaklah dia hendak ke mana.

Kami sebenarnya cukup risau si ibu tak dapat nak cam anak dia maklumlah dah duduk di bahagian enjin, kena bahang satu hari, dipegang oleh manusia lain. Lega betul bila tengok si ibu peduli tentang empat ekor anaknya. Mungkin pada sesetengah orang antara kita, nyawa kucing ni apalah sangat nilainya tetapi apabila melihat sendiri ibu kucing mampu tau erti tanggungjawab terasa jugalah hati kita ni.

Apatah lagi apabila aku sebagai guru di sebuah sekolah baru saja dapat tahu ada seorang anak murid aku yang mak ayah dia tinggalkan dia dekat pengasuh tanpa datang ambil dia. Sehari dua, bolehlah kita kata ada kepayahan tapi kalau dah lebih 4 bulan tanpa ada sebarang hubungan, telefon tak diangkat dan langsung tak dapat dihubungi, banyak yang kami belajar tentang kehidupan dari ibu kucing anak 4 pada hari itu.

Isteri aku pun mengekori ibu kucing tu dengan anak dia yang terakhir, lalu nampaklah dia sebenarnya mengangkat anak-anak dia masuk ke sebuah kereta lain pula.

"Dia masuk kereta lain pulak dah!" kata isteri aku. Nak tergelak ke nak menangis tak tau lah.

Dah memang sifat kucing macam tu.

Ada kalanya, banyak benda yang mereka buat boleh jadi petunjuk pada kita. Setiap perkara yang wujud di bumi ini boleh jadi petunjuk dan panduan pada manusia, asalkan kita mahu berusaha mempelajarinya.

iluminasi anak kucing hidup

Salah seekor anak kucing yang diselamatkan selepas berjalan-jalan naik kereta.

Aku tak berani nak ambik gambar sebab

takut timbul rasa sayang dan nak bela.




Hakcipta iluminasi.com (2017)