sindrom hidung putih kelawar

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa kita manusia bukanlah satu-satunya makhluk yang terpaksa berhadapan dengan wabak penyakit atau epidemik.

Wabak penyakit juga boleh membunuh beribu-ribu haiwan dengan begitu cepat dan menyerang dengan lebih dahsyat terutamanya jika haiwan itu jarang ditemui atau terancam.

Sejak beberapa dekad yang lalu, banyak penyakit haiwan baharu telah muncul dan penyakit yang lebih lama wujud telah merebak ke kawasan baru.

Penyakit-penyakit juga dipindahkan antara manusia, ternakan dan haiwan liar.

Kehilangan habitat masih kekal sebagai ancaman terbesar terhadap hidupan liar, yang biasanya dicetuskan oleh manusia.

Namun, penyakit juga boleh mengancam populasi hidupan liar dengan penurunan dan kepupusan yang dahsyat.

iluminasi.com kongsikan 6 wabak penyakit yang paling banyak membunuh haiwan liar. 

1. Ebola

virus ebola 125

Kita beranggapan bahawa Ebola adalah penyakit manusia dan dengan sebab yang munasabah. Wabak tahun 2014 membunuh kira-kira 10,000 nyawa manusia.

Namun, ia juga menyingkirkan populasi saudara terdekat kita.

Pada awal tahun 1990-an, penyakit ini memusnahkan sekumpulan cimpanzi yang tinggal di Taman Negara Taï di Côte d'Ivoire.

Dekad berikutnya, wabak berulang di Republik Congo telah memberikan kesan dahsyat kepada populasi gorila.

Ebola membunuh kira-kira 5,000 gorila barat yang terancam antara tahun 2002 dan 2003 di Lossi Sanctuary, dan kemudian menghapuskan beratus-ratus gorila di Taman Negara Odzala-Kokoua pada tahun 2003 dan 2004.

gorila mati disebabkan ebola

Virus ebola menyerang kedua-dua spesies dengan teruk. Ia membunuh kira-kira 95% daripada haiwan yang dijangkiti, dengan menyebabkan demam yang teruk dan pendarahan.

Kesan Ebola boleh menjadi sangat dahsyat apabila digabungkan dengan ancaman lain seperti memburu dan penebangan hutan.

Pemburuan telah mengurangkan jumlah populasi sehinggakan penyakit ini boleh menyebabkan kepupusan, kata Julia PG Jones dari Bangor University di UK.

Vaksin terhadap Ebola mungkin satu cara jalan keluar dari masalah ini.

Menjelang tahun 2014, para penyelidik telah menguji vaksin terhadap sekumpulan cimpanzi tawanan yang terbukti selamat dan berkesan.

2. Chytridiomycosis

chytridiomycosis membunuh amfibia katak

Sejenis kulat maut dipanggil "chytrid" telah membinasakan banyak katak dan salamander.

Sepanjang 30 tahun yang lalu, ia telah menyebabkan lebih daripada 200 spesies amfibia berkurangan dengan begitu pesat dan dalam sesetengah kes, mampu menyebabkan kepupusan.

Sebagai contoh, gelombang jangkitan chytrid di El Copé, Panama pada awal tahun 2000 menghapuskan 30 spesies amfibia. Lima daripada spesis itu belum pernah dilihat sebelum ini.

katak mati akibat chytridiomycosis

Kulat tersebut yang dipanggil Batrachochytrium dendrobatidis, ditemui di setiap benua kecuali Antartika.

Ia menjangkiti dan merosakkan lapisan luar kulit katak.

Memandangkan katak dan salamanders menggunakan kulit untuk menyerap nutrien dan air, jangkitan itu membuatkan haiwan-haiwan ini mati lemas.

3. West Nile encephalitis

west nile encephalitis

Pada tahun 1999, New York City menjadi pusat penyakit wabak baru.

Orang ramai dimasukkan ke hospital dengan ensefalitis, di mana otak mereka mengalami keradangan.

Sekitar masa yang sama, beberapa burung gagak di bandar itu dan burung lain di Zoo Bronx, diketahui mati.

Dalam semua kes, penyebabnya adalah virus West Nile, yang pada masa itu kebanyakannya ditemui di Afrika dan Asia.

Disebarkan oleh nyamuk, virus itu kemudiannya menjangkiti dan membunuh berjuta-juta burung di seluruh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

west nile encephalitis 3

Virus ini telah dikesan dalam 48 spesies nyamuk dan 250 spesies burung, dan kadang-kala dikesan dalam manusia dan kuda.

Di beberapa kawasan, ensefalitis West Nile telah mengurangkan bilangan burung gagak Amerika sebanyak kira-kira 45%.

