Gempa bumi adalah salah satu bentuk bencana alam paling dahsyat dan memusnahkan. Gempa bumi sangat sukar diramal kerana ia berpunca daripada kejadian yang berlaku jauh dalam perut bumi.

Salah satu penyebab utama berlakunya gempa bumi berpunca daripada aktiviti pergerakan plat tektonik. Selain itu, gempa bumi juga boleh disebabkan oleh letusan gunung berapi. Berikut adalah lapan negara yang mempunyai risiko paling tinggi mengalami kejadian gempa bumi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

8. Itali

Bahagian selatan negara ini merupakan tempat paling mudah terkena bencana gempa bumi kerana Plat Eurasia dan Afrika bertembung di wilayah ini.

Sebilangan besar gunung berapi paling berbahaya di Itali seperti Etna, Vesuvius dan Stromboli terletak di wilayah ini. Sejak tahun 1900 sehingga 2016, sebanyak 33 kejadian gempa bumi dilaporkan berlaku di Itali.

7. Amerika Syarikat

Sebahagian dari pantai barat Amerika Syarikat berada di atas Lingkaran Api Pasifik di mana kerap berlakunya letusan gunung berapi. Rantau ini juga mempunyai tektonik plat aktif. Dilaporkan sebanyak 41 kejadian gempa bumi berlaku di Amerika Syarikat dari tahun 1900 hingga 2016.

kemusnahan akibat gempa bumi

Sempadan dinamik plat Pasifik dan Amerika Utara ini bertanggungjawab terhadap banyak kejadian gempa bumi terutamanya di Alaska dan California. Tambahan pula, gelinciran San Andreas (retak pada kerak bumi yang menyebabkan muka bumi ternaik atau terturun) yang terbentang panjang menjadikan negeri ini terdedah kepada bencana.

6. Peru

Negara Peru terletak di antara plat Amerika Selatan dan Nazca. Plat di negara itu bergerak dengan kecepatan sebanyak 77 mm setiap tahun. Pergerakan ini memicu kejadian gempa bumi disebabkan sesar tujah (terbentuk akibat ricihan kerak bumi). 

Aktiviti gunung berapi di dataran tinggi, pembentukan Jurang Peru-Chile dan Jurang Pergunungan Andes juga menjadi punca kepada pergerakan plat tektonik di Peru. Sebanyak 44 kes gempa bumi dilaporkan berlaku di Peru dari tahun 1900 hingga 2016.

5. Japan

Negara Jepun yang terletak berhampiran Lingkaran Api Pasifik telah menjadikannya sangat berisiko untuk mengalami bencana gempa bumi. Pergerakan dan pertembungan lereng benua dan plat dasar laut di sekitar Jepun menjadi punca utama terhadap bencana ini.

lingkaran api pasifik dan plat

Lingkaran Api Pasifik dan Plat di seluruh dunia

Jepun berada dalam gabungan empat plat tektonik yang berbeza iaitu plat Amerika Utara, plat Pasifik, plat Filipina dan plat Eurasia. Pergerakan dan penolakan plat Filipina dan Pasifik di bawah dua plat lain akan menyebabkan berlakunya gempa bumi. Dari tahun 1900 hingga 2016, sebanyak 61 kes gempa bumi berlaku di Jepun.

4. Turki

Seperti negara-negara lain dalam senarai ini, Turki juga berada di salah satu tempat yang mempunyai gelombang paling aktif di dunia iaitu di antara plat Eurasia dan Arab. Plat Arab terbentang ke arah utara plat Eurasia yang agak stabil.

Turki berada di sempadan impak antara kedua-dua plat ini. Pergerakan plat Arab biasanya dipicu oleh pembentukan dan penyebaran kerak baru di sepanjang rabung yang terletak dalam Laut Merah dan Teluk Aden.

Penyebaran baru kerak ini akan menyebabkan tekanan pada plat Arab yang telahpun menghasilkan dua gelinciran seperti gelinciran Anatolia Utara dan Anatolia Timur. Lokasi di sepanjang kerosakan ini sangat terdedah kepada risiko berlakunya gempa bumi. Sebanyak 77 gempa bumi dilaporkan di Turki sejak tahun 1900 hingga 2016.

3. Iran

Iran merupakan salah sebuah negara Timur Tengah yang terletak di kawasan yang aktif dengan aktiviti gempa bumi. Sejak tahun 1900 hingga 2016, Iran telah mengalami sekurang-kurangnya 106 kejadian gempa bumi. Ini kerana Iran terletak di mana plat tektonik Eurasia dan Arab bertemu.

gempa bumi kobe

Pergunungan Zargos di Iran terbentuk akibat berlakunya penolakan plat Arab yang kemudian menjadi sebahagian besar plat Eurasia. Disebabkan lokasinya di zon pelanggaran plat berlainan, gempa bumi di negara itu tidak dapat dielakkan.

Tambahan pula, zon seismik merangkumi sebahagian besar Iran dengan kawasan yang panjangnya 1600 km dan lebar 400 km. Selain itu, Iran juga mempunyai banyak fracture zones (zon berjurang) yang menjadikannya lebih berisiko terkena gempa bumi.

2. Indonesia

Dengan 113 gempa bumi kuat antara tahun 1900 hingga 2016, negara Indonesia berada di tempat kedua dalam senarai ini. Sebab utama mengapa Indonesia kerap mengalami kejadian gempa bumi adalah lokasinya di Lingkaran Api.

Hampir kebanyakan gempa bumi di dunia berlaku di Lingkaran Api ini yang meliputi kawasan berbentuk kasut seluas 40,000 km persegi. Tambahan pula, pergerakan plat tektonik, letusan gunung berapi sama ada di laut atau darat juga mempengaruhi bencana gempa bumi di Indonesia berabad-abad lamanya.

1. China

China merupakan negara paling berisiko dan kerap mengalami gempa bumi. Sebanyak 157 kejadian gempa bumi berskala besar dicatatkan dari tahun 1900 hingga 2016.

gempa bumi indonesia

Sebilangan besar bencana ini berlaku di wilayah barat daya negara itu di mana kawasannya mempunyai banyak pergunungan tinggi. Mujurlah kawasan yang sering terjejas seperti Sichuan, Gansu, Qinghai, Xinjiang, Tibet dan Yunnan ini mempunyai populasi yang paling sedikit berbanding daerah lain di China.

Namun, keadaan infrastruktur pengangkutan yang mundur dan bentuk topografi pergunungan yang mencabar telah menyebabkan usaha penyelamatan dan pemulihan gempa bumi agak sukar.

Negara lain yang turut mengalami risiko besar

Afganistan dan India juga terdedah kepada risiko gempa bumi kerana aktiviti plat tektonik di kawasan itu. Plat India secara aktif terus bergerak ke arah utara dan berlanggar dengan plat Eurasia yang menjadi penyebab utama gempa bumi di India. Selain itu, negara seperti Greece dan Mexico juga berisiko tinggi berlakunya bencana gempa bumi.

Rujukan:

1. Negara dengan gempa bumi besar

2. Negara berisiko tinggi gempa bumi

3. Statistik gempa bumi




Hakcipta iluminasi.com (2017)