Oleh pada 19 Mar 2023 kategori

Adakah Akademi Fantasia (AF), rancangan realiti yang pernah menjadi fenomena di Malaysia, akan kembali? Terdapat desas-desus yang mula tersebar setelah akaun TikTok rasmi Astro Gempak memuat naik sebuah video pendek yang memberikan petanda mengenai perkara itu, beberapa hari lalu.

   

af

Video ringkas tersebut memaparkan seorang individu sedang melakonkan aksi menarik beg yang cukup sinonim dengan pertandingan realiti itu. Teks yang bertulis "Akademi Fantasia??? Akan datang" turut dinyatakan, yang semakin menguatkan dakwaan bahawa program berkenaan akan diadakan.

Manakala kapsyennya mengutarakan, "Sesuatu yang bakal menggegarkan Malaysia bakal tiba. Strim semua yang anda suka dengan Astro Baharu".

   

akademi fantasia

Di bahagian komen, kebanyakan netizen meluahkan keterujaan mereka untuk menyaksikan program itu diteruskan, kerana edisi terakhir rancangan itu ditayangkan pada tahun 2016, iaitu musim yang ke-13.

Ada pula yang sudah memulakan permintaan supaya pengacara dan juri-juri kegemaran mereka dipilih untuk muncul dalam anjuran terkini program ini.

   

akademi fantasia 2016

Sehingga kini, tiada maklumat lanjut yang dikemaskini oleh pihak Astro, menyebabkan netizen tertanya-tanya sama ada video tersebut membayangkan apa yang difikirkan oleh peminat atau sekadar sebagai gimik dan beberapa perkara lain yang tidak diketahui.

Apapun kita nantikan dengan penuh harapan, jika benar musim baru program ini akan dilancarkan selepas tujuh tahun lamanya menutup tirai.

   

ujibakat akademi fantasia

Untuk makluman, Akademi Fantasia yang pernah ditayangkan di saluran Astro Ria sejak tahun 2003 telah melahirkan penyanyi-penyanyi popular yang dikenali dalam industri hiburan semasa seperti Marsha Milan Londoh, Amir Masdi, Syamel, Hael Husaini, Nabila Razali, Akim Ahmad, Hafiz Suip, Ayda Jebat, Hazama dan ramai lagi.

   

juara akademi fantasia

   

Senarai Juara Akademi Fantasia

  1. AF1 (2003) - Vince
  2. AF2 (2004) - Zahid
  3. AF3 (2005) - Mawi
  4. AF4 (2006) - Faizal
  5. AF5 (2007) - Mila Jirin
  6. AF6 (2008) - Stacy
  7. AF7 (2009) - Hafiz Suip
  8. AF8 (2010) - Shahir
  9. AF9 (2011) - Hazama
  10. AF 2013 - Faizul Sany
  11. AF 2014 - Firman
  12. AF 2015 - Sufi Rashid
  13. AF 2016 - Amir Masdi

   

Kredit foto: Instagram @akademifantasia

  

Kredit foto: Akademi Fantasia 9: Promo Menuju Puncak




Hakcipta iluminasi.com (2017)