Sebelum ledakan siri filem adiwira memuncak seperti yang kita saksikan hari ini, media televisyen berasaskan adiwira menjadi sumber terbesar peminat-peminat komik untuk menyaksikan watak kegemaran mereka beraksi.

Salah satu siri TV popular yang menjadi fenomena antarabangsa adalah 'Smallville.'

Produksi yang memaparkan kisah bagaimana watak Clark Kent membesar sebelum bergelar 'Superman' mendapat sambutan hangat di seluruh dunia, memacu nama aktor Tom Welling serta dua pelakon cantik Kristin Kreuk dan Allison Mack.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun berjalan 10 musim dari tahun 2001 sehingga tahun 2010, tidak ramai yang mengetahui dalam masa yang sama dua nama besar siri itu terpalit dengan sebuah kultus ajaran sesat semasa di kemuncak populariti.

Dua pelakon utama Smallville ahli kultus MLM

allison mack hukuman penjara smallville superman

Pada tahun 2018 salah seorang pelakon utama siri Smallville, Allison Mack ditangkap pihak polis atas dakwaan pemerdagangan manusia yang berkait dengan sebuah kultus bernama NXIVM (disebut sebagai NEXIUM).

Ditubuhkan tahun 1998, NXIVM didaftar sebagai sebuah syarikat jualan langsung oleh seorang lelaki bernama Keith Raniere (gambar bawah) - menawarkan khidmat konsultansi dan program eksekutif sokongan bagi membina kerjaya golongan profesional.

keith raniere kultus nxivm

Kisah bagaimana produksi siri TV Smallville terpalit dengan kultus ini bermula selepas Kristin Kreuk, pelakon utama siri itu menyertai salah satu program yang ditawarkan NXIVM bagi memperkembangkan kerjaya beliau pada tahun 2006.

Penyertaan Kreuk disyorkan  teman lelakinya ketika itu, Mark Hildreth salah seorang anggota NXIVM diharap membantu Kreuk membuang rasa malu yang dihadapinya dalam kerjaya agar membolehkan kariernya melonjak ke tahap lebih tinggi.

Mengakui keberkesanan program itu, Kreuk mengesyorkan Allison Mack pelakon watak 'Chloe Sullivan' dalam produksi Smallville untuk turut sama menyertai program yang ditawarkan.

Mack 100% komited dalam menjayakan program yang disertainya. Di sinilah kisahnya mula menjadi lebih aneh.

Merekrut hamba wanita sebagai hadiah pengasas kultus

nxivm kultus ajaran sesat

Untuk beberapa tahun selepas itu, tidak ada apa-apa berita aneh kedengaran berkenaan penglibatan Kreuk, Mack dan syarikat MLM itu.

'Smallville' menamatkan produksinya dan kesemua bintang utamanya termasuklah Kreuk dan Mack meneruskan kerjaya masing-masing dalam haluan sendiri.

Sehinggalah awal tahun 2017, seorang pelakon Kanada bernama Sarah Edmondson mendedahkan tentang penglibatan dirinya dalam sebuah kultus rahsia bernama 'Dominus Obsequious Sororium' singkatannya DOS membawa makna 'Tuan Kepada Hamba Wanita'.

DOS bergerak sebagai sebuah komuniti wanita dalam NXIVM yang dipertanggungjawabkan mencari jalan terbaik memuaskan nafsu pengasas mereka, Keith Raniere.

Apa yang sangat memeranjatkan, Edmondson mendedahkan tulang belakang utama kumpulan ini, adalah Allison Mack.

Edmondson mendakwa pada awal penyertaan, dia menyertai satu majlis yang diadakan di rumah Mack di mana kulitnya dicacah menggunakan besi panas bersimbolkan empat huruf; 'AM' mewakili 'Allison Mack' dan 'KR' yang mewakili 'Keith Raniere' - bagi membuktikan kesetiaan dia kepada kumpulan tersebut.

17cult2 jumbo

Parut yang wajib ada pada semua pengikut DOS

Edmondson mendedahkan antara syarat lain yang ditetapkan Mack dan Raniere untuk keanggotaan mereka diterima, adalah untuk setiap calon wanita menyerahkan gambar mereka dalam keadaan memalukan; sebagai jaminan kerahsiaan berkenaan kegiatan kumpulan mereka.

Ada juga kes Mack sendiri bertindak sebagai jurufotonya.

Jual tubuh untuk perkembangan karier

allison mack penjara kultus seksual

Mack mula menyertai NXIVM dalam tahun 2006 atas jaminan Raniere boleh membantu memperkembangkan karier beliau.

Allison Mack diberikan layanan istimewa selepas menyatakan minat, diterbangkan menggunakan jet peribadi milik salah seorang individu berpengaruh organisasi tersebut bagi menemui pengasas mereka.

