Oleh pada 10 Oct 2019 kategori

Globalisasi bukanlah fenomena yang baru. Sejak zaman Empayar Rom lagi, Timur dan Barat telah dihubungkan dengan jalan perdagangan yang dikenali sebagai Jalan Sutera. Laluan utama perdagangan dunia purba ini digunakan untuk pelbagai tujuan seperti membawa sutera, rempah-ratus, emas, teknologi, ajaran agama dan banyak lagi.

Bandar-bandar yang berada di Laluan Sutera ini berkembang dengan begitu pesat sekali. Kini, runtuhan monumen hebat bandar-bandar ini mengingatkan kita betapa pentingnya laluan ini dalam sejarah. Berikut adalah 8 bandar utama yang berada di Laluan Sutera.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Xi’an - China

tembok kota xi an

Tembok Kota Xi'an

Di Asia Timur, para pedagang memulakan perjalanan panjang Laluan Sutera mereka dari Xi'an, ibu kota diraja China purba. Di bandar inilah maharaja pertama China, Qin Shi Huang, memulakan misi menyatukan semua negeri-negeri di China menjadi satu empayar pada tahun 221 SM.

Xi'an juga merupakan rumah kepada monumen Tentera Terracotta yang terkenal. Tentera Terracota adalah patung pahlawan yang dikebumikan bersama-sama maharaja pertama China di makam besarnya.

tentera terracotta

Tentera Terracotta

Semasa pemerintahan dinasti Han yang sewaktu dengan Empayar Rom, Istana Weiyang yang merupakan kompleks istana terbesar dalam sejarah juga dibina di sini. Kompleks istana itu merangkumi kawasan seluas 1,200 ekar.

Seorang penulis empayar Rom, Pliny the Elder, memberitahu bahawa keinginan golongan elit Rom terhadap sutera dari China telah mewujudkan laluan perdagangan utama  ini dan menyalurkan banyak kekayaan Rom kepada China. 

2. Merv - Turkmenistan

merv turkmenistan

Merv yang kini dikenali sebagai Mary terletak di sebuah oasis di Turkmenistan. Lokasinya yang strategik di tengah-tengah Laluan Sutera menyebabkan bandar itu telah ditakluk oleh pelbagai empayar seperti Empayar Achaemenid (Parsi), Empayar Greco-Bactrian (Greek), Empayar Sasan (Iran/Parsi) dan Kerajaan Bani Abbasiyah .

Digambarkan oleh ahli geografi pada abad ke-10 sebagai "Ibu Dunia", Merv mencapai zaman keemasannya pada awal abad ke-13 dan merupakan kota terbesar dunia dengan populasi melebihi 500,000 orang.

Dalam salah satu episod paling dahsyat dalam sejarah Asia Tengah, bandar itu telah jatuh ke tangan Mongol pada tahun 1221. Anak lelaki kepada Gengis Khan iaitu Tolui telah mengarahkan pembunuhan seluruh penduduk Merv yang dianggarkan berjumlah 1.3 juta orang.

3. Samarkand - Uzbekistan

dataran registan samarkand

Credit : unesco

Samarkand adalah satu lagi bandar yang terletak di tengah-tengah Laluan Sutera. Apabila seorang pengembara terkenal, Ibnu Battuta, melawat bandar itu pada tahun 1333, dia menyatakan bahawa Samarkand adalah kota terbaik, terhebat dan kecantikannya adalah sempurnya.

Samarkand mencapai zaman keemasannya empat dekad kemudian ketika Tamurlane atau Tughluk Timur Khan (keturunan ketujuh Gengis Khan) menjadikan bandar itu sebagai ibu kota empayar Kesultanan Islam yang dikuasainya dari Indus ke Euphrates.

Di tengah kota Samarkand ini terletaknya Dataran Registan yang dikelilingi oleh tiga madrasah (pusat pembelajaran Islam) yang indah. Madrasah-madrasah ini dihiasi dengan jubin berwarna firus (turquoise) yang menyerlah apabila disimbahi pancaran cahaya matahari.

4. Balkh - Afghanistan

masjid hijau di balkh

Masjid Hijau di Balkh yang dibina pada tahun 1421

Dalam sejarah awalnya, Balkh atau dikenali sebagai Bactra adalah pusat utama bagi agama Zoroastrianisma. Di sinilah jugalah dikatakan tempat di mana ketua agama bernama Zoroaster hidup dan mati.

Keadaan itu berubah pada tahun 329 SM apabila Alexander the Great tiba di kota itu setelah mengatasi kekuasaan Empayar Parsi yang perkasa. Selepas dua tahun berperang, Balkh akhirnya ditundukkan melalui perkahwinan Alexander dengan puteri tempatan bernama Roxanna.

Apabila Alexander meninggal dunia, sebahagian tenteranya terus mendiami Asia Tengah. Mereka mengasaskan kerajaan Greco-Bactrian dan menjadikan Balkh sebagai ibu kota empayar baru itu.

