Haiwan kambing dan lembu sangat mudah dibezakan berdasarkan bentuk dan saiz fizikalnya. Namun, di kawasan pergunungan Himalaya terdapat satu spesis haiwan yang dianggap hibrid kedua haiwan ini. Dikenali sebagai "Takin", haiwan ini hanya boleh ditemui di kawasan pergunungan Himalaya.

Takin kelihatan seperti seekor makhluk fantasi dari buku kanak-kanak. Dengan tanduk antelope kambing terestrial berbulu, makhluk yang menonjol ini mempunyai muncung panjang dan bulat, badan yang tegap dan gagah, empat kaki pendek, dan kuku dua jari kaki yang besar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi mungkin ciri fizikal takin yang paling menyerlah adalah ukuran badannya yang mengagumkan. Haiwan ini boleh mempunyai berat hingga 770 paun dan panjangnya boleh mencecah hingga tujuh kaki. Walaupun ia adalah haiwan nasional Bhutan, anda tidak mungkin menemukannya dalam kartun, sebagai maskot sukan atau dalam video dokumentari yang popular. 

Inspirasi kepada kisah-kisah mitos kuno

mitos takin

Walaupun habitatnya merangkumi banyak negara termasuk bahagian India, Bhutan dan Myanmar, kebanyakan pencinta haiwan dan pemerhati mamalia mendakwa haiwan ini lebih banyak ditemui di China.

Takin adalah mamalia keluarga Bovidae yang merangkumi kambing, lembu dan antelop. Ia juga berkongsi sebahagian wilayahnya dengan beruang panda. Walaupun menyerupai lembu kasturi (musk ox) atau bahkan kambing yang disilangkan dengan seekor kijang, genetik takin sebenarnya paling hampir sama dengan kambing liar.

Penampilan takin yang luar biasa menampilkan gabungan ciri-ciri dari keluarga bovidnya, termasuk berbulu tebal yang boleh terdiri dari warna dari coklat kemerahan hingga warna keemasan putih berkrim. Dalam sejarah, ia pernah digelar sebagai lembu berkulit emas kerana bulunya yang berkilat.

Bulu emasnya begitu menarik perhatian, malah ada yang percaya takin emas menjadi inspirasi kisah "Golden Fleece" dalam mitologi Yunani kuno. Menurut mitos, pernah ada seekor haiwan bewarna keemasan dan bersayap yang dikenal sebagai Chrysomallos, yang merupakan anak dewa laut Poseidon.

Chrysomallos dikorbankan dan kulitnya dikumpulkan dan seorang pahlawan bernama Jason yang ditugaskan untuk mengambilnya untuk menuntut takhta kerajaannya. Tentunya tidak masuk akal bahawa khabar angin mengenai kulit emas yang benilai dan indah dapat berjalan sendirian dari Himalaya ke pantai Laut Hitam, tempat mitos ini berasal.

Adaptasi terhadap persekitaran yang ekstrim

takin 725

Selain warna bulu yang luar biasa, takin mempunyai ciri-ciri lain yang memungkinkannya untuk hidup di persekitaran pegunungan Himalaya yang sejuk. Salah satu ciri itu adalah bentuk hidungnya yang unik.

Tetapi hidung takin sebenarnya membantunya untuk mengekalkan kehangatan dalaman. Hidungnya yang besar mempunyai rongga sinus yang besar di mana udara dapat memanaskan badan sebelum memasuki paru-paru haiwan ini. Udara hangat ini sangat membantu memastikan segala yang ada di dalam badan takin tetap hangat dan selesa.

Satu lagi teknik penyesuaian takin yang agak unik adalah minyak yang dikeluarkan oleh keseluruhan badannya. Minyak yang mempunyai bau yang menyengat ini menghasilkan satu lapisan penyimpanan haba dan tahan air yang juga membolehkannya menandakan wilayahnya dengan mudah dengan hanya mengelap pada pokok dan rumput berdekatan.

Takin biasanya dijumpai dalam kumpulan keluarga kecil yang terdiri daripada 20 ekor, walaupun takin yang lebih tua lebih banyak hidup bersendirian. Pada musim panas, kawanan sehingga 300 ekor berkumpul boleh ditemui di lereng gunung. Kumpulan takin sering muncul dalam jumlah yang banyak apabila terdapat tempat makan yang baik, sumber garam atau sumber mata air panas.

Proses mengawan berlaku pada bulan Julai dan Ogos. Takin jantan dewasa akan bersaing untuk menjadi dominan dengan berlawan secara langsung dengan lawan dan kedua-dua jantina takin menggunakan aroma air kencing mereka sendiri untuk menunjukkan dominasi dan menarik perhatian pasangan. 

    

Seekor takin biasanya dilahirkan selepas tempoh kehamilan sekitar lapan bulan. Takin berhijrah dari padang rumput di kawasan tinggi ke kawasan yang lebih rendah dan lebih berhutan pada musim sejuk dan menyukai tempat yang cerah ketika matahari terbit. 

Apabila batuk dihasilkan sebagai tanda ancaman, seluruh kawanan takin akan berlari dan bersembunyi disebalik tumbuh-tumbuhan berdekatan biasanya di sebalik rimbunan buluh dan rumput tinggi lainnya. Takin adalah herbivora diurnal, yang bermaksud bahawa ia memakan banyak pada waktu subuh dan senja, seperti anggota keluarga Bovidae yang lain.

Takin makan pada awal pagi dan lewat petang dengan meragut pelbagai jenis daun dan rumput serta rebung dan bunga. Takin memakan pelbagai jenis tumbuhan daripada 65 spesies yang berbeza.

Mereka pernah dilihat berdiri di kaki belakang mereka untuk memakan daun setinggi 3.1 m (10 kaki). Garam juga merupakan bahagian penting dalam diet mereka dan satu kumpulan takin mungkin tinggal di lokasi simpanan mineral selama beberapa hari untuk menjilat garam ini. 

Pengambilan garam dan mineral sangat penting untuk diet mereka dan oleh itu mempengaruhi corak migrasi mereka, kerana takin akan bergerak untuk mencari sumber garam. Mineral-mineral ini membolehkan mereka memecah sebarang toksik dalam sistem badan mereka dari pelbagai flora yang mereka makan.

Ancaman kepupusan

haiwan takin

Ancaman terbesar bagi takin adalah manusia akibat kehilangan habitat dan pemburuan secara haram. Pemburu mencari takin untuk dijual sebagai daging eksotik dan juga tanduknya yang cantik dan warna kulitnya yang keemasan.

Namun, ancaman terbesar untuk mereka bertahan hidup adalah kehilangan habitat. Populasi mereka semakin berkurang dan empat subspesiesnya disenaraikan sebagai terancam mengikut pangkalan data International Union for Conservation.

China membuat langkah untuk memelihara bukan hanya takin tetapi juga banyak penduduk hutannya dengan menggazetkan hutan simpan yang diberi nama Laohegou Land Trust Reserve pada tahun 2013. Pemeliharaan kawasan seluas 27,325 hektar ini akan membantu memastikan bahawa haiwan-haiwan luar biasa dari hutan-hutan di Asia ini dilindungi.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Nature



Hakcipta iluminasi.com (2017)