Tanya sahaja mana-mana wanita, pasti mereka pernah mendengar mengenai produk kecantikan dan kosmetik jenama L'oreal. Namun, mungkin kerana harganya yang premium, tidak ramai wanita yang berkemampuan membeli dan memiliki produk jenama ini.

Menariknya, walau jenama L'oreal ini menghasilkan produk yang khusus untuk kaum wanita, tahukah anda bahawa pengasasnya Eugène Schueller adalah seorang lelaki. Malah, jenamanya ini berjaya berkembang sehingga menjadi syarikat kosmetik dunia pada masa kini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Siapakah Eugène Schueller?

sejarah l oreal

Tidak seperti kebanyakan pengasas syarikat kecantikan di Malaysia, beliau mempunyai latarbelakang sebagai seorang ahli kimia. Lahir daripada sepasang suami isteri pembuat roti, setiap hari Eugène Schueller akan bangun awal untuk menolong ibu bapanya membuat roti.

Selepas menamatkan pengajian peringkat Ijazah Baccalauréat (bersamaan dengan pengajian 2 tahun di kolej), beliau melanjutkan pengajian di Institute of Applied Chemitry dimana beliau berjaya menamatkannya dengan pencapaian kelas pertama. Kemudian, beliau bekerja pula sebagai pembantu makmal. 

Peristiwa yang mengubah hidupnya

pewarna rambut l oreal

Mengetahui latarbelakangnya sebagai ahli kimia, pada satu hari seorang pemilik kedai gunting rambut besar telah datang menemuinya. Lelaki tersebut ingin meminta bantuannya mencipta pewarna rambut sintetik untuk kedainbya.

Pada waktu itu, pewarna rambut  tidak digunakan oleh wanita di Perancis disebabkan penggunaan plumbun sebagai bahan utama pewarna dikatakan bertoksik dan menghakis kulit kepala. Beliau akhirnya bersetuju untuk menjadi penasihat teknikal kepada lelaki tersebut.

Tetapi, beliau yang bercita-cita tinggi ini akhirnya sedar tidak suka akan idea bekerja di bawah perintah orang lain. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan tukang gunting rambut itu dan melakukannya sendiri dan bereksperimen dengan pewarna rambut di ruang yang disewa berhampiran Tuileries Gardens.

Beberapa percubaan awalnya gagal sehingga memaksanya beberapa kali mengubah formula yang digunakan. Malah, untuk membuktikan keberkesanannya, beliau juga menggunakan pewarna rambut tersebut pada kepalanya sendiri.

Penubuhan syarikat L'oreal

eug ne schueller

Kejayaannya menghasilkan pewarna rambut dengan formulanya yang tersendiri telah menambahkan keyakinannya untuk berjaya dalam bidang ini. Maka, pada tahun 1909, beliau telah menubuhkan syarikatnya yang diberi nama "Société française de teintures inoffensives pour cheveux" sebelum menukarnya kepada nama yang lebih pendek iaitu "L’Oréal".

L’Oréal merupakan homonim bagi perkataan "Auréale, gaya rambut yang popular pada waktu tersebut. Ketika itu, tiada siapa sangka syarikat yang diasaskannya ini mampu berkembang terus sehingga kini dan menjadi syarikat kosmetik terbesar dunia.

Eugène Schueller bukan sekadar seorang pekerja yang obses dengan perniagaannya, beliau juga seorang pemikir. Malah, beliau sentiasa mempunyai idea menarik untuk dicurahkan dalam bidang industri, ekonomi dan politik. Pada peringkat awal beliau juga giat memperjuangkan ideologi golongan sosialis.

Penguasaan parti berhaluan kiri

sejarah loreal produk kecantikan nazi perancis

Pada pertengahan tahun 1930-an ketika zaman Great Depression, beliau mula memperkenalkan teori-teori ekonominya melalui tulisan dalam buku, artikel, radio dan pengucapan umum untuk membina pengaruhnya. Beliau ketika itu lantang memperjuangkan kadar bayaran gaji pekerja berdasarkan produktiviti syarikat.

Menurutnya, para pekerja tidak sepatutnya dibayar gaji mengikut jam atau hari sebaliknya berdasarkan kadar produktiviti mereka. Malah, beliau turut mengamalkan pembayaran gaji sebegini di syarikatnya, L'oreal.

