Harry Houdini adalah seorang ahli silap mata dan pelakon lagak ngeri Amerika yang dilahirkan di Hungary pada 24 Mac 1874. Dia sememangnya dikenali sebagai antara salah seorang ahli silap mata paling terkenal dalam sejarah. Akan tetapi, masih banyak yang belum diketahui mengenai lelaki ini. Berikut adalah beberapa perkara menarik mengenai Harry Houdini yang tidak diketahui ramai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Dia menamakan dirinya sempena ahli silap mata lain

jean eugene robert houdin

Jean-Eugene Robert-Houdin

Dia dilahirkan sebagai Erik Weisz tetapi namanya diubah kepada Ehrich Weiss selepas keluarganya berhijrah dari Hungary ke Amerika. Dia yang meminati bidang silap mata sejak kecil sering dipanggil sebagai "Ehrie" atau "Harry".

Dia sangat meminati seorang ahli silap mata Perancis bernama Jean-Eugene Robert-Houdin. Apabila Harry memulakan kerjayanya sebagai seorang ahli silap mata pada 1890-an, dia memberi menggunakan nama wiranya itu dan diubah menjadi "Houdini".

Akan tetapi, Harry kemudian terlibat dengan kontroversi apabila menuduh bekas wiranya itu mencuri helah ahli silap mata lain. Pada tahun 1908 pula, dia pernah menulis sebuah buku bertajuk "Mendedahkan Helah Robert-Houdin".

2. Harry Houdini mula dikenali sebagai "Raja Gari"

raja gari

Harry Houdini bergelut semasa mula menceburi bidang pertunjukkan dan hampir berhenti untuk membuka sekolah silap mata. Dia akhirnya mendapat peluang besar apabila ditawarkan membuat persembahan jelajah Amerika dan Eropah pada tahun 1899.

Aksi utama Houdini ketika itu ialah melepaskan diri daripada sebarang ikatan yang rumit, jaket banduan dan gari. Aksinya itu diminati ramai dan pertunjukannya di Eropah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Dia juga berjaya meneruskan kejayaanya itu di beberapa lagi pertunjukan di Amerika termasuk melepaskan diri dari penjara, melompat ke dalam sungai Rochester dengan tangan terikat dan banyak lagi. Ketika itu dia mendapat gelaran sebagai "Raja Gari".

3. Adiknya juga seorang ahli silap mata terkenal

hardeen houdini

Hardeen Houdini

Setelah berjaya mengukuhkan kedudukannya di Eropah pada awal 1900-an, Houdini mula membawa naik adiknya Theo yang merupakan pernah membantu semasa karier awalnya. Theo kemudian menggunakan nama pentas "Hardeen" ketika membuat aksi persembahan yang sama dengan Harry.

Mereka juga membuat persaingan palsu untuk menaikkan populariti namun tidak menyembunyikan fakta bahawa mereka sebenarnya bersaudara. Walaupun dibayangi oleh kejayaan Harry, akan tetapi ia adalah Hardeen yang mula mempelopori teknik melepaskan diri daripada jaket banduan yang menjadi aksi paling terkenal Harry Houdini dalam setiap pertunjukannya.

4. Houdini pernah melepaskan diri dari perut raksasa laut

harry houdini dan raksasa laut

Pada September 1911, sekumpulan ahli perniagaan Boston mencabar Houdini melakukan sesuatu yang luar biasa iaitu dengan meloloskan diri daripada perut bangkai seekor "raksasa laut" seberat 700 kg yang terdampar di pelabuhan.

Ahli sejarah masih tidak dapat mengenal pasti makhluk apakah itu dan ia mungkin sejenis makhluk laut dalam. Ada yang mengatakan makhluk itu menyerupai penyu dan paus. Houdini bersetuju melakukan aksi itu dan ianya disaksikan oleh ribuan penonton yang hadir. 

Harry Houdini digari tangannya, dirantai kakinya dan dimasukkan ke dalam bangkai "raksasa" itu. Dia berjaya meloloskan diri dalam hanya 15 minit sahaja tetapi mendakwa dia hampir lemas kerana bau busuk dan gas yang terhasil daripada bangkai itu.

