gereja tertua di dunia

Gereja merupakan kawasan ibadat orang Kristian sejak dahulu lagi.

Binaan gereja mempunyai identiti yang unik berikutan penggunaan tanda salib, rekaan dinding yang memaparkan visual lukisan yang cantik serta seni pembinaan yang sudah diwarisi sekian lama.

Walaupun begitu, binaan gereja pada zaman dahulu sebenarnya agak jauh berbeza dengan apa yang dapat kita lihat sekarang. Tahukah anda di manakah terletaknya gereja-gereja lama ini? Berikut adalah lima gereja di dunia yang mempunyai usia paling tua dan telah ditemui setakat ini.

5. Monasteri St. Anthony, Mesir

st anthony monastery

Sebuah monasteri besar terletak di kawasan oasis Mesir, kedudukannya agak terlindung serta berada dalam kawasan terpencil. Gereja ini dinamakan sempena St. Anthony, seorang sami Kristian dari Mesir yang lahir pada tahun 251 dan meninggal dunia pada tahun 356. Beliau hadir ke kawasan itu bagi menyebarkan ajaran Kristian.

Kedatangan beliau berjaya mengumpulkan pengikut-pengikut yang ramai dan mereka bersetuju untuk membina rumah ibadat tersebut sebagai pusat aktiviti mereka. Pada tahun 298 hingga 300, monasteri tersebut siap dibina dan St. Anthony dan pengikutnya tinggal di situ, mengamalkan kehidupan yang sangat sederhana memilih untuk mengabdikan diri pada Tuhan.

Semenjak pembukaan jalan raya ke kawasan itu pada tahun 1946, monasteri ini semakin mudah dikunjungi dan menerima ribuan pengunjung semasa musim percutian. Kini, lokasinya juga sudah diperbesarkan serta mempunyai taman, tempat membuat roti dan lima gereja berasingan.

4. Gereja Aqaba, Jordan

church aqaba jordan

Ditemui pada tahun 1988 di Aqaba, Jordan - pada mulanya Gereja Aqaba dinobatkan sebagai bangunan gereja tertua yang dibina khas sebagai sebuah gereja, sebelum penemuan sebuah lagi gereja di Rihab, Jordan pada tahun 2008. Dibina menggunakan tanah lumpur sekitar tahun 293 hingga 303 dengan ketinggian dinding setinggi 4.5 meter, gereja ini mampu memuatkan lebih 60 orang di dalamnya.

Gereja ini terpaksa ditinggalkan berikutan gerakan pembunuhan penganut Kristian yang berlaku pada tahun 303, sebelum mereka kembali menggunakannya beberapa belas tahun kemudian dan ajaran Kristian mula diterima. Gempa bumi yang berlaku pada tahun 337  menyebabkan pengikut ajaran Kristian di sini terpaksa menyelamatkan diri, lalu lokasi gereja ini terbiar sehingga ditutupi pasir.

Salah seorang pemimpin gereja ini direkodkan turut sama terlibat semasa perbincangan dengan Maharaja Constantine dalam mesyuarat yang dinamakan sebagai Decree of Nicea, membincangkan berkenaan isu triniti dan masa depan ajaran Kristian. Ini menunjukkan komuniti Kristian di Aila (nama lama Aqaba) mempunyai pengaruh yang agak besar pada masyarakat ketika itu. (rujukan)

3. Gereja Megiddo, Palestin

gereja di israel

Terletak di negara Palestin, Gereja Megiddo adalah sebuah gereja yang dipercayai dibina pada abad ke 3. Apa yang menarik gereja ini ditemui di bawah sebuah penjara jadi pakar arkeologi melakukan kerja-kerja cari gali dengan dibantu oleh banduan-banduan yang telah dilatih.

Usaha mereka mencari gali membuahkan hasil, setelah pasukan itu menemui asas bangunan gereja itu yang diperbuat daripada bahan mozaik dihiasi lukisan serta tulisan yang memuji Jesus Christ. Simbol dua ekor ikan yang terbaring sebelah menyebelah menunjukkan pengaruh simbol tersebut kepada penganut ajaran Kristian sejak dulu lagi.

Penemuan gereja itu sebenarnya berlaku dengan tidak sengaja. Selepas penjajah zionis Israel bercadang membesarkan penjara itu bagi menambah lagi kapasiti 1,200 orang banduan, kerja-kerja pembinaan yang hendak dijalankan membuka ruang kepada penemuan gereja itu. Kini lokasi tersebut sedang diusahakan untuk dijadikan tempat tarikan pelancong. (rujukan)

2. Rumah gereja Dura-Europos, Syria

gereja di syria

Gereja Dura-Europos dipercayai dibina pada tahun 229 sebagai kediaman sebelum ditukar menjadi pusat keagamaan pada tahun 233-256. Rumah/gereja ini kemudiannya ditinggalkan ekoran kedatangan tentera Parsi ke kawasan tersebut. Bahagian luarannya ketika digunakan masih lagi mengekalkan senibina kediaman asal, dengan hanya bahagian dalamannya diubah menjadi gereja.

Penyamaran ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kegiatan penyebaran agama Kristian diketahui pihak berkuasa ketika itu, yang masih memburu penganut Kristian. Bahagian dalaman gereja ini dihiasi dengan lukisan-lukisan memaparkan Jesus Christ dan gambaran-gambaran unik yang disebutkan dalam kitab Perjanjian Baru. (rujukan)

1. Gereja bawah tanah, Rihab, Jordan

gereja tertua di dunia syria

Dianggarkan dibina di antara tahun 33 hingga 70, setakat ini gereja tidak bernama yang terletak di bawah tanah di Jordan ini diiktiraf sebagai gereja paling tua di dunia serta menjadi lokasi paling awal berkumpulnya pengikut ajaran Jesus Christ.

Gereja ini juga dikatakan pernah menempatkan lebih 70 orang pengikut paling awal Jesus Christ, yang melarikan diri kerana berdepan ancaman bunuh di Jerusalem. Sepanjang di kawasan ini, kesemua pengikut Jesus Christ ini terpaksa hidup bersembunyi dalam gereja mereka yang mempunyai saiz 12 meter panjang dan 7 meter lebar.

Pengkaji juga menemui sistem saliran air yang membekalkan air kepada penghuni serta sebuah kawasan berbentuk bulatan dengan tempat duduk di sekelilingnya, berkemungkinan besar kawasan di mana mereka menyampaikan ajaran yang telah diturunkan.

Gereja bawah tanah ini ditemui pada tahun 2008 oleh ahli arkeologi Jordan setelah mereka melakukan cari gali di kawasan gereja St. George yang dibina di atasnya. Pengkaji meramalkan setelah ajaran Jesus Christ diterima di situ pada tahun 230, penganut ajaran itu membina gereja baru dan memilih untuk menggunakan lokasi sama dengan gereja asal yang telah ada. (rujukan)


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)