Apabila wang ringgit bukan satu halangan, seseorang itu boleh membeli permainan yang hebat dan mahal. Ini termasuk alat eloktronik, kenderaan dan permainan yang lebih kurang sama dengan orang biasa cuma ianya lebih ekstrem.

Walaupun beberapa permainan ini kelihatan seperti sesuatu yang anda lihat dalam filem atau seakan permainan dari masa hadapan, namun ianya adalah permainan sebenar yang wujud dan boleh dibeli sekiranya anda seorang yang sangat kaya. Berikut adalah senarai beberapa permainan hebat yang membuatkan kita hanya mampu bermimpi untuk memilikinya.

7. Martin Jetpack (RM 620,000 - RM 830,000)

Syarikat Martin Jetpack dari New Zealand ini telah memperkenalkan jetpack mereka buat pertama kali pada 2008. Pada tahun 2016, mereka mula melancarkan jetpack versi komersial kepada umum. Ia sebenarnya tidaklah menggunakan kuasa jet sebenar tetapi dilancarkan menggunakan teknologi kipas, sama seperti yang digunakan pada drone.

Syarikat itu bercadang untuk menjual jetpack ini bagi tujuan riadah, operasi pencarian dan operasi menyelamat. Prospek terbesar yang mungkin akan membeli jetpack ini adalah kerajaaan negara-negara maju yang ingin meningkatkan mutu dalam misi menyelamat. Jika anda benar-benar mempunyai kemampuan untuk membelinya, kesesakan lalu lintas tidak akan menghantui anda lagi.

6. Simulator pemanduan paling realistik (RM 767,000)

simulator pemanduan paling realistik

Untuk harga yang sama dengan sebuah supercar, anda boleh membeli simulator pemanduan paling realistik yang pernah dibina. Simulator keluaran syarikat Hammacher-Schlemmer mempunyai tempat duduk sebenar kereta lumba yang terletak di atas rangka tunggal kaca serat yang terapung di udara. Tempat duduknya juga boleh berombak, teranggul-anggul dan berpusing 360 darjah.

Tempat duduk itu bertindak balas dengan perbuatan pemandu, sebagai contoh jika brek ditekan, tempat duduk itu akan sedikit menjunam ke bawah. Apabila anda menekan pedal minyak, tempat duduk itu akan bergerak ke hadapan. Jadi jika anda membelok di selekoh pada kelajuan 250km sejam, anda pasti akan merasai debarannya.

Simulator ini telah dimuatkan dengan 12 program kereta lumba yang berbeza dan beberapa litar lumba terkenal dunia. Secara teorinya anda beruntung kerana memiliki 12 kereta lumba yang berbeza dengan hanya RM 767,000.

5. Sistem bunyi Logos Anatta Goldmund (RM 1,597,000)

sistem bunyi logos anatta goldmund

Sistem bunyi yang hebat adalah sesuatu gadget yang wajib bagi mana-mana jutawan atau billionaire dan tiada sistem bunyi yang lebih mahal dari Logos Anatta keluaran Goldmund. Sistem bunyi berteknologi tinggi dengan rekaan moden ini mempunyai tanda harga yang sangat tinggi, begitu juga dengan kualitinya.

Ia mempunyai 3 pembesar suara setinggi 5 kaki setengah yang diperbuat dari besi berkualiti tinggi yang sangat tahan serta disaluti dengan tembaga dan emas. Ia adalah buatan tangan dengan menggunakan bahan terbaik dari pengeluar terbaik yang menghasilkannya.

Untuk satu sistem yang hanya memainkan bunyi, harganya sama seperti membeli sebuah kereta Ferrari baru dengan sistem audio yang hebat di dalamnya. 

4. Helicycle Pal-V One (RM 1,639,000)

helicycle pal v one

Helicycle ialah helikopter dengan tempat duduk tunggal serta rotor utama yang digerakkan menggunakan engin turboshaft. Sebuah syarikat dari Belanda telah mengeluarkan satu model helicycle yang diberi nama Pal-V One.

Pal-V One ialah gabungan di antara kereta hibrid beroda tiga dan gyrocopter. Kenderaan dwifungsi ini boleh mencapai kelajuan 180km sejam di darat mahupun di udara. Dengan satu isian penuh tangki minyaknya ia mampu terbang sejauh 354km di udara atau bergerak sejauh 1200km di darat.

