Kredit foto: Instagram Ewal & Instagram Ramli MS
Penyanyi Ewal menafikan dakwaan yang mengatakan penyingkirannya daripada AF Megastar adalah berpunca daripada komen negatif juri tetap Datuk Ramli MS.
Sebaliknya, penyanyi itu akur dengan pendapat setiap individu yang disifatkannya berbeza-beza. Dia berlapang dada menerima kritikan yang dilontarkan.
"Saya tak rasa komen dan kritikan yang diberikan menjadi punca kepada penyingkiran saya malam ini (Ahad). Sebagai juri mereka ada pendapat mereka masing-masing dan saya terimanya dengan hati yang terbuka," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.
Ewal membuat kenyataan tersebut selepas berakhirnya Konsert AF Megastar minggu kedua yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam pada Ahad.
Ewal mengulas mengenai kritikan Ramli yang mengatakan dia tidak membawa tema rock dalam persembahannya.
Dalam pada itu, penyanyi itu berkata, dia telah sedaya upaya menterjemahkan lagu Potret (nyanyian Akim & The Majistret) dalam versi pop rock, namun penerimaan pihak juri pula adalah sebaliknya.
"Saya cuba membawa lagu itu dalam genre pop rock tapi malangnya ia didengar sebagai pop sahaja. Bagaimanapun saya tak rasa penyingkiran saya ini sebagai pengakhiran karier saya, sebaliknya ia permulaan yang baik untuk saya terus berada dalam industri," tegas Ewal.
Menyentuh perkembangan kerjaya seni, Ewal bakal terbit dengan single terbaru tidak lama lagi.
"Sebelum menyertai program ini lagi saya sudah pun merakamkan sebuah single untuk dikeluarkan tidak lama lagi. Lagu ciptaan Sharon Paul, Hafiz Suip dan Adib Nahar itu kini dalam proses finishing," jelasnya.
Penyingkiran Ewal sekaligus memberi ruang kepada sembilan peserta lain untuk bersaing di konsert minggu hadapan. Mereka adalah Marsha, Bob, Idayu, Amir Jahari, Shahir, Indah Ruhaila, Sufi, Syamel, dan Amir.
AF Megastar ke udara di saluran Astro Ria, jam 9 malam, setiap Ahad.