Sebelum ini, kami pernah menulis mengenai Program Lebensborn, iaitu satu program rahsia tentera Nazi Jerman untuk mewujudkan bangsa Jerman tulen. Secara ringkasnya, ianya adalah aplikasi teknik eugenic atau bahasa mudahnya persenyawaan terpilih bagi wanita dan lelaki yang mempunyai gene tertentu.

Bagi mewujudkan bangsa Jerman yang kuat juga, pihak Nazi telah melancarkan satu lagi program yang dikenali sebagai Aktion T4. Program ini lebih kejam dimana objektif utamanya adalah menghapuskan golongan OKU sama ada yang mempunyai masalah fizikal ataupun mental.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Program Aktion T4 ini dikatakan telah dilakukan sebelum dan semasa peristiwa Holocaust berlaku. Program ini yang pada mulanya hanya tertumpu kepada pembunuhan bayi baru lahir yang mempunyai masalah mental dan fizikal akhirnya turut dilakukan kepada golongan dewasa dan tua.

Program ini telah dilakukan bertahun-tahun lamanya dan dianggarkan 300,000 orang telah terbunuh dalam program yang kejam ini. Program ini dihentikan pada tahun 1941 dan menerima bantahan protes dari banyak pihak terutamanya masyarakat Jerman sendiri.

Idea asal penubuhan Program Aktion T4

poster eugenic

Ideologi Program Aktion T4 sebenarnya sudah tercetus sejak dari awal lagi sejak penubuhan parti Nazi. Pegawa-pegawai tertinggi Nazi sememangnya mahukan konsep eugenic digunapakai secara meluas bagi memelihara ketulenan bangsa Jerman.

Dalam Mein Kampf, iaitu risalah-risalah yang telah ditulis oleh Adolf Hitler yang kemudiannya dibukukan, beliau menyatakan keinginannya untuk "membersihkan" bangsa Jerman dimana hanya kanak-kanak yang benar-benar sihat dibenarkan untuk hidup agar mereka boleh bekerja sendiri dan menjadi seorang askar.

Bagi kanak-kanak yang mempunyai kecacatan fizikal dan mental, mereka ini mestilah "dibersihkan" kerana mereka tidak mampu untuk hidup berdikari dan memberi sumbangan kepada negara. Dalam erti kata lain, mereka mesti dihapuskan menggunakan teknik perubatan moden.

Sebaik sahaja parti Nazi mengambil alih pucuk pimpinan sekitar tahun 1933, mereka telah memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan pengasingan golongan yang mempunyai masalah fizikal dan mental. Benar, pada peringkat awal, golongan yang mempunyai masalah fizikal dan mental ini akan dikuarantin dan dirawat sahaja.

Namun, apabila perang meletus sekitar tahun 1939, pihak Nazi semakin bertindak kejam dengan terus membunuh golongan yang tidak bersalah ini.

Inspirasi penghasilan Program Aktion T4

adolf hitler 613

Pada awal tahun 1939, sepucuk surat telah sampai kepada pejabat pemerintah Jerman daripada seorang pengikut kuat Nazi bernama Richard Kretschmar. Beliau cuba menghubungi Hitler bagi mendapatkan kebenarannya untuk membunuh anak kandungnya, Gerhard.

Gerhard merupakan anak kandungnya yang hanya berusia beberapa bulan tetapi mempunyai pelbagai masalah fizikal dan mental termasuklah buta, kecacatan anggota badan dan lain-lain lagi. Dalam surat tersebut, beliau memberi kebenaran kepada pihak Nazi mengambil anaknya itu untuk dibunuh.

Hitler kemudiannya menghantar seorang doktor, Dr. Karl Brandt untuk membuat ujian perubatan terhadap bayi tersebut. Ternyata dakwaan bapanya itu benar dan bayi itu telah dibunuh pada Julai 1939 dengan diberikan suntikan maut. Malangnya, dalam sijil kematiannya, sebab kematian bayi tersebut dinyatakan sebagai mempunyai masalah jantung.

