Oleh pada 24 Jul 2023 kategori

Kita sebagai rakyat Malaysia tahu dalam bahasa kita, wujud banyak peribahasa dan simpulan bahasa yang kita gunakan sehari-hari.

Kedua-dua diguna baik secara formal dan tidak formal, bagi memudahkan gambaran atau penjelasan, mirip kepada metafora sesuatu situasi atau keadaan yang ada dalam bentuk yang padat, ringkas dan mudah kita fahami.

Begitu juga dengan bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris juga ada banyak peribahasa khususnya berkait dengan haiwan walaupun kadangkala bunyinya seolah-olah tak masuk akal. Apa makna di sebalik peribahasa-peribahasa itu?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. The elephant in the room

elephant in the room

Peribahasa ini yang merujuk kepada seseorang yang mampu meninjau atau meneliti sesuatu yang kecil, tetapi tidak cakna sesuatu yang terpampang depan mata sebenarnya hadir daripada karya seorang penulis bernama Ivan Krylov. 

Krylov dalam kisah nukilannya 'The Inquisitive Man' terbitan tahun 1814 menceritakan tentang seorang lelaki yang hadir ke sebuah muzium, menyaksikan kesemua pameran dan artifak yang terpamer - tetapi tidak menyedari wujud seekor gajah gergasi di tengah-tengah semua pameran yang ada.

Penggunaannya mula merebak sebagai satu ungkapan sehingga direkodkan dalam sebuah artikel terbitan New York Times pada tahun 1959 - bagi menggambarkan situasi serupa.

2. Beating a dead horse

to beat a dead horse

Ungkapan ini diamal bagi menggambarkan sesuatu tindakan yang dianggap sia-sia untuk diteruskan, tetapi persoalannya kenapa kuda dipilih?

Ini kerana budaya masyarakat barat terdahulu cukup menggemari perlumbaan kuda. Kuda-kuda yang berlumba, akan dipukul dengan harapan hukuman yang dikenakan mampu mengakibatkan kuda yang berlari mampu memecut lebih pantas.

Namun bagi sesetengah pelumba, mereka terpaksa akur walaupun mereka memukul dan merotan kuda mereka sehingga mati sekalipun - kuda mereka tidak akan mampu berlari dengan lebih kuat. Itulah asal-usul ungkapan ini.

Direkodkan secara rasmi dalam akhbar di London pada tahun 1859, peribahasa ini kekal relevan dalam kalangan penutur bahasa Inggeris walaupun tak ramai tahu apa sebabnya kuda dijadikan subjeknya.

3. Bee's knees

bee s knees sebab reason

Pernahkah anda mendengar simpulan bahasa ini digunakan? 'Bee's knees' merujuk kepada sesuatu objek atau hasil yang layak dikatakan terbaik dalam kelasnya serta berkualiti tinggi.

Pasti ramai hairan kenapa 'lutut lebah' yang dijadikan ukuran? Dipercayai ungkapan ini dicipta seorang kartunis bernama Tad Dorgan sekitar dekad 1920-an, ketika mana dia gemar mengaitkan sesuatu objek dengan haiwan.

Inspirasinya pula dikatakan hadir daripada tindakan lebah yang akan mengangkat debunga yang dikutip menggunakan kaki belakang mereka, untuk dibawa pulang ke sarang.

4. Raining cats and dogs

raining cats and dogs sebab reason

Dalam musim hujan lebat, pasti kedengaran istilah ini disebutkan di kalangan masyarakat barat. Tak boleh bayang penulis bagaimana rupanya kalau yang jatuh adalah anjing dengan kucing. Kenapa ya?

Pendapat paling popular yang disebut sebagai asal-usul ungkapan ini datang daripada masalah perparitan awam yang dihadapi masyarakat Eropah zaman dahulu. Setiap kali hujan turun dengan lebat di kawasan awam, bendasing-bendasing yang terbiar di sepanjang jalan akan hanyut dibawa air lalu terkumpul.

Selain sampah, masyarakat Eropah turut sama akan menemui bangkai anjing atau kucing dalam longgokan yang perlu dibersihkan. Dari penemuan yang kerap berlaku itulah, setiap kali hujan lebat mereka akan mengaitkannya dengan kucing dan anjing.

5. Something fishy

seseorang yang fishy

Walaupun anda bukan penutur bahasa Inggeris yang kerap, kami yakin anda pasti pernah menggunakan simpulan bahasa ini. 

'Fishy' digunakan bagi menggambarkan perwatakan atau perangai seseorang yang dikatakan sedang menyimpan muslihat atau helah. Tetapi persoalannya - kenapa ikan pula yang dipilih sebagai subjek? Ada sebabnya!

Fishy datang daripada amalan masyarakat terdahulu (dan juga sekarang) yang akan menilai kesegaran ikan, daripada baunya. Ikan segar tiada bau, sementara ikan yang telah lama pasti mempunyai aroma yang berbeza. 

Pelanggan yang hadir ke gerai jualan ikan pasti akan memeriksa terlebih dahulu tahap kesegaran ikan yang ada melalui baunya, walaupun penjual yang ada sedaya upaya mahu meyakinkan barang jualan mereka adalah yang terbaik dan paling segar. 

Daripada situasi itulah mana-mana penjual ikan yang menjual ikan berbau tetapi didakwa segar, akan disamakan dengan ikannya dan seseorang yang menyimpan muslihat terpendam akhirnya digelarkan 'seorang yang fishy.'




Hakcipta iluminasi.com (2017)