Oleh pada 11 Nov 2019 kategori

Oleh kerana penulis seorang Muslim, kami sudah dididik untuk menerima konsep bahawa manusia pertama yang dicipta iaitu Adam as. mempunyai pasangan yang dinamakan sebagai Hawa.

Kedua-duanya diturunkan ke bumi selepas dimaafkan atas kesalahan melanggar perintah dan larangan Allah swt., dibekalkan dengan ilmu yang cukup untuk menjadi Khalifah pertama bumi serta memulakan warisan manusia. Itu kisah ringkasnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, menurut kepercayaan agama lain khasnya segelintir penganut agama Yahudi, Hawa bukanlah wanita pertama yang dicipta sebagai pasangan Adam - sebaliknya sudah ada seorang makhluk wanita lain yang sepatutnya hidup bersama Adam, namun atas sebab-sebab tertentu - situasinya berubah.

Bukakan minda kita sebentar untuk mempelajari daripada perspektif agama lain, berkenaan Lilith - makhluk yang didakwa wanita pertama antara semua wanita.

Siapakah Lilith?

tugu lilith

Nama Lilith langsung tidak disebutkan dalam konteks kepercayaan Islam, jadi perkara ini jelas. Bagaimanapun mitos, hikayat dan kisah tentang Lilith banyak terkandung dalam kepercayaan orang Yahudi dan sedikit sebanyak berkait dengan masyarakat Kristian.

Secara amnya, Lilith merupakan satu watak yang sangat kontroversi apabila diwujudkan perbincangannya dalam perspektif agama Yahudi. Kisahnya berbunyi begini - semasa mencipta manusia, Tuhan menciptakannya sepasang daripada sumber yang sama, iaitu tanah. Lahirlah dua makhluk yang dinamakan Adam dan Lilith yang menghuni syurga.

Berbeza dengan Hawa/Eve daripada konteks Islam dan Kristian, Lilith merupakan pasangan Adam yang merasakan dirinya setaraf dengan Adam, sehinggakan enggan membenarkan Adam memimpin dirinya. Daripada pandangan Islam, wujud hadis yang menyifatkan Hawa dibentuk daripada tulang rusuk Adam as. dan pendapat ini hampir selari dengan apa yang terkandung dalam kitab Bible.

Bagaimanapun, banyak pihak cendekiawan Islam berpendapat 'tulang rusuk' yang dimaksudkan hanyalah satu analogi kepada sifat wanita, bukannya benar-benar mencerminkan asal-usul wanita itu daripada tulang rusuk lelaki.

Oleh kerana Lilith merasakan dirinya sama dengan Adam, diperbuat daripada bahan yang sama - jadi dia meletakkan dirinya patut mempunyai pandangan serta pendapat sendiri tanpa perlu akur dengan lelaki seperti Adam. Keengganannya menyebabkan Lilith mengambil keputusan meninggalkan syurga.

Banyak variasi tentang apa yang berlaku selepas itu. Dikatakan Lilith yang turun ke bumi berpasangan dengan satu malaikat bernama Samael. Samael ini pula disebutkan dalam kitab Talmud, malaikat yang ditugaskan untuk memimpin syaitan-syaitan.

Versi lain kisah Lilith dan Samael

Kisah berkenaan Adam dan Lilith yang kami ceritakan secara ringkas di atas, merupakan versi yang paling popular dan kerap kali disebarkan - berasaskan kepada kisah dalam koleksi tulisan yang digelarkan sebagai Alphabet of ben Sirach. Bagaimanapun, wujud beberapa versi lain yang jauh berbeza pendekatannya.

Salah satu tulisan yang menyangkal pendapat menyatakan Lilith adalah wanita pertama sebenar, datang daripada koleksi tulisan seorang Rabbi Yahudi bernama Isaac Ben Jacob Ha-Kohen, salah seorang pendeta Yahudi yang hidup pada abad ke 13 dan pakar dalam ilmu Kabbalah.

Beliau berpendapat kisah berkenaan Lilith merupakan satu bentuk manipulasi yang dilakukan iblis dan syaitan, untuk mengangkat Lilith sebagai tokoh dalam tamadun manusia.

Berdasarkan kepada teks-teks lama yang menjadi rujukannya, direkodkan bahawa Adam dan Eve diciptakan sepasang, sementara Samael dan Lilith pula dilahirkan sebagai satu pasangan lain - dalam jam yang sama dengan Adam dan Eve, membawa imej serupa dan saling berkaitan antara satu sama lain.

Lilith dalam versi ini merupakan makhluk yang tidak menyerupai manusia sepenuhnya. Dia dikatakan mempunyai tubuh seorang wanita cantik daripada kepala ke pinggang, namun diperbuat daripada api di bahagian kaki. Walaupun ditakdirkan akan bersama, pada awalnya Lilith berpasangan dengan Asmodeus, ketua kepada syaitan yang menyebabkan Samael bertindak merampas Lilith daripada pasangannya.

Apabila bersatunya mereka berdua, seolah-olah lengkaplah takdir yang telah ditetapkan pada mereka semasa lahir - bersama-sama menimbulkan kekacauan dan huru-hara di bumi.

