Oleh pada 10 Nov 2021 kategori

Sepanjang sejarah, kita sering terlepas pandang sumbangan wanita dalam bidang sains. Sejarawan percaya bahawa wanita telah terlibat dalam sains sejak dari empayar purba Mesopotamia 6,000 tahun yang lalu lagi.

Namun, kebanyakan kisah mereka hilang ditelan zaman. Setakat ini, sejarawan hanya menemui bukti terawal mengenai seorang ahli kimia wanita Babylon bernama Tapputi-Belatekallim yang bertarikh 1,200 SM.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tapputi bukan sahaja seorang ahli kimia wanita terawal tetapi dia adalah ahli kimia pertama yang mempunyai rekod dalam sejarah. Sejarawan menemui rekod wanita itu ditulis pada tablet tanah liat di tapak kerajaan Babylon kuno.  

Ahli kimia pertama dalam sejarah

Tablet tanah liat yang ditulis dalam bentuk cuneiform itu menceritakan pembuat minyak wangi istana bernama Tapputi dan rakan sekerja perempuannya bernama Ninu.

Selain itu, ia turut mengandungi kisah kehidupan mereka, kerja dan pangkat mereka ketika masih hidup. Ia juga mengandungi formula, teknik dan peralatan yang mereka gunakan untuk menghasilkan minyak wangi dan wangian lain.

tablet tanah liat tapputi

Tablet tanah liat Tapputi

Dalam Zaman Gangsa Mesopotamia (3500-1100 SM), wangian digunakan secara meluas dan merupakan komoditi penting yang memerlukan kemahiran khusus untuk menghasilkannya.

Wangian bukan sahaja digunakan untuk menutup bau yang kurang enak tetapi turut digunakan dalam upacara keagamaan, perubatan dan merupakan sesuatu yang simbolik dalam kehidupan masyarakat.

Mereka percaya bahawa minyak wangi dan pembakaran kemenyan adalah suatu bentuk hubungan antara tuhan dan manusia. Mereka turut mengenakan pelbagai jenis wangian pada orang yang meninggal dunia kerana percaya bahawa aroma enak ini menyenangkan tuhan.

Kemahiran dan pengetahuan tinggi

Wangian purba dihasilkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi. Pembuat wangian bukan sahaja perlu mempunyai deria bau yang tajam untuk mengenalpasti bau-bauan tetapi juga pengetahuan kimia untuk menghasilkan wangian.

ukiran mesopotamia

Tapputi dan Ninu menggunakan pelbagai jenis bahan termasuk minyak khas, minyak mur (myrrh), pelbagai jenis bunga dan damar semula jadi. Bahan-bahan ini akan dimampatkan dan dimanipulasi menggunakan kemahiran tinggi untuk menghasilkan wangi-wangian yang tahan lama.

Teknik yang digunakan ahli kimia purba amat mengagumkan. Sebagai contoh, ahli arkeologi yang menemui makam Firaun di Mesir pada abad ke-19 mendapati botol minyak wangi yang ditanam bersama-sama mumia masih lagi berbau wangi selepas ribuan tahun.

Tablet tanah liat yang ditulis oleh Tapputi merupakan karya bertulis pertama yang diketahui mengenai pembuatan minyak wangi serta karya pertama mengenai kimia secara amnya dalam sejarah.

Resipi minyak wangi Tapputi

Malangnya, sebahagian besar teks penting ini hilang daripada sejarah moden. Hanya satu sahaja resipi minyak wangi Tapputi yang masih disimpan rapi pada hari ini.

penyuling rom

Alat penyuling yang digunakan pada zaman Rom

Ia merupakan resipi minyak wangi yang dihasilkan untuk raja yang mengandungi bunga-bungaan, minyak dan calamus iaitu tumbuhan seperti buluh yang sering digunakan untuk merawat masalah sakit perut.

Tapputi juga telah merevolusikan proses dan teknik yang digunakan untuk membuat minyak wangi. Malah, dia turut membangunkan alat penyuling pertama dan menggunakan pelarut untuk menghasilkan bau yang tahan lebih lama dan lebih manis.

img 20211110 193149

Alat penyuling yang dihasilkan Tapputi untuk menyaring dan menapis cecair merupakan peralatan asas yang digunakan dalam makmal kimia pada hari ini.

Kedudukan sosial yang tinggi

Melalui tablet tanah liat Tapputi, ia menambahkan lagi maklumat sejarah mengenai kedudukan dan pendidikan wanita dalam masyarakat Mesopotamia purba.

perfume

Tapputi sendiri mempunyai kedudukan penting dan berpengaruh di dalam istana selain tugasnya menghasilkan minyak wangi kepada keluarga diraja dan keluarga bangsawan lain di Babylon.

Jelas menunjukkan bahawa Tapputi dan Ninu adalah wanita yang mendapat kedudukan tinggi dan dihormati dalam tangga masyarakat Mesopotamia purba. Mereka memainkan peranan penting seperti kaum lelaki yang dicatatkan dalam sejarah.

Ini menolak dakwaan bahawa wanita tidak memegang jawatan tinggi atau sehebat kaum lelaki dalam masyarakat purba. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)