Membaca komik Hong Kong satu ketika dahulu mendedahkan anak muda Malaysia kepada bermacam elemen yang sebelum itu asing bunyinya.
Pengenalan kepada elemen ketuhanan, dewa, syurga dan neraka serta pelbagai elemen seni pertahanan diri yang membawakan 1001 macam kaedah, menjadi hiburan dan bualan setiap petang mereka yang mengikutinya.
Wujud beberapa elemen yang sangat popular serta kerap diajuk mereka yang gemar berfantasi, antaranya tentang aura, hikmat meringankan badan serta teknik melumpuhkan badan dengan menekan mata urat.
BESARKAN TEKS A- A+
Ini asal-usul lima elemen yang berjaya dipopularkan komik Hong Kong, di kalangan ahli masyarakat kita.
1. Aura
Adakah benar manusia mempunyai aura? Aura merupakan satu kepercayaan yang telah berakar umbi sekian lama menjadi elemen penting dalam agama Vedic, Hindu dan Buddha.
Aura merupakan kawasan tenaga atau kuasa yang menyelubungi semua makhluk hidup, tak kira manusia, haiwan, tumbuhan dan sebagainya. Bagi mereka yang mahir dalam bidang ini, mereka percaya setiap manusia membawa aura yang berbeza dari segi warna, rupa, bentuk dan juga kekuatan.
Sistem aura manusia tak lengkap untuk diceritakan tanpa turut menceritakan juga berkenaan aliran yang mengawal aura, dikenali sebagai pusat chakra dalam tubuh. Setiap manusia dikatakan mempunyai tujuh titik chakra di badan, yang mengawal aura seseorang.
Pernah tak anda melihat gambar-gambar manusia dengan aura mereka? Teknik penghasilan gambar seperti itu dikenali sebagai teknik fotografi Kirlian, sempena nama penciptanya Semyon Kirlian.
Kirlian menemui cara untuk menggunakan plat-plat fotografi yang disambungkan ke litar elektrik, seterusnya membolehkan 'aura' kelihatan dalam gambar.
Apa yang berlaku sebenarnya adalah tindak balas elektrik dengan kulit dan udara membentuk gelombang yang mampu ditangkap dalam kamera. Namun bagi mereka yang percaya aura boleh ditangkap gambarnya dengan kamera, mereka tegas mengatakan gelombang yang kelihatan adalah aura manusia.
2. Qigong
Konsep 'qigong' seringkali dipaparkan dalam komik keluaran Hong Kong khasnya. Apa itu qigong? Disebut sebagai 'chi-gung', latihan qigong merupakan sejenis kaedah senaman postur yang diamalkan seseorang untuk membantu dia mengawal pergerakan dan pernafasan badan dengan lebih berkesan.
Berbeza dengan paparan dalam komik di mana qigong diamalkan untuk pertarungan, qigong sebenar merupakan sejenis senaman ringan yang menenangkan sebagai satu bentuk rawatan semulajadi ke atas diri sendiri.
Walaupun diakui berkesan oleh pengamalnya, sehingga kini banyak pihak khasnya penyelidik bidang saintifik meragui keberkesanan latihan tersebut dalam membantu pesakit; khasnya apabila melibatkan teknik yang dikenali sebagai 'pancaran qi.'
Dalam bidang perubatan China, seorang pengamal qigong yang benar-benar mahir dikatakan mampu memancarkan qigong mereka bagi menyembuhkan pesakit.
3. Hikmat mematikan mata urat
Dalam komik, teknik akupuntur biasanya dirujuk sebagai teknik mematikan mata urat di mana seseorang yang mahir boleh melumpuhkan seseorang hanya dengan menggunakan teknik jari.
Dalam cabang seni mempertahankan diri, wujud satu seni yang dinamakan sebagai 'pressure point fighting' atau 'perlawanan titik tekanan', di mana pertarungan berlaku antara dua individu yang mengamalkan seni bela diri dikenali sebagai 'dim mak.'
'Dim mak' atau 'titik-titik mati' merupakan sejenis kemahiran menyerang titik-titik penting dalam badan yang mampu menyebabkan kesengsaraan kepada lawan, bergantung kepada titik mana yang diserang.
Lebih terkenal sebagai 'death touch' di kalangan masyarakat antarabangsa, teknik menyerang menggunakan jari ini terus kontroversi sehingga ke hari ini kerana banyak pihak mendakwa serangan itu hanyalah satu mitos.
Dan mangsa yang merana merasa sakit, kerana mereka percaya 'dim mak' benar-benar berkesan sejak dari mula lagi.
4. Hikmat meringankan badan
Siapa tak mahu hikmat meringankan badan? Mudah betul untuk kita bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain, hanya dengan terapung dan 'meringankan' badan kita. Benarkah wujud teknik ini dalam dunia nyata?
Memang ada tetapi tidaklah seindah apa yang digambarkan.
Dikenali dengan istilah 'qinggong' dalam kamus latihan kung-fu, pelatih qinggong akan dilatih untuk membiasakan diri mereka melompat dari satu bahagian ke bahagian lain yang lebih mirip dengan sukan 'parkour.'
Mereka yang mahir dengan teknik 'qinggong' diakui mampu melompat, memanjat dan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi dengan lancar namun dia masih lagi terikat dengan hukum alam; tidak mampu menentang graviti.
5. Belang tarung
Bagi kanak-kanak generasi 80-an dan 90-an, pengalaman menconteng muka dengan warna poster bagi mendapatkan corak belang tarung memang pengalaman yang tak boleh dilupakan.
Persoalannya di sini dari mana datang inspirasi belang tarung yang digunakan dalam komik popular Hong Kong, 'Sea Tiger' atau lebih dikenali dengan judul 'Pendekar Laut' di Malaysia?
Apa yang unik, teknik serupa juga menjadi salah satu elemen penting dalam siri komik Jepun 'Naruto', di mana setiap peringkat hikmat beberapa watak utama; akan memaparkan corak-corak unik yang berbeza pada wajah watak tersebut.
Adakah paparan corak-corak unik ini datang daripada budaya Jepun dan Hong Kong sendiri ataupun sebenarnya dipinjam daripada budaya masyarakat luar, seperti suku-suku etnik Afrika dan etnik Maori yang gemar mencacah atau mewarnakan wajah.
Apa pandangan anda? Nyatakan dalam ruangan komen kami!