Oleh pada 24 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Kosmo Online

Dua lelaki yang didakwa mengakibatkan kematian dua beradik semasa sebuah majlis sambutan hari jadi di Damansara tiga minggu lepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.

Tertuduh iaitu pembantu stor, K. Pirabu (33 tahun) dan pemandu lori, S. Thinagaran (35 tahun) hanya mengangguk faham setelah kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh disebabkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dua rakan itu didakwa bersama-sama membunuh dengan mengakibatkan kematian ke atas dua beradik, Sulaiman Alzander@Arifin (44 tahun) dan Abulatiff Alzander@Arifin (36 tahun) di pekarangan Blok B, Flat Damansara Bistari, Petaling Jaya, antara 2 hingga 3 pagi, 11 Februari lepas.

Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, sekiranya sabit kesalahan.

Menerusi prosiding itu, mereka turut didakwa bersama 5 orang yang lain, sebagai ahli perhimpunan menyalahi undang-undang didakwa mencederakan Abdul Rashid Arifin menggunakan senjata berbahaya iaitu topi keledar dengan tujuan bersama, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, masing-masing didakwa di bawah Seksyen 146 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 148 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya, sekiranya sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim mengendalikan pendakwaan manakala peguam Baskaran Manikam mewakili kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudian mengizinkan tiada jaminan dan menetapkan 30 Mac hadapan sebagai sebutan semula kes.

Menerusi insiden sekitar pukul 2.30 pagi itu, dua beradik berasal dari Batu 7, Jalan Damansara dikatakan menghadiri majlis tersebut yang dibuat di sebuah khemah di depan Blok B flat terbabit, lalu terjadi perbalahan dan dua beradik itu ditetak.

Sumber berita: Kosmo Online & Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)