Oleh pada 08 Mar 2023 kategori

Kejadian bencana alam semulajadi berlaku di seluruh dunia, pastilah turut melibatkan kita di Malaysia. Bagaimanapun dek kedudukan kita yang terlindung, kita agak bernasib baik berbanding jiran-jiran kita. 

Negara seperti Indonesia, Jepun dan Amerika Syarikat pula terkenal sebagai negara yang saban tahun berdepan bencana alam yang bukan saja mengakibatkan kerosakan harta benda, lebih malang meragut hingga ribuan nyawa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sesuatu bencana secara automatiknya akan kita lihat dalam konteks negatif, kan? Sebut bencana saja, yang buruk saja terbayang di mata. Realitinya, walaupun kita berdepan kejadian buruk akibat bencana semulajadi, banyak aspek tertentu yang bertambah baik ekoran kejadian-kejadian ini.

Berikut adalah lima faedah berlakunya lima jenis bencana alam kepada kita, yang jarang kita bincangkan manfaatnya.

1. Banjir sebagai penyubur alam

banjir pro dan kontra faedah

Dalam kajian sains, banjir membawa bersama banyak kelebihan bersama airnya.

Banjir memainkan peranan menaikkan semula kadar air di kawasan-kawasan yang sebelum ini terjejas akibat proses perbandaran atau gangguan kepada alam.

Bagi sektor pertanian, banjir juga mengakibatkan peningkatan khasiat pada tanah, menyebabkan tanah yang ditenggelami menjadi semakin subur seterusnya menggalakkan proses pertumbuhan berlaku apabila manusia bercucuk tanam, dengan lebih baik.

Banjir juga berupaya memindahkan habitat makhluk seperti ikan, haiwan lain atau serangga. membolehkan habitat baru dibentuk ke dalam ekosistem berbeza. 

Di kawasan di mana airnya tidak surut-surut selepas banjir, masyarakat yang tinggal disekitarnya dapat memanfaatkan kawasan perairan baru ini untuk tujuan baru, seperti bercucuk tanam atau dijadikan sumber makanan melalui aktiviti perikanan.

2. Gempa bumi membina semula permukaan bumi

gempa bumi bencana yang ada baik buruk

Gempa bumi merupakan tragedi semulajadi yang menakutkan namun kesan positif gempa bumi kepada bumi sendiri terlalu besar, sehinggakan layak untuk kita katakan gegaran gempa bumi adalah proses bumi memelihara kesejahteraan dirinya.

Pelbagai bentuk muka bumi yang dapat kita lihat sekarang meliputi bukit, gunung dan tanah tinggi - semuanya terbentuk daripada pergerakan tanah apabila gempa bumi berlaku, menukar bentuknya mengikut kekuatan gegaran yang terhasil.

Sebab itulah gerakan yang menghasilkan gempa bumi digelarkan sebagai plat tektonik atau 'plat pembina' dalam lapangan sains, kerana perubahan yang berlaku pada tanah bukan saja mengubah bentuk muka bumi, bahkan bertanggungjawab mengitar semula kerak bumi lama digantikan dengan lapisan baru dari dalam tanah.

Bahan-bahan mineral dan galian yang kita gunakan dalam kehidupan seharian, seperti emas, petroliam dan sebagainya juga terkumpul semasa berlakunya gegaran, memudahkan usaha manusia menemui dan mendapatkannya.

3. Gunung berapi adalah baja alam

bencana gunung berapi faedah keburukan

Bagi sesetengah kawasan, bencana gunung berapi merupakan risiko yang perlu dihadapi setiap hari.

Walaupun demikian, masih banyak keluarga enggan berpindah ke kawasan lain, tegar menetap di kawasan-kawasan berisiko disebabkan faedah yang telah mereka rasai menetap di kawasan berdekatan gunung berapi.

Aktiviti gunung berapi menyediakan lapangan tanah yang cukup subur di kawasan sekelilingnya, membolehkan produktiviti tinggi dalam bidang pertanian dijalankan.

