babushka ak 47 peralatan tentera ikonik russia

Russia dan Kesatuan Soviet sebelumnya, mempunyai reputasi besar dalam aspek sejarah ketenteraan dunia.

Terkenal sebagai antara negara tentera terkuat di dunia, pembangunan teknologi ketenteraan dan pertahanan menjadi antara cabang penting ekonomi Russia - di mana Russia ketika ini merupakan negara pengeksport kedua terbesar dunia kelengkapan ketenteraan.

Baik senjata tangan, peluru berpandu dan juga kenderaan ketenteraan, Russia mempunyai produk pertahanan yang diyakini pembelinya. Berikut adalah lima peralatan pertahanan ketenteraan keluaran Russia paling terkenal di mata dunia.

1. Peluru berpandu SCUD

scud pelancar peluru berpandu russia

Peluru berpandu SCUD disebut-sebut masyarakat dunia ketika perang yang tercetus di Iraq.

Peluru berpandu keluaran Russia ini menjadi antara kelengkapan utama tentera Iraq di bawah Allahyarham Saddam Hussein dalam versi dipertingkatkan kemampuannya, dijenamakan semula sebagai peluru berpandu Al-Hussein.

Dibina berasaskan kepada sistem peluru berpandu rekaan tentera Nazi di Jerman, peluru berpandu SCUD dihasilkan sejak tahun 1959 sehingga 1984 di sebuah kilang senjata yang terletak di Votkinsk, Russia.

Peluru berpandu SCUD versi kedua yang dinamakan sebagai SCUD-R17 mampu terbang sejauh 299 km untuk mencari sasarannya. Bagaimanapun disebabkan oleh sistem talaannya mempunyai ralat yang agak besar sekitar 3,300 kaki - peluru SCUD yang telah dilancarkan boleh terbabas jauh mengenai lokasi yang tidak sepatutnya diserang.

Kini, peluru berpandu ini dikategorikan sebagai antara kelengkapan perang yang diharamkan ketika perang disebabkan oleh ralatnya yang terbukti telah membunuh ribuan nyawa tidak berdosa.

2. Pesawat pejuang SUKHOY

sukhoy su 57 pejuang russia

Kini diselia oleh firma JSC Sukhoy Company di Okrug, Russia daripada syarikat yang diasaskan seorang jurutera bernama Pavel Sukhoy - pesawat Sukhoy merupakan antara pesawat pejuang terbaik dikeluarkan - biarpun sering dikritik tidak setara dengan keluaran Amerika Syarikat dan China.

Ketika ini model pejuang generasi kelima keluaran Sukhoy iaitu Su-57 diletakkan sebagai model paling maju dalam aspek kemampuannya.

Su-57 mampu terbang pada kelajuan 2 mach serta mempunyai kemampuan kawalan yang dikatakan terbaik dalam kelasnya. Dijual pada harga RM167.7 juta untuk setiap unit, setiap unit Su-57 turut sama boleh dipadankan dengan sebuah dron pembantu yang dinamakan Okhotnik-B yang berkemampuan terbang bersamanya.

3. Senapang MOSIN-NAGANT M1891

mosin nagant senjata russia

Lebih dikenali hanya dengan nama senapang Mosin Nagant, teknologi senapang ini cukup baik sehinggakan rekaan yang dibuat sejak tahun 1891 ini ketika era Empayar Russia masih mengekalkan ciri-ciri asalnya.

Apa yang lebih mengagumkan, senapang ini juga masih terus digunakan dalam peperangan dan konflik yang tercetus dalam era perang moden kini. Bagi peminat permainan video, mereka pasti sangat mengenali senapang ini yang kerap dipaparkan dalam judul-judul popular dunia.

Nama senapang laras jarak jauh ini diambil daripada nama seorang kapten tentera Russia bernama Sergei Mosin dan seorang pereka senjata Belgium bernama Leon Nagant.

Lebih dikenali di Russia sebagai 'Vintovka Mosina' atau 'Senapang Mosin', senapang ini di atas kertas mampu menembak dalam jarak sejauh 3 km namun jarak efektif sebenarnya hanyalah sekitar 400 ke 500 meter.

4. Pelancar Grenad RPG-7

senjata russia ikonik

Walaupun senjata ikonik ini lebih dikenali dengan nama 'RPG' atau 'Rocket Propeller Grenade', nama sebenarnya dalam bahasa Russia adalah Ruchnoy Protivotankoviy Granatomyot.

RPG-7 merupakan sebuah pelancar peluru stabil, direka bentuk sebagai pertahanan utama dalam menghapuskan kereta kebal. Setiap unit mempunyai berat senjata 7.9 kg dengan penambahan 2.25 kg untuk setiap satu grenad model PG-7.

Ketika ini, terdapat 9 negara dunia bertindak sebagai pengeluar pelancar ikonik ini berdasarkan rekaan asalnya, menjadikan RPG-7 sebagai senjata anti kereta kebal terlaris nombor 1 dunia, disebabkan reputasinya yang murah, efektif dan mudah dikendalikan.

Diperkenalkan dalam perang kali pertama pada tahun 1961, setiap satu tembakan dari RPG-7 memerlukan 14 saat bagi seorang pengguna terlatih mengisi semula grenad untuk meneruskan serangan.

Oleh sebab itu, keperluan untuk seorang lagi anggota yang akan melindungi penembak RPG-7 menjadi kebiasaan dalam perang bagi memastikan tiada serang hendap berlaku semasa isian semula peluru sedang dilakukan.

5. Avtomat Kalashnikov AK-47

ak 47 senjata russia ikonik

Dicipta seorang jurutera tentera bernama Mikhail Kalashnikov, Avtomat Kalashnikov AK-47 merupakan senjata paling terkenal di dunia, ekoran reputasinya serta bentuknya yang agak unik dan mudah dikenali.

Angka '47' yang digunakan dalam kod model ini pula datang daripada tahun di mana rekaan asal senapang tersebut berjaya diselesaikan.

Kalashnikov merekabentuk senapang ini berasaskan sebuah senapang Jerman bernama Sturmgewehr-44, yang merupakan senapang jarak sederhana pertama di dunia ketika itu.

Idea itu dipraktikkan Kalashnikov dalam membentuk rekaan senapangnya selain keperluan untuk memastikan senapang itu agar tahan lasak dan mudah diselanggarakan ketika peperangan.

Setiap satu AK-47 mampu memuntahkan 600 peluru dalam satu minit, namun kadar ketepatannya agak rendah berbanding pesaing-pesaingnya. Kelemahan ini diakui Kalashnikov sendiri. Walaupun demikian legasi senjata ini tidak boleh dinafikan.

AK-47 merupakan senapang paling popular di dunia, mendominasi jualan yang dikatakan telah mencecah lebih 75 juta unit sejak pengeluarannya.

Ini kerana senapang ini mampu kekal pada tahap optimum dalam semua situasi baik pertempuran di gurun, di kawasan bersalji dan juga lokasi berpaya.

Lebih menakutkan, ekoran mudahnya AK-47 ini untuk dikendalikan - senapang ini juga menjadi senapang rasmi dibekalkan untuk tentera kanak-kanak yang dikerah berperang secara tidak rasmi di sesetengah negara.



Hakcipta iluminasi.com (2017)