Oleh pada 18 Nov 2019 kategori

Setiap agama besar di dunia pasti mempunyai beberapa lokasi yang dikatakan penting berdasarkan status dan catatan sejarah yang berkait dengan ajaran agama tersebut.

Sejarah berkaitan ajaran Islam yang diperturunkan melalui Nabi Muhammad saw. sekitar abad ke 6 dan ke 7 masihi turut sama mempunyai beberapa lokasi yang sangat penting, berikutan peranan yang dimainkan bandar-bandar tersebut dalam menyebarkan ajaran Islam ke serata dunia atau menjadi bukti tentang kebenaran yang cuba dipertunjukkan kepada umat manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam sejarah semasa dan selepas era Rasulullah saw., beberapa lokasi dan bandar diangkat sebagai bandar umat Islam, sama ada sebagai pusat ibadat atau pusat empayar Islam yang berjaya dibentuk. Berikut adalah 7 lokasi utama di dunia yang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam sejarah umat Islam.

1. Mekah (Arab Saudi)

kaabah mekah zaman dah

Kota suci umat Islam yang menjadi lokasi di mana Rasulullah saw. dilahirkan, dibesarkan dan dilantik sebagai Rasul. Kota ini dianggap sebagai kota paling penting dalam hidup umat Islam kerana menjadi lokasi di mana bangunan Kaabah didirikan - menjadi hala tuju kiblat ibadat solat umat Islam lima kali sehari.

Selain menjadi arah kiblat, Mekah juga merupakan lokasi utama ibadah haji bagi umat Islam yang akan datang ke situ setiap bulan Islam Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalendar Hijrah.

Malangnya pada pendapat penulis, pembangunan Mekah di bawah keluarga Saud boleh dikatakan terlalu berorientasikan pembangunan moden sehingga mengorbankan banyak binaan-binaan yang telah dibina sejak era Nabi Muhammad saw. lagi.

2. Madinah

madinah zaman dahulu

Menjadi lokasi makam Rasulullah saw. ditempatkan, Madinah merupakan kota suci kedua umat Islam serta menempatkan Masjid Nabawi, masjid yang telah dibina sejak zaman Baginda lagi - kini masjid terbesar di dunia. Selain Nabi Muhammad saw, dua sahabat Baginda iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab juga disemadikan di sini.

Madinah menjadi fokus utama peristiwa penghijrahan umat Islam semasa era Rasulullah saw., selepas umat Islam meletakkan Yathrib, nama lama Madinah sebagai lokasi baru pusat perkembangan Islam ekoran daripada ancaman yang diterima di Mekah. Dalam peristiwa itu, umat Islam secara senyap menempuh perjalanan 320 km dari Mekah ke Yathrib meninggalkan segala harta benda dan kediaman mereka memulakan hidup baru.

3. Damascus

syria damascus kota islam

Ibu negara Syria, Damascus telahpun dibuka beribu-ribu tahun lamanya dengan penemuan beberapa penempatan kecil, sebelum kedatangan orang Rom menukar wajah bandar itu - dengan banyak binaan berunsurkan pemujaan Dewa kepercayaan Pagan diterapkan. Semasa era Rasulullah saw. sendiri pada tahun ke 7H, Raja Damascus ketika itu Harith bin Abi Shamir Ghassani ditawarkan untuk menerima Islam.

Empayar Islam berjaya mengambil alih Damascus pada tahun 634, menjadi bandar besar pertama milik Empayar Byzantine jatuh kepada tentera Muslim. Di bawah kendalian Khalid al-Walid, cubaan pertama menguasai Damascus gagal pada bulan April tahun tersebut namun cubaan kedua mereka pada bulan Ogos berjaya.

Berpindahnya Damascus kepada orang Islam memulakan perpindahan masyarakat Islam dari Mekah, Madinah dan kawasan gurun berdekatan - mula berasimilasi dengan masyarakat Kristian asal di situ. Muawiyyah bin Abu Sufyan yang dilantik sebagai gabenor Damascus mula memperkembangkan Islam, menjadikan Damascus pusat permulaan baru pemerintahan Khalifah Muawiyah.

