Kredit foto: BH Online

    

Penyanyi yang dicungkil bakatnya daripada rancangan realiti Akademi Fantasia musim keempat, Shazroul Fazlie, kini sedang menderita jangkitan kuman di usus.

Ibunya, Noraini Elias, berkata, Shazroul yang kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), terlebih dahulu jatuh sakit secara mengejut pada 10 September lalu, yang juga sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-34.

“Anak saya dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di ICU HKL. Dia sudah melalui dua pembedahan, masing-masing pada 10 September lalu dan hari ini. Doktor turut melakukan pemotongan usus yang bocor, sepanjang kira-kira 90 sentimeter.

“Doktor memaklumkan, kaedah rawatan dilakukan cukup berisiko dan mereka berharap, badannya kuat untuk melalui proses pembedahan ini dari masa ke semasa," dedahnya kepada portal BH Online.

Noraini berkata, Shazroul turut mengalami kehilangan berat badan secara mendadak daripada 61 kepada 45 kilogram.

   

shazroul fazlie akademi fantasia 4

Kredit foto: Instagram Shazroul Fazlie

   

“Allah sentiasa menguji hamba-Nya. Begitu juga dengan anak saya yang mendapat perkhabaran duka apabila dimaklumkan mengenai hal ini. Lebih menyedihkan, ia terjadi sebelum sambutan hari lahirnya," katanya.

Sementara itu, Noraini meyakini ketabahan anaknya dalam menangani dugaan getir itu.

“Saya bagaimanapun percaya, dia anak yang kuat.

"Saya berharap semua mendoakan yang terbaik untuk anak saya,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa rakan rapat Shaz termasuk teman seangkatannya dalam AF, Natasha Nordin turut bertindak menghebahkan berita duka tersebut kepada umum.

Shaz yang membuat kemunculan di Konsert Prelude AF4, pernah merakamkan album berjudul Cuma, serta single Pencuri Hati hasil paduan suara bersama Adzrin Azhar.

    

Kredit video: Konsert Prelude AF4 Shaz Mungkir Bahagia

    

Sumber berita: Shazroul Kritikal Akibat Jangkitan Kuman Pada Usus

     




Hakcipta iluminasi.com (2017)