Setiap kali berlakunya letusan walaupun letusan kecil sekalipun, sisa letusan gunung berapi kaya dengan bahan magnesium dan potassium yang membantu menyuburkan tanah. Abu yang terhasil juga merupakan baja semulajadi yang berkesan mempertingkatkan tumbesaran tanaman.

Letusan gunung berapi juga memainkan peranan membentuk kawasan tanah baru, seperti yang telah berlaku terbaru di tengah Lautan Pasifik pada bulan September 2022.

Letusan itu membentuk sebuah pulau berkeluasan 1 ekar sebelum pertambahan aliran lahar yang mengalir, mengakibatkan saiznya membesar sehingga 6 ekar.

4. Tsunami adalah musibah yang berfaedah

bencana tsunami pro dan kontra

Kita di Malaysia pasti masih mengingati tragedi tsunami besar yang melanda negara kita serta banyak lagi negara jiran kita dalam tahun 2004.

Melihat kerosakan yang berlaku, pasti sukar untuk kita memikirkan - apakah kebaikan utama berlakunya tsunami? Tsunami berkait dengan kejadian gempa bumi, jadi kedua-duanya mempunyai fungsi yang berhubung antara satu sama lain.

Jika gempa bumi membentuk permukaan bumi, tsunami adalah mekanisme yang mengangkut dan membawa nurtien, khasiat dan organisme dari laut ke permukaan bumi yang menyuburkan ekosistem alam serta memperkenalkan organisme baru ke dalam kehidupan kita.

Gelombang tsunami membawa bermacam-macam jenis mineral bersamanya, juga memupuk pembukaan habitat makhluk serta memperbanyakkan lagi kawasan hutan yang baru melalui biji benih yang diangkutnya.

Seperti gunung berapi, tsunami juga mempunyai kebolehan membentuk kawasan tanah baru melalui pasir yang dibawa bersamanya atau boleh juga mengubah bentuk muka bumi, daripada satu bentuk kepada satu bentuk berbeza.

5. Ribut taufan adalah penyeimbang suhu bumi

ribut taufan manfaat keburukan

Berada dalam situasi ribut taufan merupakan pengalaman menakutkan bagi sesiapa saja.

Angin kencang serta hujan lebat yang hadir sudah cukup untuk menyedarkan kita betapa kecilnya kudrat kita manusia, jika dibandingkan dengan kemampuan bencana alam. Di sebalik ribut yang hadir, pasti ada manfaatnya bukan? Memang ada.

Ribut taufan adalah mekanisme utama bumi menyeimbangkan penyebaran haba ke seluruh permukaannya, disebabkan putaran bumi yang sedikit condong orientasinya.

Di tengah-tengah garisan ekuator bumi, akan berlaku pemusatan radiasi solar yang diterima dari matahari; dilabelkan sebagai proses insolasi. Proses ini memainkan peranan meningkatkan suhu permukaan air di lautan yang membolehkan proses penyejatan dan kitaran air berjalan.

Haba yang terhasil daripada proses ini dinamakan sebagai haba ekuator, memerlukan mekanisme untuk menggerakkannya agar tebaran haba ini disebar secara seimbang dan tidak hanya tertumpu di sepanjang garis ekuator.

Bagi menyebarkan tenaga ini, pergerakan tenaga radiasi akan mula bertindak balas dengan permukaan bumi dan air, menghasilkan awan-awan ribut yang terkumpul di garisan ekuator.

Hujan yang dibawa oleh ribut ini berupaya meningkatkan kembali taburan hujan di kawasann yang semakin kering apabila wujud perbezaan tekanan udara. Ribut yang hadir turut sama mengangkut bahan seperti tanah dan nutrien, memulihkan kembali tanah-tanah tandus. 

Sama seperti empat bencana di atas, ribut taufan juga membawa bersamanya benih dan makhluk-makhluk mikro, menggalakkan pembukaan kawasan habitat baru serta menambahkan kembali kawasan hutan di kawasan yang memerlukannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)