Ada sesetengah orang, apabila berduit, semua benda pun ingin dibeli. Sesetengah yang lain pula suka melancong dan ada juga yang berhati mulia lebih gemar menghabiskan wang dengan amal kebajikan. Namun, bagi 9 orang dalam senarai ini, mereka memilih untuk membina bangunan - tidak kira sama ada kediaman, pejabat atau rumah ibadat - yang unik dan menepati citarasa mereka. Ada bangunan yang ganjil, namun tidak kurang juga ada ciptaan yang sangat kreatif.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Gereja ayam

Bangunan pelik ini terletak di tengah-tengah hutan belantara di Indonesia. Gereja Ayam yang sudah lama ditinggalkan ini merupakan sebuah tarikan pelancong di kawasan Magelang, Jawa Tengah.

Dikhabarkan bangunan berbentuk ayam ini pada mulanya dibina sebagai sebuah gereja namun menurut pemilik yang membinanya, ia bukanlah seekor ayam mahupun sebuah gereja. Daniel Alamsjah, mendedahkan yang dia telah bermimpi dan menerima 'mesej Tuhan' untuk membina sebuah bilik beribadat dalam bentuk burung merpati.

gereja ayam bangunan pelik 798

Tidak lama selepas itu, seorang penduduk tempatan telah menawarkan tanah seluas 5,000 meter persegi di Bukit Rhema pada harga 3.5 juta rupiah. Daniel telah membayar jumlah itu dalam tempoh empat tahun dan mula menjalankan kerja-kerja pembinaan pada tahun 1994. Tempat itu kini dibuka untuk semua pelawat beragama Buddha, Islam dan Kristian untuk melawat sambil beribadat.

Menurut Daniel, bangunan itu pernah digunakan sebagai rumah pemulihan untuk kanak-kanak kurang upaya, penagih dadah dan pesakit dengan gangguan mental walaupun kebanyakan bahagian dalam bangunan tidak lengkap.

Walau bagaimanapun, rumah itu terpaksa dihentikan operasi pada tahun 2000 akibat kekurangan dana. Namun, pada tahun 2015 ia telah menjadi tular selepas satu artikel dikeluarkan oleh Huffington Post dan The Daily Mail. Pada tahun 2016 pula ia telah menjadi salah satu lokasi penggambaran filem Ada Apa Dengan Cinta 2.

cinta rangga aadc2 lokasi penggambaran di gereja ayam bukit rhema

Ribuan pengunjung mula berpusu-pusu ke rumah ibadat ini setelah ia menjadi tular. Daniel akhirnya berjaya menjana pendapatan daripada bayaran masuk ke sini dan wang itu digunakan untuk membuat kerja-kerja pembaikan yang diperlukan setelah sekian lama. Kini, ia masih menerima kunjungan pelawat yang tertarik dengan keindahan dan keunikannya sehingga ke hari ini. (sumber)

2. Gunung peribadi di atas bangunan

binaan gunung dibina di atas rumah apartment

Zhang Biqing, seorang doktor jutawan dari Beijing telah membina sebuah gunung di atas bangunan apartmentnya setinggi 26 tingkat.

Vila atas bumbung yang cantik ini mengambil masa selama lebih enam tahun untuk dibina. Walaupun terletak di tengah kesibukan bandar, ia mempunyai pokok, batu-batuan serta rumput hijau yang setanding dengan lokasi eksotik yang lain.

gunung di atas bangunan di china

Namun demikian, Biqing gagal mendapatkan kelulusan dan permit untuk membina struktur gergasi ini di atas bangunan itu. Malah, kerja-kerja pembinaan selama enam tahun itu juga tidak disenangi oleh jiran tetangga.

Setelah menerima terlalu banyak aduan, Biqing terpaksa akur apabila pihak berkuasa akhirnya mengeluarkan arahan untuk merobohkan binaan tersebut pada tahun 2013. (sumber)

3. Pulau lanun

Pulau ini kelihatan seperti lokasi yang sesuai untuk membuat penggambaran Pirates of the Caribbean. Terletak di tengah-tengah tasik di sebuah estet, pulau ini lengkap dengan sebuah pub dinamakan The Black Doubloon, sebuah dok kapal, air terjun dan pantai.

pulau challis dibina di tengah tasik

Coffer Cabin pula mempunyai sebuah katil lanun yang direka khusus untuk pulau kecil ini.

