Oleh pada 10 Aug 2021 kategori

Sebelum temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 melabuhkan tirai, nama atlet Morhad Amdouni tiba-tiba menjadi tular di temasya sukan terbesar di dunia itu.

Namun namanya tular dari sudut negatif di mana kebanyakan daripada mereka warga net dan peminat Olimpik mengecam tindakan yang dilakukan oleh atlet ini dalam acara marathon pada 8 Ogos 2021.

Morhad Amdouni merupakan atlet Perancis yang mewakili negara itu untuk larian jarak sederhana dan jauh. Berusia 33 tahun, Amdouni mempunyai darah Tunisia dan lahir di pulau Corsica, Perancis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Amdouni membuat penampilan junior antarabangsa beliau dalam acara 1,500 meter di Kejohanan Atletik Junior Dunia 2006 namun tidak melepasi peringkat saringan.

Pada Kejohanan Merentas Desa Eropah 2006, Amdouni menduduki tempat ke-12 dalam perlumbaan junior, memberikan pingat gangsa pasukan bersama seorang lagi atlet Perancis bersama Noureddine Smaïl.

pelari marathon perancis morhad amdouni

Kejayaan terhebat Amdouni di peringkat junior adalah memenangi acara 5,000 meter di Kejohanan Olahraga Junior Eropah 2007 dan Kejohanan Merentas Desa Eropah 2007.

Pada tahun 2008, Amdouni bertanding dalam kategori bawah 23 tahun Kejohanan Merentas Desa Eropah 2008, di mana beliau menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-8 dan pasukan Perancis menggondol gangsa.

Pada tahun berikutnya, Amdouni  berlari di pentas senior dunia buat kali pertama tetapi menamatkan perlumbaan di tempat ke-63 di Kejohanan Merentas Desa Dunia IAAF 2009 dan terpilih untuk Kejuaraan Olahraga Dunia 2009.

Dalam musim yang sama, Amdouni  mencatatkan rekod Eropah bawah 23 tahun untuk jarak 3,000 meter dengan catatan 7:37.50 di Meeting Areva.

Amdouni memenangi pingat pertamanya di peringkat senior di Kejohanan Merentas Desa Eropah 2010 di mana beliau menamatkan perlumbaan di tempat ke-5, di belakang rakan sepasukan Abdellatif Meftah untuk merangkul gelaran pasukan senior lelaki.

Dikecam kerana air botol

morhad amdouni atlet perancis dikecam berikutan insiden air

Penampilan pertama Amdouni di peringkat Olimpik mewakili Perancis adalah pada Olimpik Tokyo 2020. Dalam acara marathon, Amdouni menamatkan perlumbaan di tempat ke-17.

Namun dalam acara ini, Amdouni melakukan satu tindakan yang menyebabkan kemarahan orang ramai di mana beliau dikecam hebat.

Dan bagi atlet yang berlari di belakangnya pada ketika itu, Amdouni mungkin telah membuatkan dirinya sebagai musuh nombor satu pada hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo itu.

Dengan suhu menghampiri 30 darjah dan tahap kelembapan lebih dari 80%, lebih dari seperempat daripada atlet maraton lelaki terpaksa mengundurkan diri dari perlumbaan.

Ini kerana tahap penghidratan setiap atlet sangat penting untuk membolehkan mereka beraksi di tahap puncak.

Oleh itu, terdapat banyak stesen di mana air disediakan di sepanjang laluan membolehkan atlet minum dan kekal terhidrat untuk meneruskan larian ke garisan penamat.

Sebaik sahaja pelari yang mendahului melepasi jarak 28km, pelari Perancis ini menghulurkan tangannya untuk mengambil air yang disediakan di atas meja tetapi ketika beliau berlari di sepanjang meja tersebut, tangannya kelihatan menolak hampir kesemua air yang disediakan.

Hampir kesemua air botol yang tersedia jatuh akibat tindakan Amdouni sebelum mendapatkan sebotol air terakhir untuk dirinya.

Atlet di hadapan Amdouni tidak terjejas namun mereka yang berada di belakang Amdouni tidak dapat mengambil air untuk menghidratkan diri semula bagi meneruskan perlumbaan.

Tindakan ini kelihatan seperti sengaja dilakukan oleh Amdouni yang telah menyebabkan kemarahan.

Tetapi tuduhan ini disangkal Amdouni dengan mendakwa bahawa botol-botol tersebut basah dan licin membuatkannya sukar untuk digenggam.

Pelari yang betul-betul berada di belakang Amdouni terlepas untuk mengambil air tetapi meneruskan larian tanpa membuat kekecohan.

Kejadian itu dikecam hebat oleh pemerhati Olimpik yang bukan hanya mengecam pelari Perancis itu kerana tidak mengendahkan "fair play", tetapi juga menggelarkan tindakan itu sebagai yang "paling teruk" pernah dilihat di peringkat Olimpik.

Namun, hanya Amdouni sahaja yang mengetahui sama ada beliau tidak sengaja atau sengaja melakukan sabotaj.

Amdouni menamatkan larian di tempat ke-17 dalam tempoh 2 jam 14 minit dan 33 saat.

Abdi Nageeye dari Belanda berada di belakang Amdouni ketika kejadian air tersebut dan gagal mengambil air, namun memenangi pingat perak dengan catatan masa 2 jam 9 minit dan 58 saat, hampir 5 minit lebih pantas dari Amdouni.

Pelari Kenya, Eliud Kipchoge memenangi pingat emas dengan masa 2 jam 8minit dan 38 saat.

Rujukan:

1. Insider

2. 7news

3. Inside The Games




Hakcipta iluminasi.com (2017)