Oleh pada 16 Oct 2021 kategori

Laluan Sutera atau Silk Road adalah sebuah rangkaian laluan perdagangan yang menghubungkan Timur dan Barat. Laluan perdagangan ini wujud pada kurun ke-2 SM sehingga kurun ke-18 Masihi dan ia menghubungkan banyak negara.

Laluan Sutera ini begitu penting bagi interaksi ekonomi, budaya, politik dan agama antara wilayah-wilayah yang berada padanya. Selain bertukar barangan eksotik, pengembara dan pedagang juga berkongsi pengetahuan, teknologi, perubatan dan banyak lagi.

Dunia menjadi semakin "kecil" di mana pelbagai barang dari luar negara boleh didapati disebabkan laluan ini. Berikut adalah beberapa barangan utama yang didagangkan di Laluan Sutera.

1. Sutera

sutera

Alasannya begitu jelas mengapa ia dinamakan Laluan Sutera. Sutera dihasilkan di China seawal tahun 3,000 SM lagi dan menjadi barangan yang mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia.

Antara sebab mengapa Sutera menjadi barangan paling utama ialah kerana nilainya yang tinggi, beratnya yang ringan dan produknya yang mempunyai pelbagai guna.

Golongan bangsawan Rom amat meminati sutera yang dianggap sebagai tekstil mewah. Selain itu, sutera juga dijadikan sebagai sepanduk ritual oleh penganut Buddha atau kanvas bagi lukisan.

Di beberapa kawasan di Timur China, sutera juga dijadikan sebagai mata wang. Ketika pemerintahan Dinasti Tang (618-907 Masihi), sutera dikutip sebagai salah satu bentuk cukai.

2. Kuda

kuda

Kuda mula dinijakkan dan dipelihara di kawasan padang rumput Asia Tengah sekitar tahun 3700 SM. Haiwan ini menjadi pengangkutan suku nomad yang memburu dan menyerang wilayah berhampiran China, India, Parsi dan Mediterranean.

Pertukaran sutera dan kuda adalah pertukaran yang terpenting dan paling lama di Laluan Sutera. Pedagang China menukar sutera terbaik dengan kuda baka terbaik daripada kaum Mongolia dan Tibet.

Maka tidak hairanlah jika makam Maharaja China Qin Shi Huang (259-210 SM) mengandungi arca 520 kereta kuda dan 150 kenderaan perang berkuda.

3. Kertas

kertas

Kertas dicipta di China pada abad kedua Masihi dan mula tersebar ke seluruh Asia. Pada tahun 751, kertas mula diperkenalkan dalam dunia Islam apabila Arab berperang dengan Dinasti Tang di Pertempuran Talas.

Khulafa Harun al-Rashid telah membina sebuah kilang kertas di Baghdad dan memperkenalkan pembuatan kertas ke Mesir, Afrika Utara dan Sepanyol. Kertas akhirnya sampai ke seluruh Eropah pada kurun ke-12.

Pengembara biasanya membawa kertas sebagai dokumen yang menjadi "pasport" pada waktu itu. Namun, fungsi utama kertas adalah untuk mencatat ilmu pengetahuan baharu terutamanya berkaitan agama.

Ajaran agama seperti Buddha, Islam dan Zoroaster berkembang apabila kertas menjadi lazim. Selain itu, kertas juga membantu memperkembangkan budaya dan kepelbagaian idea.

4. Rempah 

rempah

Rempah daripada Asia seperti kayu manis, lada hitam dan cengkih adalah antara barang dagangan eksotik yang mendapat pemintaan tinggi. Namun, ia tidak dibawa melalui jalan darat Laluan Sutera yang biasa.

Sebaliknya, rempah ratus kebanyakannya dibawa melalui Laluan Sutera Maritim yang menghubungkan kota-kota pelabuhan seperti di Tanah Melayu, India, Semenanjung Arab dan Eropah. 

