Masa penulis kecil dulu, salah satu perkara yang paling penulis percayai adalah tentang kebenaran sebenar pertarungan gusti, khasnya dalam siri WWF (yang kini dikenali dengan nama WWE).

Melihat bagaimana mereka bertumbuk, bergaduh, bertekak dan saling maki-memaki antara satu sama lain memang mampu membuatkan peminat gusti sangat teruja dengan aksi mereka. Walau bagaimanapun, bila dah dewasa dan lebih memahami dunia amat jelaslah semua yang berlaku adalah berdasarkan skrip.

BESARKAN TEKS     A-  A+

ahli gusti yang berjaya dalam lakonan

Mungkin kerana itu, tidak susah untuk kita dapat melihat penggusti yang berjaya memperkembangkan karier mereka daripada sukan gusti sehingga menjadi seorang pelakon berjaya. Berikut adalah lima orang penggusti paling berjaya menjadi pelakon filem yang disegani, membuktikan latihan berlakon dalam gelanggang bukan sekadar untuk suka-suka.

5. Steve Austin

stone cold steve austin

Menjadi antara penggusti paling terkenal di dunia semasa menerajui jalan cerita WWE dengan menjadi pemegang kejuaraan selama beberapa musim, Steve Austin memulakan karier dalam bidang lakonan dalam filem komedi 'The Longest Yard' bersama Adam Sandler.

Lebih banyak membintangi filem berstatus 'terus ke video,' karier filem Steve Austin agak perlahan berbanding dengan penggusti lain dalam senarai ini, dengan watak terbesar pernah disandangnya adalah sebagai salah satu watak dalam filem 'The Expendables' bersama Sylverster Stallone serta ramai lagi.

4. John Cena

john cena pakai kostum

John Cena merupakan antara nama paling terkenal dalam sukan gusti sehingga kini dengan namanya kerap kali dijadikan meme oleh pengguna-pengguna internet. Semasa zaman kegemilangannya bersama WWE, John Cena terpilih sebagai individu pertama yang bakal memulakan siri filem terbitan WWE melalui studio mereka sendiri, dengan filem The Marine dihasilkan.

Cena kemudiannya tampil dalam beberapa filem komedi serta menyumbangkan suara untuk watak-watak animasi.

Bermula dengan lakonannya dalam filem 'The Wall' di mana Cena memegang watak utama, karier filem Cena nampak seakan mahu meletup sehingga dia ditawarkan memegang watak utama dalam filem 'Bumblebee', yang merupakan antara francais filem 'Transformers' popular di dunia.

3. Roddy Piper

roddy piper they live

Sekiranya dikira jumlah filem yang dibintangi, mendiang Roddy Piper besar kemungkinan akan diletakkan nombor 1 dalam senarai.

Mempunyai karier filem yang sangat prolifik serta membintangi beberapa filem klasik seperti 'They Live' memegang watak utama, sehingga kini karier mendiang belum dapat dicabar oleh mana-mana penggusti lain.

Piper turut melebarkan karier dengan melakukan banyak penampilan dalam pelbagai jenis siri televisyen. Walau bagaimanapun, karier beliau lebih banyak bertumpu pada industri filem di Kanada, negara kelahirannya.

Ini membuatkan nama beliau sebagai seorang anak seni kurang didedahkan kepada khalayak yang lebih besar.

2. Dave Bautista

drax guardians of the galaxy

Dave Bautista memulakan karier gusti pada tahun 2000 sebelum membintangi filem pertama beliau pada tahun 2006.

Walaupun demikian, karier lakonannya mula benar-benar meletup selepas membintangi filem aksi 'The Man With the Iron Fist' dan juga sambungan kepada filem 'Riddick' bersama aktor aksi Vin Diesel.

Wataknya sebagai Drax the Destroyer dalam filem 'Guardians of the Galaxy' yang bersifat kelakar tapi ganas menggelikan hati semua orang, membuktikan bakat Bautista sebagai pelakon aksi komedi yang berkesan.

Beliau seterusnya berlakon dalam filem James Bond 'Spectre,' kembali sebagai Drax lagi sekali dalam GOTG Vol 2 dan menampilkan diri dalam filem sains fiksyen Blade Runner 2049.

1. Dwayne Johnson

the rock scorpion king

Tahukah anda, Dwayne Johnson atau The Rock memulakan karier lakonan dalam siri televisyen komedi 'That 70's Show', memainkan watak ayahnya sendiri?

Tuah memang menyebelahi Johnson kerana pada awal kemunculannya sebagai pelakon, banyak pihak meragui kebolehan beliau untuk membawa watak lebih besar.

Apatah lagi dua kemunculan awal beliau dalam filem The Mummy Returns dan The Scorpion King dikritik hebat kerana lakonan kayu. Bagaimanapun filem 'Walking Tall' yang diterbitkan pada tahun 2004 membuktikan bakat Johnson boleh diasah untuk membawakan watak lebih serius.

Beliau terpilih untuk masuk ke dalam francais The Fast and the Furious dalam filem 'Fast Five', meletakkan dirinya sebaris dengan bintang-bintang utama filem itu dan membintangi filem pecahan francais tersebut, 'Hobss and Shaw'.

Johnson turut banyak membintangi filem-filem komedi seperti The Other Guys dan Jumanji, serta menyumbangkan suara beliau dalam filem animasi Disney 'Moana,' memegang watak utama sebagai Maui yang kasar tapi berhati baik.

Beliau dikhabarkan bakal memainkan watak utama dalam salah satu filem adiwira terbitan DC, namun sehingga ke hari ini belum nampak lagi hasil yang dinanti-nantikan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)