4. Baghdad, Iraq

baghdad golden age of islam

Sebelum kedatangan Islam, Baghdad yang terletak di Iraq terletak di bawah pemerintahan Empayar Parsi. Sama seperti Damascus, tentera di bawah pimpinan Khalid al-Walid berjaya menewaskan tentera Parsi seterusnya membantu menubuhkan kerajaan Islam yang baru. Bagi melindungi kedudukan tentera Islam di situ, Khalifah Umar al-Khattab mengarahkan pembukaan dua bandar baru iaitu Kufah dan Basrah - sebagai pusat perlindungan dan aktiviti

Baghdad dibuka sebagai sebuah pusat pentadbiran baru Khalifah Abbasiyah, terletak berdekatan dengan lokasi strategik Sungai Tigris dan Euphrates - membolehkan Baghdad berkembang pesat dari segi penduduk dan ekonomi, dibantu oleh bekalan sumber semulajadi yang baik.

Zaman kegemilangan Islam seringkali dikaitkan dengan bandar Baghdad, dikatakan pusat utama penyebaran ilmu, falsafah dan teknologi hasil idea masyarakat Muslim semasa era Khalifah Harun al-Rashid. Usaha itu mencapai kemuncak selepas anak beliau Abu Abbas Abdallah bin Harun mengambil alih pemerintahan, dikenali sebagai zaman emas orang Islam. Malangnya, era ini berakhir sekitar tahun 1258 selepas tentera Mongol yang diketuai Hulegu Khan berjaya menguasai bandar Baghdad.

5. Istanbul, Turki

bandar islam istanbul

Menjadi pusat pemerintahan Empayar Rom sekitar abad ke 3 dengan nama Constantinople sehinggalah abad ke 15 sebelum kedatangan tentera di bawah Khalifah Uthamaniyah berjaya mengambil alih bandar tersebut.

Dalam pertempuran selama 53 hari itu, Sultan Mehmed II yang baru berusia 21 tahun berjaya mengalahkan Maharaja Constantine XI pada 6 April 1453 - meletakkan Constantinople di bawah pemerintahan orang Islam dengan bandar tersebut menjadi pusat pemerintahan Khalifah Uthmaniyah. Kejatuhan Constantinople juga layak dikatakan detik di mana berakhirnya Empayar Rom yang sangat berkuasa satu masa dahulu.

Pada tahun 1923, selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniyah dan penubuhan negara republik Turki dilakukan - secara rasminya nama Constantinople yang dikekalkan ditukar kepada 'Istanbul'. Nama itu dipilih hasil daripada gabungan dua istilah - 'Islambol' atau bandar Islam dalam bahasa Turki dan 'eis tin Polin' daripada bahasa Greece yang bermakna 'menuju ke bandar itu.'

6. Cordoba, Sepanyol

bandar cordoba sepanyol tamadun islam andalusia

Ditubuhkan pada tahun 152BC, bandar Cordoba menjadi pusat koloni orang Rom serta ibu negeri kepada Hispania Baetica, salah satu kawasan jajahan orang Rom di semenanjung Iberia. Pada tahun 711, bandar Cordoba jatuh kepada kedatangan mengejut tentera Islam, membolehkan kawasan tersebut diletakkan di bawah pemerintahan Khalifah Umayyah - memulakan jalinan dinasti baru yang kini digelarkan sebagai Khalifah Qurtuba, sempena nama Cordoba dalam bahasa Arab.

Berikutan kewujudan bandar Constantinople, Damascus dan Baghdad yang pesat membangun, pemerintah Cordoba juga menjalankan banyak pembangunan di tempat itu - mewujudkan kerjasama antara pemerintahan di bawah Khalifah Abdul Rahman I dengan komuniti Kristian yang ada.

Zaman kegemilangan Cordoba tiba ketika era Abdul Rahman III yang berjaya menggabungkan kawasan-kawasan sekitarnya, menjadikan Cordoba pusat pemerintahan antara yang termaju di bumi. Bagaimanapun, perang saudara serta revolusi rampasan kuasa menyebabkan kekuatan pemerintahan Muslim mula renggang.

Berminat nak tahu tentang kerajaan Islam Sepanyol? Tahukah anda peristiwa tertewasnya tentera Islam yang menghalang agama Islam menguasai Eropah yang pernah berlaku dahulu?




Hakcipta iluminasi.com (2017)