Oleh pada 09 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Astro Awani

Sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM720,000 setelah dirompak sekumpulan penjenayah semalam.

Menerusi insiden sekitar pukul 11.47 pagi itu, 3 lelaki yang memakai topi, bertopeng dan bersenjatakan sepucuk pistol, didapati meluru masuk di premis tersebut melalui salah satu pintu utama pasar raya itu.

Menurut  Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din selaku Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, suspek berjaya melarikan 8 dulang barang kemas yang diletakkan di ruang pameran luar kedai emas berkenaan.

"Suspek disyaki tiga lelaki tempatan dengan seorang daripadanya menggunakan senjata api dipercayai jenis Revolver 3.8.

"Suspek mengacukan senjata api ke arah pengawal keselamatan kedai emas itu dan merampas senapang (pump gun) pengawal keselamatan.

"Dalam tempoh beberapa minit kemudian, kesemua suspek melarikan diri dan mencampakkan pump gun di kawasan letak kereta di luar bangunan pasar raya berkenaan.

"Semakan mendapati nombor pendaftaran VA 8247 pada kereta Myvi digunakan suspek adalah palsu," ujarnya menerusi sebuah kenyataan semalam.

Dalam pada itu, seorang saksi, Rahim, yang juga merupakan pekerja di kedai berhampiran menceritakan suasana semasa insiden rompakan itu berlaku.

"Keadaan menjadi panik dan kecoh apabila pekerja kedai berhampiran serta pengunjung menjerit ketakutan dan lari menyelamatkan diri," luahnya.

Mohd Zani memberitahu bahawa premis itu pernah disamun pada November tahun lepas melibatkan kerugian sebanyak RM1.1 juta.

Sumber berita: BH Online & Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)