Sejarah watak Wonder Woman sebenarnya banyak berkait dengan gerakan feminis wanita di Amerika Syarikat yang kebanyakannya dirahsiakan sejarah dan ceritanya. Hanya mereka yang rapat dengan pencipta watak 'Wonder Woman' iaitu William Moulton Marston tahu kisah sebenar watak ikonik ini dan inspirasi di belakangnya.
"Wonder Woman sebenarnya adalah propaganda berbentuk fizikal tentang idea saya berkenaan kaum wanita baru, yang mampu memerintah dunia," kata Marston.
BESARKAN TEKS A- A+
Soalannya - siapa memberikan dia ilham mencipta Wonder Woman?
Kisah ini bermula pada tahun 1933 apabila Maxwell Charles Gaines menubuhkan All American Comics.
Dengan pengenalan watak Superman pada 1938 dan Batman pada tahun 1939, komik menjadi semakin popular. Bagaimanapun, dengan populariti yang dicapai, persepsi masyarakat semakin lantang dalam memperkatakan satu isu berkenaan komik pada ketika itu - kandungannya ganas dan memaparkan banyak keganasan seksual.
Satu artikel mengenai Marston yang diterbitkan dalam majalan 'Family CIrcle' pada tahun 1940, tulisan seorang wartawan bernama Olive Richard, membuatkan Gaines menghubungi Marston untuk mendapatkan pandangan beliau kerana dalam temubual majalah tersebut, Marston memberikan kritikan keras terhadap industri komik kelolaan Gaines.
Selepas perbincangan di antara mereka, Gaines melantik Marston untuk membantu beliau menangani isu-isu negatif yang diperkatakan masyarakat.
Marston, seorang pakar psikologi terkemuka zaman itu diharap oleh Gaines, mampu memberikan dimensi baru supaya media komik dapat diterima tanpa persepsi negatif.
Apa yang Gaines tidak tahu, temubual dalam majalah 'Family Circle' itu sebenarnya dilakukan oleh isteri Marston sendiri yang nama sebenarnya Olive Byrne.
Olive adalah anak buah kepada Margaret Sanger, salah seorang tokoh feminis paling berpengaruh abad ke 20. Pada ketika itu, sebenarnya Marston sedang berkahwin dengan dua orang wanita, wanita bernama Elizabeth H.Marston dan isteri keduanya yang tidak dikeathui ramai, Olive Byrne.
Mereka semuanya tinggal bersama-sama.
Diandaikan, Gaines tahu berkenaan hubungan Marston dan Margaret Sanger, pasti Marston tidak akan dilantik menjadi konsultan kepada beliau, kerana pada ketika itu Margaret Sanger kerap menimbulkan kontroversi.
Margaret Sanger, ikon feminis pada zaman itu agak terkenal sebagai wanita yang sering memperkenalkan bentuk pemikiran baru pada wanita. Dia menggalakkan wanita supaya mempelajari ilmu kontraseptif agar wanita tidak dibebankan dengan tugas menjadi ibu sepanjang hayatnya.
Sekarang kita sudah biasa dengar frasa 'kawalan keluarga' atau ' birth control', Margaret Sanger lah yang memperkenalkannya. Walau bagaimanapun, pada ketika itu, agenda Sanger tidak diterima orang ramai.
Gerakan yang dipelopori Sanger gemar menggunakan rantai untuk menggambarkan bagaimana kaum wanita di Amerika seolah dikawal untuk mematuhi satu sistem yang ditentukan oleh lelaki.
Sanger adalah antara individu yang cuba memecahkan tanggapan bahawa setiap wanita sudah ditakdirkan menjadi ibu dan menjaga keluarga semata-mata.
Marston sebenarnya sangat terpengaruh dengan idea yang dibawakan oleh Sanger, tetapi dia menyimpan rahsia itu seorang diri.
Marston dan Gaines memulakan Detective Comics (kini DC) pada tahun 1940. Untuk memastikan komik tidak lagi dikritik memaparkan keganasan melampau atau tindakan seksual, mereka memperkenalkan watak Wonder Woman ciptaan Marston, untuk mendiamkan pengkritik mereka.
Gaines meminta Marston menulis skrip untuk siri Wonder Woman dan Marston menggunakan kemahiran psikologi beliau dengan mencipta pelbagai simbol secara tersirat pada watak Wonder Woman untuk menyampaikan agenda feminis.