Ketika itu, parti berhaluan kiri dibawah parti sosialis yang diketuai oleh Léon Blum baru sahaja memenangi majoriti kerusi di Parlimen pada tahun 1936. Dengan kemenangan ini, beberapa siri reformasi telah dilakukan di Perancis antaranya kerja 5 hari seminggu, peningkatan kadar gaji, cuti tahunan selama 2 minggu untuk semua pekerja dan banyak lagi.

Eugène Schueller dan syarikatnya turut mendapat tempias daripada perubahan ini. Tempoh cuti yang panjang ini membolehkan lebih ramai rakyatnya pergi bercui di pantai. Jualan produk Ambre Solaire, krim pelindungan cahaya matahari keluaran L'oreal terus melonjak naik.

Walaupun syarikatnya mendapat habuan daripada polisi baru ini, beliau tidak menggemari apa yang diperjuangkan oleh parti berhaluan kiri ini. Salah satunya adalah sistem demokrasi yang menurutnya akan membenarkan orang yang tidak layak diberi kuasa pemerintahan. Selain itu, beliau juga tidak gemar akan parti sosialis yang diketuai oleh orang Yahudi bagi memerintah negara tersebut.

L'oreal dan perkaitan dengan Nazi 

Dalam banyak-banyak organisasi berhaluan kanan pada era 1930-an, parti La Cagoule adalah yang paling terkehadapan dan radikal. La Cagoule adalah kumpulan perisikan, anti-semitik dan anti-komunis Perancis yang ganas dimana pemimpinnya telah membentuk parti politik Mouvement Social Révolutionnaire (MSR) yang menyokong pendudukan Nazi di Perancis.

Malah, parti ini juga lantang memperjuangkan untuk memperkenalkan sistem pemerintahan diktator seperti yang diamalkan di Jerman, Itali dan Sepanyol pada ketika itu. Tertarik dengan perjuangan yang dibawa oleh Eugène Schueller, pemimpin tertinggi La Cagoule, Eugène Deloncle telah "menjemput" beliau untuk turut sama dengan mereka.  

Dengan kekayaan yang dimiliki melalui syarikat L'oreal, Eugène Schueller telah memberikan sokongan kewangan dan mengadakan pertemuan untuk La Cagoule di ibu pejabat L'Oréal.

Menurut Eugène Schueller, kejatuhan negara Jerman akibat serangan Nazi merupakan contoh kelemahan sistem pentadbiran demokrasi. Dibawah penguasaan kuasa Nazi di Jerman, beliau semakin lantang menulis dan membuat pengucapan awam yang berfahaman pro-Nazi dan anti-Republikan.

Eugène Schueller juga mempunyai hubungan baik dengan pegawai terkenal Jerman Helmut Knochen, komander polis dan keselamatan untuk perkhidmatan inteligen Nazi. Selain aktif terlibat dalam pengusiran Yahudi Perancis ke kem tahanan Nazi, Helmut Knochen juga bertanggungjawab untuk melaksanakan pembunuhan beberapa ribu anggota penentang Perancis dan tebusan awam.

Dakwaan bersekongkol dengan Nazi

pengasas l oreal

Setelah pengusiran Nazi Jerman dari Perancis, Eugène Schueller telah didakwa kerana bersekongkol dengan pihak Nazi. Beliaau sebaliknya mengatakan tidak pernah terlibat secara langsung dengan organisasi La Cagoule dan mendakwa mereka telah menyalahgunakan namanya memandangkan mereka mempunyai hubugan baik.

Setelah perbicaraan dibuat, pihak juri hakim memutuskan bahawa segala tuduhan terhadapnya digugurkan. Mahkamah juga telah membersihkan namanya dan membenarkannya syarikatnya terus menjalankan perniagaan di Perancis.

Malah, ketua hakim pada ketika itu memutuskan Eugène Schueller tidak bersalah memandangkan pihak pendakwa tidak dapat membuktikan bahawa pihak L'oreal membantu pihak Nazi dalam hal ekonomi. Malah, tiada bukti yang dapat menunjukkannya memberi bantuan ketenteraan kepada pihak Nazi.

Sebaliknya, jika didapati bersalah syarikat L'oreal mungkin sudah lenyap dan tidak wujud pada hari ini.

Kredit:

  1. Smithsonian Mag
  2. L'oreal
  3. Business Insider



Hakcipta iluminasi.com (2017)