tanpa nama header

Dalam satu artikel yang mendapat sambutan hangat, kami senaraikan empat pelukis komik yang banyak memberikan impak pada peminat komik di Malaysia satu masa dulu. Ciptaan imaginasi mereka dilihat banyak memberi inspirasi kepada kebangkitan pelukis-pelukis komik di Malaysia untuk memberanikan diri melukis komik sendiri. Dalam setiap ciptaan mereka, pasti ada beberapa watak yang kerap diingati ramai walaupun watak tersebut merupakan watak penjahat. Kali ini, kami memilih untuk memaparkan 8 watak yang banyak meninggalkan kesan pada kami semasa mengikuti perkembangan komik dari Hong Kong.

1. Tuan Wujian

tuan wujian

Tuan Wujian merupakan salah satu watak yang paling disukai ramai kerana rekaannya yang kelihatan unik dan dia juga adalah seorang anti-hero yang berkesan. Memainkan peranan besar dalam komik Juara Wira dalam hidup pasangan kembar Sang Merah dan Sang Helang, hikmat Tuan Wujian yang mampu memecahkan badannya menjadi partikel-partikel halus membuatkan peminat komik pasti meletakkan Tuan Wujian sebagai fan's favorite dalam komik Juara Wira.

2. Paichow

paichow

Antara watak paling ganas dan tegas dalam siri Wira Tunggal, Paichow merupakan pemerintah yang diperlukan oleh masyarakat bumi ketika itu. Kerap membuli watak utama siri komik Wira Tunggal, Wunan dengan mudah, jika dilihat hubungan di antara Paichow dan Wunan merupakan antara sebab sebenar bagaimana Wunan berubah daripada remaja yang baik menjadi seorang pemimpin.

3. Long Kai

long kai

Kami tidak pasti dari mana datangnya inspirasi nama filem Longkai lakonan Faizal Hussein yang mempunyai nama yang sama dengan watak Long Kai, musuh ketat Sang Rimau Kumbang dan Waja Timur yang kerap kali menakutkan mereka, kerana Long Kai adalah musuh yang cukup sukar dijangka. Long Kai dalam siri komik pada awalnya adalah seorang yang cukup tidak berperikemanusiaan serta suka menurut perasaan, namun pada akhirnya sebelum mati, Long Kai kembali ke jalan yang lurus.

4. Ji Fat

ji fat

Bagi mereka yang sudah berumur 30-an dan 40-an, Ji Fat merupakan watak yang diikuti hidupnya dari saat kelahiran dia sehinggalah kepada naiknya dia menghancurkan Dinasti Zhang selepas tertewasnya Maharaja Zhou. Kisah hidup Ji Fat yang kerap mengorbankannya hidupnya untuk memenuhi takdir beliau sebagai Maharaja Baru China menunjukkan sikap Ji Fat yang tidak pernah menyerah kalah. Ji Fat belajar, belajar dan belajar sambil melihat satu per satu individu yang disayanginya tumbang dikalahkan musuh.

5. Tanpa Nama

tanpa nama

Pada awal kisah komik Pedang Setiawan, Tanpa Nama tidak banyak menonjolkan dirinya dan kita hanya disajikan dengan kisah-kisah beliau sebelum itu. Seorang legenda dalam dunia kungfu China, Tanpa Nama hanya menghantar anak muridnya untuk membantu Penjejak Awan dan Nie Feng, sebelum China perlu menghadapi pencerobohan yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan Jepun yang memaksa Tanpa Nama kembali menghulurkan bantuan.

6. Rahib Esa

rahib esa

Rahid Esa semasa kemunculan awalnya adalah seorang rahib yang gemuk dan pasti tidak digilai wanita namun kehandalannya tidak dinafikan, apatah lagi memainkan peranan yang besar dalam hidup Ji Fat. Kemudian, berdepan dengan insiden bahaya, Rahib Esa terpaksa menampakkan dirinya yang sebenar, seorang lelaki kacak yang sado serta pengguna Hikmat Alam Semesta paling handal ketika itu, membuatkan kebanyakan pembaca komik menjadikan Rahib Esa sebagai idola.

7. Hang Nawa

hang nawa

Sepanjang hidupnya, dia adalah seorang pakar kung fu yang hebat namun selepas gagal menyelamatkan anak kembar teman seperguruannya, Hang Nawa hidup sebagai seorang yang gagal. Pakar kepada beberapa hikmat yang mengkagumkan, Hang Nawa pada awal cerita adalah seorang yang dipandang hina serta tidak langsung mempedulikan maruah dirinya sebelum dia bangun semula dan memperturunkan hikmat telapak tangan Buddha kepada pewaris hikmat tersebut yang memang ditakdirkan, akan menyelamatkan dunia.

8. Pai Quenqon    

pai quenqon

Kisah bagaimana persahabatan di antara Quenqon dan Lan Wugi hanya disebutkan dalam dua buah komik namun impaknya tetap terasa, kerana kisah Quenqon digarap dengan cukup baik dan padu. Persahabatan beliau dengan Lan Wugi yang unik, mengakibatkan Quenqon jatuh cinta pada wanita yang disayangi Quenqon.

Namun janji Lan Wugi terhadap rakan seperguruan beliau yang sanggup mengorbankan cintanya menjadikan kisah yang dipaparkan, menjadi lebih kompleks. Bagi mereka yang belum pernah cuba membaca komik Hong Kong, dua jilid ini adalah permulaan yang baik untuk anda berkenal-kenalan dengan gaya penceritaan komik Hong Kong.


tags : , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)