Kejadian gempa bumi merupakan sesuatu yang amat menakutkan.
Kita di Malaysia agak bernasib baik dilindungi daripada gegaran-gegaran lebih kuat, kerana kedudukan kita yang terlindung, walaupun negara kita masih mampu merasai gegaran yang berlaku di negara-negara jiran kita, khasnya Indonesia.
Walaupun demikian kita tetap tidak dapat lari daripada menerima kesan buruk akibat gempa bumi. Seperti yang berlaku dalam tragedi tsunami 2004 yang mengorbankan ribuan nyawa, negara kita turut sama mengalami kesan tsunami tersebut walaupun kesannya jauh lebih rendah berbanding apa yang berlaku di Thailand.
BESARKAN TEKS A- A+
Setiap kali berlakunya gempa bumi, kita akan mendengar perkataan 'skala Richter' atau 'Richter scale' disebut-sebut, sebagai satu cara kita mencongak bagi mengenalpasti kekuatan gempa bumi yang berlaku. Mari kita cuba memahami skala Richter ini secara ringkas hari ini.
Pengaruh besar tragedi gempa bumi San Fransisco 1906
Skala Richter muncul selepas Amerika Syarikat mengalami salah satu malapetaka paling dahsyat pada tahun 1906 apabila San Fransisco mengalami gegaran teruk mengakibatkan 3,000 orang meninggal dunia dan lebih 80 peratus bandar San Fransisco diraosakkan gegaran tersebut.
Walaupun begitu empat tahun kemudian pada tahun 1910, teori Harry Fielding Reid berkenaan bagaimana tenaga dilepaskan semasa gempa bumi berdasarkan kajian beliau terhadap gempa bumi 1906 mula menampakkan hasil. Teori 'pelepasan semula elastik' atau 'elastic-rebound theory' menjadi asas kepada kajian terhadap aktiviti gempa bumi dalam usaha penyelidik memahami apa yang berlaku.
Teori itu kekal menjadi rujukan kepada penyelidik sehinggalah pada tahun 1935 apabila Charles F. Richter daripada California Institute of Technology (Caltech) mengumumkan beliau telah berjaya mencipta alat yang mampu mengukur saiz gempa bumi berdasarkan perkiraan matematik.
Fokus Richter dalam skalanya adalah dengan mengukur kekuatan gegaran yang berlaku pada tanah. Dengan menggunakan model bagaimana pengkaji bintang mengukur kecerahan bintang di langit, astronomer memilih untuk mengukur tahap kecerahan bintang dengan menggunakan angka satu digit yang mudah difahami.
Sistem ini ditiru oleh Richter dengan mengambil kira bacaan seismograf, alat yang dapat mengukur kekuatan gegaran namun mempunyai cara bacaan yang sukar untuk difahami semua orang.
Daripada kajian itulah, Charles Richter dan rakannya, Beno Guternberg berjaya menghasilkan alat yang mereka namakan sebagai local Magnitude Scale atau ML.
Skala diperkenalkan Richter memudahkan sistem ukuran
ML diperkenalkan untuk mengukur bacaan daripada seismograf kepada unit magnitud bergantung kepada kekuatan gegaran serta jarak seismograf itu dari lokasi gegaran.
Menurut Richter, walaupun seismograf mampu merekodkan sebarang bentuk gerakan muka bumi yang berlaku - manusia tidak mampu merasai gegaran yang kurang daripada magnitud 3 dalam skala beliau yang bersamaan dengan letupan kuasa 480kg TNT.
Magnitud 5 yang 10,000 kali ganda magnitud 3 mampu menyebabkan kerosakan teruk dan magnitud 7 barulah dianggap sebagai gempa bumi besar kerana bersamaan dengan letupan 480 kilo tan TNT, mampu menyebabkan kerosakan dalam skala besar.
Walaupun begitu, skala ML mempunyai kelemahan tersendiri. Oleh kerana skalanya bergantung kepada satu angka sahaja, skala Richter tidak dapat menjelaskan mengapa terdapat perbezaan pada dua gempa bumi berlainan yang mempunyai ukuran yang sama, namun mampu menyebabkan tahap kemusnahan yang berbeza.
Selain itu peranti ML Richter hanya mampu mengukur gempa bumi di antara magnitud 3 sehingga 7 sahaja, serta perlu berada tidak lebih daripada 600km daripada pusat gegaran gempa bumi untuk mendapatkan bacaan yang tepat.
Penambah baikan pada skala ML
Pengenalan skala ML oleh Richter dan Gutenberg membuka peluang kepada lebih ramai penyelidik untuk menambah baik skala yang mereka berdua perkenalkan. Salah satu skala yang digunakan untuk menggantikan skala yang diperkenalkan Richter adalah Moment Magnitude Scale atau MMS.
Dibangunkan pada tahun 1970-an dengan tujuan menambahbaik serta menggantikan terus skala yang dibuat Richter, MMS mampu mengukur kekuatan gempa bumi dengan lebih baik serta lebih tepat, menggunakan unit yang lebih kecil. MMS mengambil teori yang dibangunkan oleh seorang profesor dari Maasachussetts Institue of Technology (MIT) bernama Keiiti Aki pada tahun 1966.
Teori Aki menyebut berlakunya pertukaran kedudukan secara elastik dalam bumi yang menyebabkan gegaran berlaku, bergantung kepada tahap rekahan dalam bumi, jarak rekahan yang terbentuk serta kemampatan material yang membentuk rekahan dan regangan dalam pergerakan bumi.
MMS mengambil masa lebih 13 tahun untuk dibangunkan bagi mengumpulkan data yang diperlukan sebelum teknologi komputer yang semakin baik, mempercepatkan proses pengumpulan data yang dicari.
Tahukah anda, apabila kita menyebut berkenaan kekuatan magnitud sesuatu gempa bumi sekarang ini, kita pasti akan merujuk kepada 'berapa skala richter kekuatan gegarannya. Namun, skala Richter sebenarnya sudah tidak lagi digunakan kerana banyak pihak pemerhati dan penyelidik gempa bumi di seluruh dunia sudah beralih sepenuhnya menggunakan sistem ukuran MMS sejak 2002 lagi.
Bagaimanapun, mungkin kerana enghormati sumbangannya kepada dunia kajian gempa bumi, kita masih terus menyebut unit ukuran magnitud gempa bumi dengan terma skala Richter walaupun sebenarnya Richter sudah tidak lagi digunapakai.
Lagipun, agak sukar untuk menyebut '7 pada skala magnitud' kerana bunyinya tak berapa sedap didengari. Kini anda sudah tahu penggunaan 'skala richter' tidak lagi diamalkan dan majoriti media yang melaporkan tentang gempa bumi, kerap melakukan kesilapan yang tak ada pihak nak cuba betulkan.
Nak sebut terma yang betul? Gunakan terma 'pada skala magnitud.' Bukan lagi 'pada skala richter.'
Rujukan