5. Dia antara juruterbang persendirian pertama di dunia

harry houdini juruterbang persendirian pertama

Setelah mengembangkan minatnya dalam bidang penerbangan ketika berada di Eropah pada tahun 1909, Houdini telah membeli sebuah pesawat Voisin buatan Perancis dan menjadi juruterbang persendirian pertama di dunia.

Ahli silap mata itu telah terhempas ketika melakukan penerbangan sulungnya di Jerman tetapi terselamat dan terus berlatih untuk menjadi lebih mahir. Akhirnya dia menjadi orang pertama yang menerbangkan pesawat di Australia.

Liga Udara Australia memperakui Houdini merupakan juruterbang pertama yang mengemudi pesawat di negara itu tetapi beberapa ahli sejarah menegaskan rekod itu sebenarnya milik Colin Defries, warga British yang membuat penerbangan singkat beberapa bulan sebelum itu.

6. Houdini pernah membantu usaha Amerika ketika WWI

harry houdini 2

Walaupun dilahirkan di Hungary, Houdini adalah seorang patriot Amerika dan menyokong kuat penglibatan negara itu dalam Perang Dunia Pertama. Dia berjaya memujuk Persatuan Ahli Silap Mata Amerika untuk menandatangani sumpah setia kepada Presiden Woodrow Wilson ketika itu.

Dia juga telah membatalkan semua jelajah pertunjukannya untuk melakukan persembahan bagi menghiburkan Tentera Amerika dan mengumpul dana untuk perang. Dia malah menggunakan teknik pertunjukkannya untuk membantu tentera.

Houdini mengadakan beberapa kelas di Hippodrome New York bagi memberi tunjuk ajar kepada pasukan tentera terutamanya Marine Corps bagaimana untuk melepaskan diri daripada kapal yang karam, diikat dengan tali, gari atau sekatan lain sekiranya mereka ditangkap oleh pihak Jerman.

7. Dia memiliki studio filem sendiri

harry houdini

Kerjaya singkat Houdini sebagai bintang filem senyap bermula pada tahun 1919 dalam siri filem The Master Mystery apabila dia melakonkan watak perisik yang menggunakan kebolehannya untuk menggagalkan rancangan kumpulan penjenayah.

Siri itu mendapat sambutan hangat dan diingati sebagai filem pertama yang memaparkan robot. Houdini kemudian membintangi dua lagi filem sebelum melancarkan studio filemnya sendiri yang dinamakan sebagai Houdini Picture Corporation.

Syarikatnya itu menghasilkan dua filem bertajuk The Man From Beyond dan Haldane of the Secret Service tetapi kedua-duanya gagal mendapat sambutan yang baik. Setelah menghabiskan sebahagian besar hartanya untuk melabur dalam bidang perfileman, Houdini akhirnya menjual syarikatnya pada tahun 1923.

8. Houdini membongkar psikik dan kuasa ghaib

houdini debunk

Sebagai seorang yang pakar dalam silap mata dan ilusi, Houdini menjadi geram apabila ada yang mendakwa mereka adalah psikik atau memiliki kuasa ghaib. Pada tahun 1920-an, dia memulakan kerjaya keduanya sebagai seorang pengkritik profesional dan membongkar ahli psikik, pembaca minda, bomoh atau pewasitah (spiritualists) yang boleh berhubung dengan alam ghaib.

Dia dengan gigih cuba untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang penipuan yang dilakukan sesetengah kumpulan atau individu yang menyamar. Dia juga menawarkan ganjaran USD 10,000 kepada mana-mana ahli psikik yang boleh mengemukakan "fenomena fizikal" yang tidak dapat dijelaskan secara rasional.

Pada 1926, Houdini membentangkan kepada ahli Kongres untuk melarang amalan menilik nasib dengan bayaran atau pampasan.

Rujukan:

1. History

2. Mental Floss

3. MNN




Hakcipta iluminasi.com (2017)