Corak hujan adalah sangat berbeza di seluruh dunia dan ia bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya ialah topografi (rupa bentuk muka bumi) tanah, jarak dengan kawasan berair, garisan lintang (latitud), suhu, corak angin dan lain-lain lagi.

wettest place on earth

Semua faktor yang disebut di atas bertindak mempengaruhi jumlah hujan di sesuatu tempat. Sebagai perbandingan, Taiping adalah kawasan paling banyak menerima hujan di Malaysia dengan kira-kira 100 hingga 200 inci purata hujan setiap tahun. Kini, kami kongsikan pula bersama anda beberapa tempat yang paling banyak menerima hujan di dunia.

7. Big Bog - Maui, Hawaii 

big bog maui hawaii 172

Big Bog di Pulau Maui adalah rawa (seperti paya) altitud tinggi yang terbesar di Hawaii. Big Bog yang berada pada ketinggian 1,600 meter di atas paras laut ini terletak di sempadan antara Hutan Simpan Hana dan Taman Negara Haleakala.

Kedudukannya yang begitu dengat dengan lapisan angin pasat membuatkan Big Bog menjadi kawasan laluan tiupan udara lembab dari timur laut ke lereng gunung yang curam.

University of Hawaii melaporkan bahawa, Big Bog merupakan tempat paling lembap di Pulau Hawaii dengan purata hujan sebanyak 10,272 mm (404 inci) setahun untuk tempoh dari 1992 sehingga 2018. (sumber)

6. Debundscha - Cameroon

tasik kawah di debundscha 711

Debundscha adalah sebuah kampung di wilayah barat daya Cameroon. Ia terletak di kaki Gunung Cameroon dan menghadap ke selatan lautan Atlantik di pantai Cameroon. Debundscha mempunyai iklim yang sangat lembap dengan kira-kira 10,299 mm (405.5 inci) purata hujan setiap tahun.

Terletak dekat dengan garisan khatulistiwa yang sentiasa panas dan lembab, Debundscha mempunyai musim hujan yang panjang dan musim panas yang pendek dalam setahun.

Selain itu, Gunung Cameroon yang setinggi 4,095 meter di belakangnya telah menghalang awan untuk bergerak melepasi kawasan ini dan menyebabkan Debundscha dilimpahi hujan hampir sepanjang tahun. (sumber)

5. San Antonio de Ureca - Pulau Bioko, Equatorial Guinea

san antonio de ureca

San Antonio de Ureca adalah sebuah kampung yang terletak di selatan Malabo di Bioko Sur, Equatorial Guinea. Tempat yang juga dikenali sebagai Ureka atau Ureca ini adalah kawasan paling banyak menerima hujan di Afrika.

Musim panas di Ureca adalah antara bulan Nobember sehingga Mac. Selebihnya, tempat ini dipenuhi dengan hujan lebat. Ureca sentiasa lembap ini menerima kira-kira 10,450 mm (418 inci) hujan secara purata setiap tahun. (sumber)

4. Sungai Cropp - New Zealand

sungai cropp

Sungai Cropp adalah sungai yang mengalir sejauh 9 km sebelum bertemu dengan Sungai Whitcombe di New Zealand. Wilayah Sungai Cropp ini merupakan kawasan paling lembab di New Zealand dengan purata hujan sebanyak 11,516 mm (453 inci) setahun. 

Pada 12 dan 13 Disember 1995, Sungai Cropp telah mencatatkan hujan sebanyak 1,049 mm (41.3 inci) dalam hanya tempoh dua hari sahaja. Rekod itu kemudian dipecahkan pada 25 dan 26 Mac 2019 dengan hujan sebanyak 1,086 (42.8). 

Ia merupakan hujan paling banyak turun yang pernah direkodkan di New Zealand dalam masa 48 jam dan merupakan tempat keempat paling lembap di dunia. Kadar hujan paling tinggi yang pernah direkodkan di sungai ini ialah sebanyak 18,000 mm (708 inci) setahun. (sumber)

3. Tutunendo - Colombia

tutunendo

Tutunendo adalah salah satu kawasan perbandaran di Colombia. Kawasan yang mempunyai populasi kurang daripada 1000 orang ini merupakan tempat ketiga paling lembap di dunia dengan hujan lebat sepanjang tahun. Ini kerana pembentukan awan yang berterusan telah mempengaruhi iklim di tempat ini.

Musim luruh adalah waktu paling banyak hujan turun di Tutunendo. Semasa musim kering seperti Februari dan Mac, hujan masih turun di sini sekitar 20 hari dalam sebulan.

Sepanjang tahun, langit di Tutunendo kekal mendung dengan hanya tiga hingga empat jam sahaja cahaya matahari dalam sehari. Tempat ini menerima purata hujan sebanyak 11,770 mm (463 inci) dalam setahun. (sumber)

2. Cherrapunjee - India

cherrapuranjee

Cherrapunjee yang juga dikenali sebagai Sohra ini terletak 15 kilometer dari Mawsynram, Meghalaya, utara India. Bandar altitud tinggi ini terletak 1,484 meter di atas paras laut di Bukit Khasi dan menerima hujan melalui angin monsun yang bertiup dari Teluk Bengal.

Cherrapunjee menerima purata hujan sebanyak 11,777 mm (463.5 inci) dalam setahun. Semasa musim panas, suhu di sini boleh naik sehingga 23 darjah selsius manakala pada musim sejuk pula suhu boleh menurun serendah 7 darjah selsius. (sumber)

1. Mawsynram - India

kampung mawsynram

Mawsynram yang terletak di negeri Meghalaya, India, ini adalah tempat paling banyak menerima hujan di dunia. Terletak tidak jauh dari Cherrapunjee, tempat ini menerima purata hujan sebanyak 11,871 mm (467 inci) hujan setiap tahun.

Sama seperti Cherrapunjee, kawasan pergunungan di sekeliling telah memaksa angin monsun yang datang dari utara Teluk Bengal melalui kawasan ini. Bukit Khasi di mana terletaknya Mawsynram berada betul-betul di laluan angin ini.

penduduk mawsynram

Angin yang bertiup di rantau ini sentiasa menyejukkan kepulan wap di langit dan membawa awan yang membentuk hujan. Jatuhan hujan yang tinggi di kawasan ini menjadikan rantau ini mempunyai banyak sungai dan air terjun.

Penduduk di sini sudah biasa dengan cuaca lembap dan tidak pernah meninggalkan rumah tanpa membawa payung. Bulan Disember dan Januari adalah bulan paling kering di Mawsynram tetapi hujan tetap turun sekitar 60 mm. (sumber)



Hakcipta iluminasi.com (2017)