Watak Wonder Woman mula disiarkan di komik pada hujung tahun 1941 dan menjadi penghias muka depan komik baru, 'Sensation Comics' pada tahun 1942. Berasal dari Amazon, Wonder Woman datang ke Amerika untuk memastikan hak wanita dibela sama rata. Itulah mesej yang ingin disampaikan melalui watak tersebut.
Bagaimanapun, watak Wonder Woman diharamkan pada Mac 1942 kerana dikatakan rekaannya memaparkan wanita yang berpakaian tidak senonoh.
Gaines berdepan halangan kedua untuk memastikan medium komik kekal relevan. Dia menjemput seorang lagi pakar, Dr. Lauretta Bender, seorang pakar psikiatri, pengkaji kanak-kanak yang menggunakan komik sebagai medium mengawal trauma silam.
Walaupun begitu, dengan bantuan pakar sekalipun Wonder Woman masih belum dapat diterima. Ini kerana walaupun Wonder Woman cuba membawa mesej feminis untuk wanita zaman itu - adegan komik Wonder Woman masih lagi terikat dengan stereotaip bagaimana wanita pada zaman itu digambarkan; dalam banyak adegan, Wonder Woman masih digambarkan dalam keadaan dirantai, diikat, ditekup mulutnya dan selalu berada dalam keadaan terdesak seolah-olah komik itu sedang dieksploitasi penulis dan pelukisnya.
Gaines memberikan maklum balas yang diterima kepada Marston, tetapi Marston tidak menghiraukan respon itu. Dia percaya dengan apa yang dia lakukan.
Sehinggalah Dorothy Roubicek, editor komik wanita pertama di DC Comics, memberikan pendapat yang sama. Marston terus tegas dengan pendirian beliau - pada dia, rahsia setiap perempuan sama. Wanita Amerika Syarikat gemar menyerah dan suka diperlakukan sedemikian rupa.
Gaines menghadapi konflik kerana Marston terus berdegil. Marston pula nampak keras mahu meneruskan agenda feminis anjuran Margaret Sanger tanpa pengetahuan Gaines.
Dorothy Roubicek mempunyai pendapat berlainan yang amat bertentangan dengan pendapat Marston. Roubicek percaya yang setiap watak ini perlu mempunyai kelemahan, jadi Roubicek mencipta 'kryptonite' sebagai kelemahan Superman.
Roubicek juga percaya percaya Wonder Woman sepatutnya dipaparkan sama seperti Superman - seseorang yang sentiasa kelihatan perkasa dan tidak mudah diambil peluang. Visi Marston dan Roubicek bercanggah.
Gaines mendapati tidak mudah untuk beliau menangani perbezaan pendapat itu jadi dia kembali menghubungi Dr. Lauretta Bender untuk berbincang.
Sebagai pakar psikiatri, setelah meneliti jika perlu sebarang perubahan kepada bagaimana Wonder Woman dipaparkan, Bender mengatakan yang jalan cerita yang dipaparkan oleh Marston tidak ada sebarang bukti eksploitasi dan mesej yang disampaikan jelas.
Berdasarkan saranan Dr.Bender dan perspektif beliau sebagai wanita, Gaines lega tidak melakukan apa-apa perubahan pada Wonder Woman sehinggalah pada September 1943, sepucuk surat dari John D.Jacobs, seorang tentera Amerika Syarikat tiba di mejanya.
"Saya adalah salah seorang yang gemar melakukan adegan erotik yang agak ekstrim, gadis dirantai, diikat, bertopeng. Saya suka melihat gadis diperlakukan sedemikian rupa," tulis Jacobs.
"Saya mahu bertanya sama ada penulis Wonder Woman memang terlibat dengan erotik kasar seperti itu atau semuanya hanya fantasi dia?"
Terkejut dengan pandangan itu, Gaines memberikan surat Jacobs kepada Marston. Gaines tidak menyangka komik terbitannya mampu menyampaikan imej sedemikian. Diselitkan sekali dengan surat tersebut cadangan Roubicek untuk mengurangkan adegan ekspoitasi wanita dalam komik Wonder Woman.
Marston menolak cadangan itu. Dia masih percaya satu-satunya jalan untuk mencapai audien yang diharapkan adalah dengan terus meletakkan Wonder Woman dalam keadaan tertekan dan kelihatan dieksploitasi. Senarai cadangan Roubicek untuk penambahbaikan dibuang begitu saja.
Kisah 'Wonder Woman' mula berubah selepas Joye Hummel, seorang wanita berumur 18 tahun diambil sebagai penulis tambahan siri Wonder Woman selepas Marston mula sibuk untuk menyiapkan siri baru Wonder Woman yang kini mula diterbitkan dalam suratkhabar.