Pemilik berusia 30-an yang tidak mahu namanya dikenali dilaporkan terinspirasi daripada minatnya yang mendalam terhadap semua perkara berkaitan lanun.

pulau lanun challis island united kingdom

Dia memulakan kerja-kerja pembinaan Pulau Challis di atas estetnya yang berkeluasan 60 ekar pada tahun 2011 dan sangat teruja apabila melihat hasil di penghujungnya. Malah, dia telah membeli sepasang kostum lanun dan sedang dalam persediaan untuk hidup seperti idolanya iaitu Kapten Jack Sparrow lakonon Johnny Depp. (sumber)

4. Istana fairytale

Seorang jutawan dari China sedang dalam misi untuk membina 100 buah istana kisah dongeng. Liu Chonghua merupakan seorang usahawan industri katering yang menjana pendapatan melalui hasil penjualan kek.

jutawan kek liu chonghua membina istana

Dia telahpun membina sebanyak tujuh istana dan berhasrat untuk meluaskan portfolio hartanahnya serta membina rumah seakan-akan Istana Windsor di bandar Chongqing.

Chonghua dibesarkan dalam keluarga susah dan dihantar untuk menggali parit semasa pergolakan politik sekitar 1960-an. Selepas menempuhi kesusahan dan berjaya mengumpulkan harta, dia mula menceburkan diri dalam pembinaan istana.

jutawan china membina istana fairytale eropah

Menurut Chonghua, dia mendapat inspirasi daripada bangunan di Munich, rumah kampung di Lembah Loire Perancis, hasil binaan arkitek Sepanyol iaitu Antoni Gaudi dan juga pereka katedral Sagrada Familia di Barcelona.

Chonghua telah melaburkan lebih 100 juta yuan untuk membina rumah idamannya. Lokasi kediamannya itu telah menjadi tarikan terbaru untuk para pelancong. Ramai orang membanjiri istana Chonghua untuk mengambil gambar dan dilaporkan projek hartanah seumpamanya adalah bagus untuk pertumbuhan ekonomi di negara itu. (sumber)

5. Pagar akuarium

Pada tahun 2005, Mehmet Ali Gökçeoğlu telah membina sebuah pagar akuarium di sekeliling rumah agamnya. Tidak seperti orang biasa yang menggunakan pagar besi, Mehmet memilih akuarium sepanjang 50 meter yang diisi ratusan ekor ikan dan sotong kurita.

pagar rumah berbentuk akuarium di turki

Terletak beberapa kaki sahaja dari pesisiran pantai Laut Aegean, rumah Mehmet telah menjadi sebuah tarikan pelancong di bandar Çeşme. Menurut Mehmet, ia telah berjaya menarik minat sehingga ribuan pengunjung setiap hari untuk melihat sendiri rumah dan pagar unik itu.

Bagi Mehmet, membina struktur lutsinar itu adalah perkara yang mudah. Namun, bahagian pembinaan yang paling sukar adalah menyambung pagar akuarium ini dengan Laut Aegean menggunakan sistem paip sepanjang 400 meter yang dibina di dalam tanah untuk memastikan akuarium sentiasa bersih, air sentiasa diganti dan hidupan laut dapat hidup dengan baik.

jutawan mehmet ali membina pagar akuarium

Untuk menjalankan tugas itu sahaja, Mehmet telah mengupah satu kumpulan penyelam dengan bayaran 40,000 Lira. Menurutnya, pengorbanannya itu berbaloi setelah melihat ramai orang yang berkumpul di luar rumah untuk melihat hasil ciptaannya.

Bagi memastikan tiada sesiapa yang datang terlalu dekat dengan pagar mudah pecahnya itu atau mencuri hidupan laut di dalamnya, dia juga telah memasang rangkaian 17 buah kamera litar tertutup lengkap dengan sistem pengecaman wajah. (sumber)

6. Ibu pejabat kapal angkasa

Ibu pejabat sebuah syarikat pembangunan video game, NetDragon Websoft telah dibina menyerupai kapal Star Trek iaitu USS Enterprise. Pengasasnya, Liu Dejian, telah membelanjakan wang sekitar 600 juta yuan untuk membina bangunan cereka sains berukuran 260 meter itu.

liu dejian jutawan china peminat star trek

Syarikat itu telah memastikan yang mereka mendapat kebenaran dan kelulusan daripada pemunya hak rancangan TV tersebut iaitu CBS sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan pada tahun 2010.

