Seorang pelajar graduan New York University, Dejian Zeng, telah mendedahkan kisah hitam di sebalik penghasilan produk Apple apabila dia menyamar sebagai pekerja di salah sebuah kilang pemasangan iPhone di China.

Dejian Zeng

Dia bekerja di kilang itu bukanlah untuk mendapatkan gaji yang setara dengan nilai RM 523 seminggu tetapi dia ingin merasakan sendiri bagaimana rasanya untuk bekerja di kilang yang sering menjadi kontroversi itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

dejian zeng 2 951

Dalam satu wawancara, Zeng telah mendedahkan secara terperinci bagaimana keadaannya bekerja di kilang dan tinggal di asrama Pegatron (syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan produk Apple). Dia menerangkan beberapa butiran bagaimana bekerja di situ boleh membuatkan anda hilang kewarasan. Berikut adalah beberapa maklumat yang didedahkannya.

1. Makanan yang teruk

makanan yang teruk

Ketika bekerja selama 12 jam sehari, Zeng diberikan 10 minit rehat setiap dua jam, 50 minit rehat untuk makan tengah hari dan 30 minit rehat untuk makan malam. Namun, makanan di situ bukanlah percuma seperti yang disediakan Silicon Valley (pusat teknologi di Amerika) untuk pekerjanya.

Zeng memberitahu Business Insider, dia tidak pernah mendapat ayam bahagian dada atau paha. Selalunya leher ayam atau bahagian-bahagian yang tidak diketahuinya. Walaupun ia bukanlah lauk pilihan tetapi disebabkan lapar, mereka tiada pilihan lain. Zeng berkata lagi, pekerja di situ dicaj antara RM 3 hingga 5 untuk "daging misteri" itu.

2. Kawalan keselamatan yang melampau

kawalan keselamatan pegatron

Semua orang tahu bahawa Apple menjaga rahsianya dengan begitu ketat. Perkara yang sama juga berlaku di kilang penghasilan produk mereka. Apabila sesuatu produk baru akan dilancarkan, kawalan akan menjadi lebih ketat berbanding biasa.

Zeng yang ketika itu bekerja semasa iPhone 7 akan dilancarkan, pihak kawalan keselamatan telah meningkatkan sensitiviti pengesan logam. Pada waktu itu, Zeng berkata ramai pekerja wanita yang tidak melepasi pemeriksaan kerana terdapat logam dalam baju dalam mereka.

Zeng juga memberitahu, para pekerja bukan sahaja perlu melepasi satu atau dua pemeriksaan keselamatan malah lebih daripada itu. Mereka perlu mengimbas kad pekerja, melalui pengesan logam, imbasan muka dan banyak lagi.

3. Asrama terlalu sesak

asrama pekerja kilang iphone

Kilang pembuatan iPhone tempat Zeng bekerja bukanlah satu-satunya tempat yang tidak selesa baginya. Asrama tempat tinggal pekerja terletak kira-kira 10 minit perjalanan dengan menaiki bas yang disediakan syarikat.

Asrama tempat pekerja tinggal juga tidak selesa kerana begitu sesak. Satu bilik kecil menempatkan sehingga lapan orang pekerja yang berusia antara 18 hingga 28 tahun. Kebanyakan pekerja berasal dari kawasan pendalaman dan tidak mempunyai pendidikan, manakala sebahagian lagi pula memiliki ijazah.

4. Kerja yang berulang dan membosankan

pekerja kilang iphone

Semasa enam minggu menyamar sebagai pekerja di kilang pemasangan iPhone, Zeng menghabiskan sebahagian besar masanya hanya dengan memasang skru. Dia memasang skru pembesar suara pada sarung belakang iPhone.

Mengikut anggarannya, dia memasang sehingga 1,800 skru dalam sehari. Pada mulanya, Zeng agak sukar untuk mengikut rentak kerjanya yang laju. Akan tetapi, setelah dia menjadi biasa, kerjanya jadi sangat membosankan.

Zeng begitu mahir dengan kerjanya sehingga dia boleh memasang skru dengan menutup mata. Selepas menjadi mahir, dia mempunyai banyak lebihan masa terluang yang membuatkannya menjadi begitu bosan.

5. Kerja lebih masa seakan-akan wajib

pekerja kilang iphone 2

Bekerja lebih masa atau overtime bermakna anda akan memperolehi lebih banyak wang. Akan tetapi, Zeng memberitahu bahawa kerja lebih masa di kilang iPhone pada asasnya bukanlah secara sukarela.

Tidak begitu mudah untuk pulang setelah habis waktu bekerja. Ada kalanya Zeng berasa penat dan ingin meminta untuk pulang tetapi penyelia akan menyuruhnya menyambung kerja lebih masa jika tiada siapa yang menggantikan kerjanya pada waktu seterusnya.

6. Wi-Fi sukar diperolehi dan mahal

asrama pekerja kilang iphone 2

Asrama pekerja kilang iPhone

Ketika bekerja di kilang Pegatron, anda tidak dibenarkan untuk mendengar muzik atau menggunakan telefon. Setelah habis waktu bekerja yang memenatkan, pasti anda ingin berehat sambil memegang telefon pintar bukan? Namun, ia tidaklah semudah yang disangkakan.

Zeng memberitahu, asrama Pegatron ada menyediakan kemudahan Wi-Fi. Akan tetapi, untuk mengakses Wi-Fi itu, anda perlu melakukan sesuatu terlebih dahulu. Anda perlu memuat turun aplikasi untuk Wi-Fi, klik pada ulasan atau iklan bagi membolehkan anda mendapatkan beberapa duit syiling maya (virtual coin).

20 syiling diperlukan untuk 24 jam penggunaan Wi-Fi. Sebelum itu, anda perlu memuat turun aplikasi yang bernilai kira-kira 20 hingga 30 syiling maya. RM 3 dikenakan untuk membeli 100 syiling maya dan ia merupakan perniagaan yang menguntungkan untuk pihak asrama.

7. Latihan anda akan dinilai

pekerja kilang iphone 3

Para pekerja kilang Pegatron perlu melalui beberapa latihan seperti menterjemahkan istilah Cina ke dalam bahasa Inggeris. Bahkan, beberapa latihan lain juga diajar seperti membina hubungan peribadi dan bagaimana menguruskan kewangan anda.

Zeng mengesyaki Apple yang mengarahkan kursus seperti itu dijalankan. Walaupun ia hanyalah latihan tetapi tetap dinilai. Para peserta kemudian perlu mengisi borang penilaian tentang latihan yang dijalankan dalam skala 1 hingga 5 di mana 1 adalah paling teruk manakala 5 adalah terbaik.

Walaupun markah latihan itu sepatutnya diisi mengikut apa yang peserta rasa tetapi mereka dinasihati agar meletakkan markah 4 atau 5.

Rujukan:

1. Bagaimana layanan yang diberikan kepada pekerja kilang Apple

2. Bagaimana bekerja di kilang Apple membuatkan anda gila

3. Keadaan kerja yang teruk di kilang iPhone




Hakcipta iluminasi.com (2017)