Cerita yang ditulis oleh Hummel lebih bersih berbanding apa yang diolah oleh Marston, jadi Gaines tidak menghadapi masalah untuk meluluskan pengeluarannya. Dr. Lauretta Bender, pakar psikiatri kanak-kanak yang banyak menolong Gaines kemudiannya dilantik menjadi penasihat kepada DC Comics dalam memastikan imej DC terjaga.
Sehinggalah pada tahun 1954 apabila seorang ahli psikiatri bernama Dr. Fredric Wertham menerbitkan sebuah buku bertajuk 'Seduction of The Innocent' yang cuba membuktikan buku komik sedang merosakkan minda kanak-kanak USA. Wertham pula, sangat kritikal terhadap watak Wonder Woman dan bagaimana ia divisualkan.
Wertham merasakan mesej feminis yang dibawa Wonder Woman sangat menjijikkan kerana menggunakan eksploitasi untuk menyampaikan mesej wanita perlu bangun.
Barisan Senat kemudian dilantik untuk menilai semula pengaruh komik kepada masyarakat USA. Dr. Lauretta Bender juga diminta memberi keterangan terhadap siasatan. Dalam hujahnya, beliau menafikan dakwaan Dr. Wertham dan membandingkan Wonder Woman dengan animasi-animasi Walt Disney yang popular. Di dalam filem Disney, watak perempuan selalu berakhir dengan kematian atau dihantar ke wad gila dalam filem.
Selepas perbicaraan berlangsung, DC Comics tidak lagi melantik Dr. Lauretta Bender sebagai penasihat atas pandangan beliau yang agak bercanggah dengan pandangan Gaines. Comics Association of America mula memperkenalkan kod etika untuk diamalkan penerbitan komik.
Kod etika komik diwujudkan dalam memastikan tidak ada perwatakan yang menggambarkan ketakutan, sadis, watak berdarah, nafsu, erotik kasar dan pelbagai lagi elemen lain. Seks tidak boleh lagi dipaparkan dan sebarang perlakuan menyerupai seks juga tidak lagi dibolehkan.
Semua paparan berkenaan cinta mesti menganjurkan mesej kekeluargaan dan perkahwinan.
Agenda feminis Marston nampaknya akan terhalang akibat pengenalan kod etika baru ini.
Olive Byrne, isteri Marston yang juga anak buah kepada Margaret Sanger tetap menjadi rahsia yang disimpan oleh Marston sekian lama sehinggakan Gaines langsung tidak mengetahu hubungan Marston, Byrne dan Margaret Sanger, walaupun sudah lama mereka bekerja bersama.
Jika dilihat balik sejarah watak Wonder Woman, pasti orang ramai akan menyangka yang Marston mencipta watak itu berdasarkan isterinya, Elizabeth tetapi bagi ahli keluarga terdekat beliau, pasti jelas siapa inspirasi sebenar watak Wonder Woman.
Ketika tinggal bersama dengan Marston dan Elizabeth, Byrne menyembunyikan identitinya sebagai isteri Marston dari pengetahuan umum.
Elisabeth memakai cincin perkahwinan di jari, sementara Olive Byrne pula memakai gelang, sama seperti gelang yang dipakai Wonder Woman.
Dengan hubungkait antara Olive Byrne dan Margaret Sanger serta pengaruh mereka berdua terhadap Marston, tidak hairanlah dari mana Marston mendapat idea untuk menulis cerita Wonder Woman dan bermati-matian mempertahankan elemen-elemen yang dipaparkan di dalamnya;Hanya Marston tahu Wonder Woman sebenar adalah dua wanita dalam hidupnya yang sentiasa berjuang melawan eksploitasi jantina, membuatkan Marston dari awal mahu kaum wanita Amerika Syarikat sedar, mereka perlu merasa mwlawan daripada terus dirantai.Wonder Woman bagi Marston, adalah simbol kepada wanita yang akan sentiasa cuba dirantai dan diekspoitasi, tetapi akhirnya tetap berjaya mencari jalan melepaskan diri kerana kekuatannya.
Apabila Elizabeth meninggal dunia, batu penanda kuburnya tertera "Elizabeth H.Marston - wanita yang menginspirasikan Wonder Woman."
Sayangnya, itu bukan kebenaran sepenuhnya
Artikel ini adalah terjemahan kepada artikel The Surprising Origin of Wonder Woman