Di sebalik usaha seorang ahli magik membuatkan orang terhibur dan teruja dengan aksi silap mata yang dilakukan, ada begitu banyak risiko mengerikan yang harus mereka tempuhi termasuklah mempertaruhkan nyawa sendiri. Walaupun silap mata ini sering dilakukan menggunakan helah dan ilusi, adakala berlaku juga kesilapan di mana ahli silap mata telah membahayakan diri sendiri dan orang di sekeliling, seperti 5 helah ahli silap mata berikut yang berakhir dengan tragedi:

img 20180320 131522

1. Charles “Karr the Magician” Rowen

Kemalangan ini berlaku pada tahun 1930 dan dialami oleh seorang ahli silap mata Afrika Selatan bernama Charles Rowen, atau lebih dikenali sebagai "Karr the Magician". Beberapa helah yang terkenal adalah seperti membebaskan diri dari perangkap dan terjun ke atas tompokan kaca pecah. Pada masa itu, dia mengadakan pertunjukan di Springfontein, Afrika Selatan, di mana Karr terpaksa melakukan adegan yang sangat berbahaya. Tubuhnya terikat dan terpaksa melepaskan diri sebelum kereta yang dipandu seorang lelaki lain pada kelajuan 72 kilometer sejam menghentam dirinya.

nahas silap mata 2

Tetapi malang, nasib tidak menyebelahi dirinya. Dia hanya mempunyai masa sekitar 10-15 saat namun pergerakannya terlalu perlahan. Akhirnya, Karr tidak dapat mengelak daripada dirempuh kereta. Kemalangan yang hampir menyebabkan kakinya terputus itu berlaku di hadapan ramai penonton termasuk anak kecil. Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, dia menjelaskan bahawa pemandu kereta itu tidak boleh dipersalahkan kerana kejadian itu adalah 100% kesalahan dirinya sendiri.

2. Janaka Basnayake

Sebelum ini, ada satu rekod dunia yang dipegang oleh David Blaine iaitu ahli silap mata yang 'mengebumikan' dirinya hidup-hidup dan mampu bertahan sehingga enam hari di dalam tanah. Seperti ramai sedia maklum, Blaine merupakan ahli silap mata profesional yang sentiasa mempunyai pasukan pengiring keselamatan setiap kali dia ingin melakukan aksi berbahaya.

ahli silap mata magician yang berakhir dengan tragedi nahas kematian 2

Lain pula kisahnya dengan ahli magik amatur berusia 24 tahun bernama Janaka Basnayake dari Sri Lanka yang memasang niat untuk mengatasi rekod yang dipegang Blaine pada tahun 2012. Dia telah meminta ahli keluarganya menanam dirinya ke dalam tanah sedalam tiga meter sebelum menutup lubang itu dengan tanah dan kayu. Pada percubaan pertama dan keduanya, dia berjaya selamat selepas ditanam selama dua jam setengah dan enam jam masing-masing. Namun sayang, dia telah ditemui meninggal dunia setelah ditanam hidup-hidup dalam percubaan ketiga hanya selepas 7 jam 30 minit.

3. Dr. Vivian Hensley

ahli silap mata magician yang berakhir dengan tragedi nahas kematian

Vivian Hensley merupakan seorang doktor gigi berusia 43 tahun dari Brisbane, Australia. Sebagai seorang doktor gigi, sudah pasti Dr. Hensley sedar akan bahaya memasukkan benda tajam atau benda bukan makanan ke dalam mulut.

Dr. Hensley gemar melakukan helah silap mata di hadapan anak lelakinya yang masih kecil. Pada bulan Julai 1938, dia telah menunjukkan satu helah "menelan pisau cukur berkarat" dengan berpura-pura memasukkan pisau cukur ke dalam mulut walhal dia sepatutnya menyelit pisau cukur tersebut di lengan baju. Namun, dia tersilap langkah dan dengan tidak sengaja benar-benar menjatuhkan pisau cukur ke dalam tekak. Melihat kejadian ini, isterinya segera menyuruh Dr. Hensley menelan bebola kapas sambil membawanya ke hospital. Selepas mengX-ray dan menjalani dua siri pembedahan, pasukan doktor masih tidak dapat mengeluarkan pisau cukur tersebut dan Dr. Hensley meninggal dunia empat hari kemudian. 

4. Madame DeLinsky

Kejadian nahas berikutnya dialami oleh pasangan ahli silap mata suami isteri yang berasal dari Poland pada tahun 1820. Ketika itu, pasangan ini beraksi di hadapan Putera Schwarznberg-Sonderhausen di Arnstadt untuk membuat helah "The Bullet Catch".

nahas silap mata 5

Dalam kejadian itu, isteri DeLinsky perlu berdepan dengan skuad penembak yang terdiri daripada enam lelaki dan perlu 'menangkap' peluru yang dilepaskan. Mereka telah meminta agar para askar itu memasukkan kartrij peluru kosong namun seorang askar telah menjadi terlalu gementar di atas pentas dan meneruskan rutin yang biasa dilakukan setiap hari dengan memasukkan peluru sebenar.

Peluru itu kemudian telah ditembak mengenai abdomen Madame DeLinsky yang kemudian dikenal pasti sedang hamil. Selepas bayinya disahkan mati, dia meninggal dunia dua hari kemudian akibat luka tembakan yang teruk.

5. Demian Aditya

Ahli silap mata terkenal dari Indonesia yang pernah tular kerana menghadiri uji bakat di rancangan TV terkemuka America's Got Talent ini telah ditimpa malang apabila satu aksi silap matanya yang dilakukan secara langsung telah menyebabkan pembantu merangkap pengganti lagak ngerinya dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Aksi yang dinamakan "The Death Drop" yang dilakukan pada bulan Disember 2017 itu memerlukan Demian menyelamatkan diri dari dalam sebuah kotak sebelum ia terbakar dan jatuh terhempas. Seperti biasa, Demian akan membuatkan semua penonton berasa cemas sebelum muncul kembali di sebalik orang ramai secara 'magik'.

nahas silap mata 6

Namun, beberapa hari kemudian keluar laporan berita mengatakan pembantunya bernama Edison Wardhana sebenarnya adalah orang yang berada di dalam kotak yang terhempas itu. Edison bagaimanapun dimasukkan ke wad ICU dalam keadaan stabil walaupun paru-parunya terkoyak akibat tertusuk besi tajam dan terpaksa dijahit.


tags : , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)