Sepanjang Laluan Sutera, rempah bukan sahaja dihargai kerana kegunaannya dalam masakan tetapi juga untuk upacara keagamaan dan ubat-ubatan. Berbeza dengan rempah, sutera boleh dihasilkan di mana-mana sahaja asalkan ulat sutera itu dibela dengan baik.

Rempah pula hanya diperolehi daripada tumbuhan yang tumbuh di kawasan tertentu sahaja. Ini menjadikannya lebih mahal di sebahagian tempat yang sukar memperolehinya.

5. Jed

jed

Beribu tahun sebelum wujudnya Laluan Sutera, China telahpun berdagang dengan negara-negara lain melalui jalan yang dikenali sebagai Laluan Jed.

Batu mineral yang biasanya berwarna hijau ini merupakan hasil bumi yang penting dalam budaya China. Apabila bekalan jed semakin berkurangan di China, mereka mula mengukuhkan hubungan perdagangan dengan Kerajaan Khotan (Iran) pada hari ini.

Kerajaan Khotan dipenuhi dengan mineral jed nephrite dan antara yang terbaik untuk menghasilkan ukiran atau barang kemas. Jika sutera tidak mendominasi laluan perdagangan ini, sudah tentu namanya akan kekal sebagai Laluan Jed atau Jade Road.

6. Barangan kaca

barangan kaca rom

Ramai yang menyangka bahawa kebanyakan barang dagangan eksotik Laluan Sutera berasal daripada Timur dan dibawa ke Barat seperti Mediterranean dan Eropah. Sebenarnya, perdagangan di Laluan Sutera berlaku dari semua arah.

Hasil kajian ahli arkeologi di tapak pengebumian purba di China, Korea, Thailand dan Filipina mendapati bahawa barangan kaca daripada Rom adalah barangan eksotik bagi golongan elit di Asia.

Barangan kaca yang banyak dihasilkan di Rom tersebar di seluruh dunia kerana mereka menukarnya dengan sutera. Sutera adalah barang dagangan yang mendapat permintaan tinggi di Rom.

7. Bulu haiwan

bulu haiwan

Kawasan hutan besar di Siberia sehingga Kanada menarik ramai pedagang dan pengembara untuk memburu haiwan semasa berehat atau melintasi kawasan itu.

Mereka memburu pelbagai haiwan seperti musang, memerang, beruang dan banyak lagi. Haiwan-haiwan ini diburu kerana daging, kulit dan bulunya. Bahagian utara Laluan Sutera ini juga dikenali sebagai "Laluan Bulu Haiwan" kerana banyak bulu haiwan yang didagangkan.

Malah, Genghis Khan juga pernah menjalinkan hubungan baik dengan wilayah ini setelah menerima hadiah bulu haiwan yang berkualiti. Maharaja China dari Dinasti Qing pada kurun ke-17 juga sering membeli bulu haiwan daripada pemburu Siberia.

8. Hamba

silk road

Selain barangan, Laluan Sutera ini juga menjadi laluan dagangan hamba abdi. Tentera yang ditawan akan dijual kepada pedagang yang akan mencari pembeli hamba di bandar-bandar utama atau pelabuhan. Hamba-hamba ini biasanya dijadikan kuli, penghibur atau sida-sida di istana.

Walaupun dagangan hamba ini menjadi perkara biasa terutamanya di sepanjang Laluan Sutera di Eurasia, tiada kerajaan atau tamadun yang menganggapnya keterlaluan berbanding perdagangan hamba abdi Afrika yang berlaku ketika New World.

Hamba pada waktu itu dilihat sebagai sebahagian daripada serpihan dalam perniagaan di Laluan Sutera dan bukannya penyumbang besar dalam ekonomi.

Rujukan:

1. Barangan Laluan Sutera

2. Sejarah Silk Road

3. Silk Road - Bukan sekadar laluan dagangan



Hakcipta iluminasi.com (2017)