5. Istanbul - Turki

istanbul 48

Walaupun kekuasaan Empayar Rom Barat berakhir kerana gelombang migrasi orang gasar pada abad ke-4 dan ke-5 Masihi, Empayar Rom Timur masih lagi bertahan sepanjang Zaman Pertengahan sehingga tahun 1453. Ibu kota bagi Empayar Rom Timur adalah Constantinople.

Ibu kota itu juga pernah dikenali sebagai Byzantium. Setelah Empayar Uthmaniyyah berjaya menakluk Constantinople pada tahun 1453, namanya ditukarkan pula kepada Istanbul.

Kekayaan dan kemegahan ibu kota ini sering disebut-sebut dalam sejarah. Banyak barang dagangan mewah dari China dan India dijual di pasaran kota ini. Kota ini adalah pengakhiran kepada Laluan Sutera.

6. Ctesiphon - Iraq

Tebing Sungai Tigris dan Euphrates telah didiami sejak awal sejarah manusia lagi. Ctesiphon adalah salah satu daripada beberapa ibu kota besar yang wujud di tebing sungai-sungai itu selain Nineveh, Samarra dan Baghdad.

ctesiphon

Gerbang Besar istana zaman Empayar Parsi di Ctesiphon

Ctesiphon yang terletak di tebing timur Sungai Tigris, kira-kira 35 km dari tenggara Baghdad itu telah menjadi ibu kota Empayar Parsi dan Empayar Sasan selama lebih dari 800 tahun.

Wujudnya Laluan Sutera telah menyebabkan banyak penyebaran agama-agama besar di dunia. Ketika puncak kegemilangannya, Ctesiphon adalah kota majmuk yang didiami oleh penganut Zoroastrian, Yahudi, Kristian Nestorian dan Maniisma.

Apabila agama Islam mula tersebar di sepanjang Laluan Sutera pada abad ke-7 Masihi, kaum Muslimin berjaya menawan kota Ctesiphon dan para bangsawan Sasan telah melarikan diri meninggalkan kota itu. Ketika itulah kaum Muslimin berjaya menamatkan penguasaan Parsi ke atas Mesopotamia.

7. Taxila - Pakistan

stupa dharmarajika di taxila

Stupa Dharmarajika di Taxila

Kota Taxila yang bermaksud "Kota Batu Berukir" ini terletak di Utara Pakistan dan merupakan penyambung benua India kepada Laluan Sutera. Pelbagai barang dagangan seperti kayu cendana, rempah-ratus dan perak melalui bandar ini.

Selain kepentingan komersialnya, Taxila juga adalah pusat pembelajaran yang terkenal. Universiti purba telah dibina di sini sejak tahun 500 SM lagi dan dianggap sebagai salah satu universiti terawal wujud dalam sejarah. Banyak empayar-empayar besar lain cuba untuk menakluk kota Taxila kerana kepentingannya yang pelbagai.

Apabila Maharaja Ashoka dari Dinasti Mauran memeluk agama Buddha, banyak biara-biara dan stupa (bangunan batu berbentuk locong) telah dibina di sini. Kota ini telah menarik ramai penganut Buddha dari seluruh Asia. Kini, salah satu sisa tinggalan Stupa Dharmajika yang besar masih lagi boleh dilihat.

8. Damsyik - Syria

masjid umayyad di damsyik

Masjid Umayyad di Damsyik

Damsyik atau Damascus adalah sebuah kota yang kaya dengan sejarah sejak ia dihuni manusia 11,000 tahun yang lalu. Kota Damsyik ini terletak di persimpangan penting dua laluan perdagangan iaitu Laluan Utara-Selatan dari Istanbul ke Mesir dan Laluan Timur-Selatan yang menghubungkan Lubnan dengan Laluan Sutera.

Sutera dari China akan melalui Damsyik sebelum tiba di pasaran Barat. Damsyik begitu sinonim dengan perdagangan sutera sehingga perkataan "Damask" dimasukkan ke dalam bahasa Inggeris yang membawa maksud sutera berat atau kain linen.

Bukan sahaja sutera, Damsyik juga terkenal dengan pelbagai dagangan lain seperti pinggan mangkuk kayu, barangan gangsa, badam dan banyak lagi. Damsyik juga terlibat dalam tanaman pokok Indigo secara besar-besaran. Bunga Indigo digunakan sebagai pewarna ungu untuk pakaian dan ia dianggap sebagai satu kemewahan.

Sebenarnya, Tanah Melayu juga merupakan sebahagian daripada Laluan Sutera melalui laluan maritim. Laluan Sutera maritim yang paling popular di Tanah Melayu adalah Melaka, Kedah dan Langkasuka (Langkawi).

Rujukan:

1. Bandar-bandar hebat di sepanjang Laluan Sutera

2. Laluan Sutera - laluan perdagangan penting masyarakat purba

3. Kota-kota utama di Laluan Sutera




Hakcipta iluminasi.com (2017)