Peristiwa pembunuhan ini menjadi permulaan dan batu loncatan kepada pihak Nazi untuk membunuh golongan masalah fizikal dan mental ini secara besar-besaran. Maka lahirlah program Aktion T4. Bagi Nazi, golongan kurang bernasib baik ini hanyalah beban kepada mereka.

Kelahiran program Aktion T4

mangsa program aktion t4

Pada tarikh 1 September 1959, Adolh Hitler telah menandatangi satu surat yang membenarkan pembunuhan besar-besaran golongan OKU melalui program yang dinamakan Aktion T4 dimulakan. Satu pasukan khas diberi nama Jawatankuasa Reich ditubuhkan untuk menjalankan program ini.

Dalam masa 3 minggu selepas pembunuhan bayi tersebut, pihak Nazi sudah mengeluarkan surat kepada para doktor dan bidan mengenai garis panduan baru untuk menyambut kelahiran bayi. Setiap doktor atau pegawai perubatan yang menyambut bayi perlu mengisi satu borang yang mengandungi pemerhatian sekiranya bayi tersebut mempunyai sebarang masalah fizikal.

3 orang doktor kemudiannya akan menyemak borang tersebut tanpa melihat sendiri keadaan sebenar bayi tersebut. Sekiranya 2 daripada 3 orang doktor tersebut mengesahkan kecacatan tersebut, bayi tersebut akan diasingkan dengan alasan untuk diberikan rawatan susulan. Realitinya, bayi-bayi tersebut akan dibunuh.

Setelah program ini dilancarkan, bayi atau kanak-kanak yang mempunyai masalah fizikal atau mental akan diambil daripada hospital dan pusat kesihatan dan dihantar ke salah satu kem tahanan Nazi iaitu Bernburg, Brandenburg, Grafeneck, Hadamar, Hartheim atau Sonnenstein.

Di kem-kem ini, mangsa akan diberikan suntikan dadah dalam kuantiti berlebihan sehingga mereka mati. Ada juga yang dibiarkan sehingga mati kelaparan. Lama-kelamaan, skop program ini turut diperluaskan kepada orang dewasa yang mempunyai masalah fizikal dan mental yang tidak mampu menguruskan hidup mereka sendiri.

Penentangan dan pemberhentian program Aktion T4

kubur mangsa aktion t4 359

Sewaktu di tampuk pemerintahan, pihak Nazi sememangnya mempunyai konflik dengan kumpulan agamawan seperti Krisitan Katolik dan Protestan. Apabila kisah mengenai program Aktion T4 diketahui umum, ianya menghangatkan lagi konflik ini.

Segalanya bermula apabila keluarga-keluarga mangsa program ini menceritakan pengalaman serupa bagaimana ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah fizikal atau mental ditangkap dan dihantar ke kem tahanan atas alasan untuk diberi rawatan susulan. Kesemua mereka menceritakan mereka akhirnya menerima surat menyatakan ahli keluarga mereka telah mati setelah menjalani rawatan tersebut.

Tiada info tambahan diberikan oleh pihak Nazi malah setiap keluarga juga dilarang untuk melawat ahli keluarga mereka. Lama-kelamaan, orang ramai mulai sedar dan kempen penentangan terhadap program tersebut mula dilakukan oleh pihak gereja secara agresif melalui pengucapan awam dan juga pengedaran risalah-risalah kepada rakyat Jerman.

Bantahan demi bantahan termasuk daripada media antarabangsa menyebabkan Hitler akur untuk menghentikan program tidak berperikemanusiaan ini pada bulan Ogos 1941. Dianggarkan sekitar 300,000 orang telah terkorban dimana majoritinya adalah orang Jerman dan Austria sementara hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Kisah mengenai pembunuhan ini turut dimuatkan dalam filem bertajuk Aktion T4 yang telah dikeluarkan pada tahun 2014. Sebuah memorial juga telah dibina di Berlin bagi mengingati mangsa-mangsa yang terbunuh.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. The Atlantic
  3. NY Times
  4. SciencePo



Hakcipta iluminasi.com (2017)