Lilith dalam konteks kepercayaan Kristian

lilith dan samael

Sekiranya dikaji, anda akan mendapati wujud banyak salah sangka berkenaan Lilith yang seringkali dikaitkan dalam kepercayaan masyarakat Kristian. Ini kerana istilah 'Lilith' ada disebutkan dalam The Book of Isaiah, salah satu bab dalam kitab Bible yang berbunyi;

"Wildcats shall meet hyenas, / Goat-demons shall greet each other; / There too the lilith shall repose / And find herself a resting placeā€ (Isaiah 34:14)"

Banyak pendapat menyelar terjemahan ini sebagai satu bentuk terjemahan yang lemah serta mengelirukan pembacanya, sehingga mampu mempercayai sesuatu yang tidak ada asas. Ini kerana terjemahan kepada terma 'lilith' dikatakan mewakili sejenis burung hantu yang mempunyai sifat burung biasa, yang hanya aktif pada waktu malam.

Tidak ada sebarang cara pun untuk mengaitkan ayat di atas dengan Adam, manusia pertama.

Satu lagi kekeliruan yang timbul berkenaan kisah Lilith dan Eve ini adalah daripada kecelaruan yang ditimbulkan beberapa pihak, berkenaan dua wanita yang disebutkan dalam Genesis 1 dan Genesis 2. Ini kerana wujud dua versi berbeza tentang kisah bagaimana manusia diciptakan, berdasarkan interpretasi masing-masing.

Dalam Genesis 1 (ayat 27) disebutkan bahawa Tuhan mencipta manusia berdasarkan kepada imej Dia, dengan penciptaan lelaki dan wanita adalah hasil kepada penciptaan itu. Bagaimanapun, dalam Genesis 2 (ayat 21), disebutkan bahawa Tuhan menciptakan manusia - dengan mengambil tulang rusuk Adam lalu dibuatkan wanita.

Berikutan daripada percanggahan ini, ada pendapat mengatakan ayat dalam Genesis 1 sebenarnya merujuk kepada Lilith, wanita pertama yang diciptakan serentak dengan Adam, dibuat daripada unsur yang serupa. Pendokong pendapat ini percaya ayat Genesis 2 pula khas merujuk kepada Eve semata-mata, dengan Eve diciptakan berbeza caranya berbanding Lilith.

Adakah Lilith fantasi dongeng ciptaan manusia?

lilith wanita manusia pertama

Hakikatnya, komuniti Yahudi sendiri berdepan kesukaran dalam memperbetulkan fakta berkenaan kisah kewujudan Lilith ini. Ini kerana bagi mereka, kisah berkenaan Lilith merupakan penambahan-penambahan yang dilakukan semasa penulisan kitab 'The Alphabet of ben Sirach' - yang sebenarnya tidak diiktiraf sebagai salah satu kitab rasmi masyarakat Yahudi.

Di dalam kitab Tanach sendiri, istilah 'lilith' atau 'lilit' memang wujud namun terjemahannya jelas merujuk kepada sejenis burung yang bergerak pada waktu malam, bukan pada syaitan Lilith, manusia Lilith atau apa saja bentuk Lilith ini diceritakan. Bagaimanapun, populariti berkenaan 'wanita' pertama bumi yang mendahului Eve/Hawa ini sangat popular diceritakan sehinggakan ramai yang percaya dengan kisahnya.

Sekiranya diamati kembali, wujud terlalu banyak percanggahan yang tidak selari dalam memahami siapakah Lilith dan benarkah Lilith ini wujud. Kisah-kisah yang ada juga seakan-akan ditokok tambah dengan banyak elemen ghaib dimasukkan, selain daripada usaha meletakkan Lilith sebagai satu makhluk yang perlu digeruni dan ditakuti.

Kami tinggalkan anda dengan satu fakta yang sahih. Sekiranya kita kaji asal-usul perkataan 'lullaby' secara rasminya disebutkan perkataan itu datang daripada istilah Inggeris lama 'lullen' yang bermaksud mendodoikan anak kecil, digabungkan dengan perkataan 'bye' tanpa sebab yang jelas.

Ada juga pihak percaya perkataan 'lullaby' sebenarnya merujuk kepada Lilith, berasal daripada istilah 'Lillith-abi' yang bermaksud 'nyah kau Lilith!' atau 'pergi kau Lilith' digunakan khas untuk menenangkan bayi, daripada gangguan Lilith. Ini kerana Lilith dikatakan berikrar akan mengganggu bayi dalam perjanjiannya dengan malaikat yang mahu membawanya kembali ke tempat asalnya.

Sama ada benar atau tidak, mitos atau hanya rekaan seseorang yang bosan - kisah tentang Lilith sehingga sekarang terus menghantui mereka yang percaya dengan kewujudannya. Sedangkan amat jelas, ketakutan itu sebenarnya tak berapa kukuh pun asasnya.

Rujukan

Lilith Seductress, heroine or murderer?

Samael, Lilith, and the Concept of Evil in Early Kabbalah




Hakcipta iluminasi.com (2017)