Tanpa perlu menjalani kursus induksi seperti peserta lain, Mack diberikan layanan khas sejak hari pertama penyertaan, diperkenalkan ke dalam program kendalian NXIVM.

Situasi itu dimanipulasi Mack, meletakkan dirinya dapat bertindak sebagai orang kanan Raniere dan menjadi individu kedua paling berkuasa dalam organisasi NXIVM.

Untuk sampai ke tahap itu, bermacam pengorbanan telah dilakukan Mack. Tubuhnya dijadikan bahan gadaian utama.

Selain memuaskan nafsu Raniere, Mack juga diberikan tanggungjawab mencari individu-individu wanita berpotensi bagi diserap masuk ke dalam DOS, yang bertindak sebagai kumpulan paling rapat hubungannya dengan Raniere dalam struktur NXIVM.

Mack dan seorang wanita bernama Nancy Salzman diberikan kuasa untuk menghukum dan mengugut mana-mana wanita yang ingkar, enggan mematuhi permintaan atau syarat yang ditetapkan Raniere atau NXIVM.

Ekoran laporan yang dibuat oleh Edmondton serta pendedahan besar-besaran dalam New York Times, pihak FBI membuka kertas siasatan - berjaya menangkap Raniere pada bulan Mac 2018 di Puerto Vallarta, Mexico.

Ketika itu dia ditemani beberapa orang wanita termasukla Allison Mack dalam sebuah villa mewah. Mack pula diberkas sebulan selepas itu di rumahnya di Brooklyn.

Tidak mengaku bersalah atas semua dakwaan

smallville legasi kultus ajaran sesat seks 02

Dalam sebuatan awal kes, Mack berdepan pelbagai tuduhan melibatkan pemerdagangan manusia, mengugut serta bertindak merakamkan sendiri gambar wanita tanpa kerelaan, semata-mata untuk dijadikan hadiah kepada tuannya Raniere.

Mack tidak mengaku bersalah atas semua dakwaan.

Perbicaraan yang berjalan hampir 2 tahun mendapati sebaliknya. Penglibatan Raniere sebagai ketua kepada kultus NXIVM mensabitkan hukuman penjara 120 tahun - majoriti hukumannya melibatkan kekejamannya memaksa wanita bekerja sebagai hamba.

Allison Mack dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun pada 30 Jun 2021 selepas menukar pengakuan kepada akuan bersalah; mengelak hukuman penjara 17 tahun seperti jangkaan awal.

Mack mengakui mindanya dicemari ajaran Raniere yang membuatkan dirinya bertindak di luar pertimbangan norma.

Walau demikian, saksi-saksi perbicaraan mendedahkan peranan besar Mack dalam kultus tersebut; bertindak sebagai mentor yang fokus tugasnya untuk meyakinkan wanita-wanita lain agar melakukan hubungan seks dengan Raniere sebagai kaedah pemulihan diri.

Selain itu Mack juga didenda $20,000 (RM83,100) serta dikenakan tambahan 1,000 jam kerja komuniti.

Kristin Kreuk menafikan penglibatannya

smallville legasi kultus ajaran sesat seks 03

Bagi Kristin Kreuk yang menjadi individu membawa masuk Allison Mack ke dalam NXIVM - dia menafikan penglibatannya dalam kultus seksual organisasi DOS kendalian Mack.

Kreuk mendakwa dia telah meninggalkan NXIVM pada tahun 2012 serta langsung tidak tahu wujudnya gerakan rahsia kumpulan wanita pemuas nafsu Raniere yang dikendalikan sendiri rakan baiknya itu.

Bagaimanapun, satu dokumen bukti bergambar dalam mahkamah menunjukkan Kreuk pernah menyertai aktiviti NXIVM sekitar tahun 2014 bersama-sama barisan individu tertinggi organisasi tersebut.

Berbeza dengan Sarah Edmondton serta ramai lagi wanita yang tampil menjadi saksi kes perbicaraan melibatkan Keith Raniere dan Allison Mack, Kreuk memilih untuk mendiamkan diri, tegas mengatakan dia tidak tahu.

Walaupun demikian, beberapa projek yang dipelopori dan disertai Kreuk semasa menyertai NXIVM jelas dibentuk untuk menarik minat gadis-gadis muda remaja masuk ke dalam organisasi mereka.

Sama ada Kreuk tahu atau tidak apa yang berlaku di sebalik semuanya, hanya dia yang tahu.

Apa yang penulis tahu, memang sukar untuk penulis menonton 'Smallville', menyaksikan kembali lakonan Allison Mack yang comel wajah dan perwatakannya.

Ini kerana dalam dunia nyata dia yang luarannya cukup cantik, ternyata sanggup memperhambakan diri sendiri dan wanita lain demi kepuasan seorang lelaki asing dalam hidupnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)