Bangunan yang diinspirasikan daripada USS Enterprise NCC 1701-C itu terletak di bandar Changle di wilayah Fujian. Projek pembinaan selesai pada bulan Oktober 2014 dan mempunyai gelongsor besi berukuran 30 kaki antara setiap tingkat serta pagar gelangsar automatik.

pejabat syarikat video game berbentuk kapal angkasa star trek

Di bahagian dalam 'kapal angkasa' ini pula terdapat sebuah replika dinosaur Tyrannosaurus rex (T-rex) dalam saiz sebenar yang dibuat berpandukan model sebuah spesimen yang dijumpai di South Dakota pada tahun 1987.

Pengasas syarikat itu merupakan orang ke-320 terkaya di dunia dan menurut Forbes, keluarganya bernilai sehingga USD$600 juta. (sumber)

7. Rumah kasut

Pada tahun 1948, jutawan bernama Kolonel Mahlon M. Haines telah membina sebuah rumah kasut terbesar dalam dunia di Daerah York, Pennsylvania. Haines telah menyerahkan sebelah kasut but lamanya kepada seorang arkitek dan meminta arkitek tersebut membina sebuah rumah menggunakan kasut tersebut sebagai model.

Ketika itu, jutawan tersebut memiliki 40 buah kedai kasut di serata Pennsylvania dan Maryland. Rumah kasut itu terletak di Jalan Rumah Kasut dan ia juga mempunyai rumah anjing berbentuk kasut.

haines rumah kasut binaan bangunan pelik

Rumah Kasut Haines dibina berhampiran lebuh raya dan menjadi suatu langkah pemasaran yang lebih berkesan berbanding papan iklan tradisional.

Kini, kumpulan-kumpulan pelancong sering ke sini untuk melihat binaan rumah ini dengan lebih dekat. (sumber)

8. Replika Stonehenge

Anglo Avenger Joe McNamara mula dikenali apabila dia memandu sebuah pembancuh simen yang tertera "Toxic Bank Anglo" memasuki kawasan parlimen Ireland. Dua bulan kemudian, dia kembali berdiri di atas sebuah jentera pemetik ceri di tengah bandar Dublin.

McNamara terkenal di Ireland kerana melakukan siri protes terhadap Bank Anglo-Irish dan juga terhadap cara kerajaan menangani krisis kewangan di negara itu.

joe mcnamara membina achillhenge

Pada tahun 2011, dia telah menjalankan protes terbesar dengan membina replika Stonehenge di atas bukit Pulau Achill. Dengan bulatan berdiameter 30 meter dan ukur lilit sepanjang 100 meter, binaan itu mempunyai 39 buah batu dan ambang. Ia mengambil masa selama enam bulan untuk dirancang dan dibina dalam masa satu hujung minggu sahaja.

achill henge replika stonehenge

Seperti yang dijangka, binaan replika yang tidak mendapat sebarang permit. Majlis Perbandaran Mayo kemudian telah mendapatkan perintah mahkamah supaya merobohkan bangunan itu. McNamara membela dirinya dengan membuat dakwaan yang struktur itu dikecualikan daripada peraturan perancang bandar kerana ia merupakan sebuah "taman hiasan."

Atas sebab itu, Achill-henge masih kekal berdiri megah sehingga ke hari ini. (sumber)

9. Kondo kayu

Nikolai Sutyagin merupakan bekas gengster Rusia yang memiliki sebuah kediaman aneh. Bekas banduan ini telah menjalankan satu projek pada tahun 1992 untuk membina sebuah rumah kabin 13 tingkat dengan ketinggian 144 kaki.

nikolai sutyagin orang kaya bina rumah kayu kabin paling tinggi

Menurut Sutyagin, projek yang mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan itu pada awalnya bermula dengan rancangan untuk membina rumah dua tingkat yang lebih besar daripada orang lain. Sutyagin ingin menunjukkan kedudukannya sebagai lelaki terkaya di bandar Arkhangelsk.

Walau bagaimanapun, bangunan kayu ini sudah tidak wujud pada hari ini kerana ia telah diarahkan roboh pada tahun 2009 kerana dibina tanpa permit dan tidak dijaga dengan baik semasa ketiadaan Sutyagin. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)