Ia juga telah menyebabkan penurunan besar dalam spesies burung lain seperti robin Amerika, burung bluebird timur, titmouses dan chickadees.

Tetapi virus West Nile dikatakan tidak mungkin dapat mengancam spesies-spesis ini hingga pupus.

4. Sindrom hidung-putih 

sindrom hidung putih membunuh kelawar

Pada tahun 2006, seorang peneroka gua telah mengambil gambar kelawar di sebuah gua berhampiran Albany, New York.

Kelawar itu mempunyai kulat putih di sekitar hidungnya dan ia adalah bukti pertama bahawa penyakit dahsyat telah melanda kelawar Amerika Utara. Dikenali sebagai sindrom hidung putih, penyakit ini telah tersebar luas di AS dan Kanada.

Hampir 6 juta kelawar telah terbunuh dan beberapa spesies seperti kelawar telinga panjang utara, telah menurun sebanyak 99% di timur laut.

Sindrom ini telah mengubah populasi kelawar Amerika Utara dengan begitu dramatik. 

sindrom hidung putih

Kulat yang dahsyat ini dipanggil sebagai  Pseudogymnoascus destructans. Ia menjadikan kelawar yang sedang berhibernasi berkelakuan tidak menentu.

Daripada berhibernasi semasa musim sejuk, kelawar tersebut terbang jauh dengan cara berbahaya dari gua, walaupun di siang hari.

Akibatnya, kelawar ini kehilangan lemak simpanannya dengan cepat dan mati akibat kelaparan. 

Kulat ini mungkin berasal dari Eropah, di mana ia tidak memberikan kesan kepada kelawar-kelawar yang dijangkitinya.

5. Anthrax

anthrax 187

Anthrax paling terkenal melalui penggunaannya sebagai senjata bioterorisme. Tetapi penyakit ini adalah penyakit yang menjadi musuh hidupan liar purba.

Herbivor adalah yang paling teruk terjejas akibatnya , tetapi anthrax boleh menyebabkan wabak terhadap mamalia lain, termasuk beberapa karnivor, kera besar dan manusia.

Anthrax boleh memberikan akibat yang berlainan berdasarkan spesies dan ekosistem.

Menurut pakar ekologi Wendy Turner dari University of Oslo di Norway, penyakit ini dianggap sebagai sebahagian daripada ekosistem semulajadi di tempat-tempat seperti Taman Negara Etosha di Namibia dan tidak diuruskan sejak awal 1980-an.

anthrax membunuh haiwan

Kadang kala, wabak antraks mampu membunuh.

Sebagai contoh, wabak pada tahun 2004 di Rizab Hidupan Liar Malilangwe Zimbabwe membunuh lebih daripada 90% populasi herbivora liar.

Pada tahun 2010, wabak yang sama membunuh lebih daripada 80 badak air di Uganda.

6. Chlamydia

chlamydia 701

Koala di Australia menderita penyakit seksual, dikenali sebagai chlamydia atau klamidia, yang juga menjangkiti manusia.

Penyakit ini boleh menyebabkan koala menjadi tidak subur atau mengalami jangkitan kencing dan pernafasan, sekaligus membuatkan haiwan ini buta dan mati.

Digabungkan dengan kemarau, klamidia telah mengurangkan populasi koala di beberapa kawasan di Australia daripada 60,000 ekor pada pertengahan tahun 1990-an kepada 10,000 ekor pada tahun 2012.

Kawasan yang paling teruk terjejas adalah Queensland dan New South Wales.

Untuk mengesan jangkitan pada masa itu, sesetengah doktor haiwan telah mengimbas koala menggunakan mesin ultrasound, dan bukannya dengan cara biasa.

chlamydia menjangkiti koala

Para saintis juga telah memulakan penyusunan gen koala dalam kedudukan tertentu, termasuk spesis yang memainkan peranan penting dalam sistem ketahanan haiwan untuk membantu mengetahui bagaimana penyakit itu mempengaruhi koala.

Situasi ini menjadi semakin buruk disebabkan oleh penyakit kedua, sejenis retrovirus koala yang serupa dengan HIV.

Ia menindas sistem imun haiwan ini dan menjadikan koala lebih mudah terdedah kepada klamidia.

Kedua-dua penyakit ini, bersama-sama dengan pemusnahan habitat dan ancaman dari binatang lain telah mendorong koala ke arah kepupusan.

Tetapi vaksin yang telah berjaya diuji memberikan sedikit harapan kepada populasi spesis ini.

Rujukan:

1. Penyakit Haiwan Yang Mengancam Spesis - BBC

2. Koala Dijangkiti Klamidia - Nat Geo

3. Anthrax - Penyakit Herbivor - Healio



Hakcipta iluminasi.com (2017)