Namun, kenderaan mewah ini mempunyai 2 kelemahan. Pertama, untuk menukar daripada kenderaan darat kepada gyrocopter ia mengambil masa 10 minit. Kedua, ia memerlukan laluan sepanjang 165 meter untuk berlepas kerana gyrocopter tidak seperti helikopter yang boleh terus terbang menegak.

Jadi, jika anda memandunya di darat dan mengalami kesesakan lalu lintas, anda tidak dapat terbang menggunakannya. Namun, jika anda mampu dan mempunyai lesen menerbangkan pesawat, kami rasa ia berbaloi untuk dimiliki.

3. Televisyen LED C-SEED 201 inci (RM 2,853,800)

tv led c seed 201 inci

Bagi kebanyakan orang, memiliki TV merupakan perkara biasa namun tidak semua mampu memiliki TV dengan teknologi terkini yang berharga puluhan ribu ringgit. Walaupun anda mampu sekalipun, adakah anda akan meletakkannya di luar rumah?

Bagi mereka yang benar-benar kaya, terdapat satu TV yang begitu hebat iaitu TV LED C-SEED 201 inci. Ia mempunyai skrin setinggi 16 kaki dengan skala gambar 16:9 dan khusus untuk kegunaan luar rumah. Apabila TV ini tidak digunakan, ia akan disimpan di dalam tempat simpanan bawah tanah.

Dengan hanya menekan satu butang sahaja, TV ini akan naik setinggi 15 kaki dengan 7 panel dalam masa 25 saat. Skrinnya memiliki 725,000 LED yang boleh memaparkan 4.4 trillion warna beserta 3 buah subwoofer 700watt yang dibina bersama.

Jika anda mampu memilikinya, sudah pasti TV di dalam rumah anda seperti sebuah panggung wayang yang canggih.

2. Robot Kurata (RM 5,601,500)

Permainan robot kanak-kanak adalah tidak sama seperti robot permainan berteknologi tinggi untuk orang kaya. Namun, robot yang satu ini adalah jauh lebih hebat dan hanya mampu dimiliki oleh mereka yang benar-benar kaya sahaja. 

Ia adalah Robot Kurata keluaran Suidobashi Heavy Industry dari Jepun. Ia mempunyai berat sebanyak 4 tan dan ianya boleh dikawal oleh dengan tempat duduknya di dalam bahagian dada robot itu sendiri seperti yang kita biasa lihat dalam filem atau anime Jepun. Robot mekanikal ini bergerak menggunakan 30 jentera sistem hidrolik yang dikawal menggunakan perisian komputer.

Apa yang mengagumkan robot Kurata ini juga memiliki sistem senjata BB Gatling yang hanya diaktifkan menggunakan senyuman sahaja. Tangan robot ini pula dikawal dengan sarung tangan yang dipakai oleh pemandu. Model asas robot ini sahaja sudah berharga RM 5.6 juta dan anda boleh menambah baik dengan harga berasingan.

1. The Rinspeed sQuba (RM 8,298,600)

Apabila anda terlalu kaya dan tidak tahu bagaimana lagi untuk membelanjakan wang anda, anda boleh membeli kereta selam James Bond dan merasai bagaimana rasanya menjadi seorang perisik rahsia. Kereta Rinspeed sQuba ini direka sempena kereta Lotus Esprit di dalam filem James Bond iaitu The Spy Who Loved Me.

Namun, kereta ini tidaklah seperti sebuah kapal selam yang kalis air. Kereta sQuba ini adalah sebuah kenderaan convertible yang boleh dibuka dan ditutup bumbungnya. Walaupun ia tidak masuk akal, namun ianya direka agar penumpang dan pemandu perlu melepaskan diri dengan mudah.

Di darat, kereta ini hanya mempunyai kelajuan sebanyak 124km sejam sahaja manakala dalam air ia bergerak lebih perlahan. Kereta ini boleh tenggelam 9 meter dalam air. Bagi kenderaan gabungan kereta, bot dan kapal selam ini, ia mempunyai harga yang mampu membeli beberapa buah kereta Rolls Royce Phantoms.


tags : , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)