harga minyak amerika syarikat negatif

Seluruh dunia terkejut apabila harga minyak Amerika Syarikat telah menjadi negatif untuk kali pertama dalam sejarah pada 20 April 2020, di tengah-tengah penurunan permintaan yang paling dahsyat dalam tempoh 25 tahun.

Kebanjiran minyak yang tidak diperlukan di pasaran membuatkan West Texas Intermediate (WTI), penanda aras harga minyak bagi AS, telah menjunam hampir - $40 setong selepas kejatuhan terpantas dalam sejarah.

Ini sekaligus bermakna pengeluar membayar kepada pembeli untuk mengambil alih minyak dari pegangan mereka. iluminasi.com kongsikan 6 persoalan yang mungkin bermain di minda anda mengenai perkara ini.

1. Mengapa harga minyak AS menjadi negatif?

bekalan minyak yang berlebihan

Harga minyak telah menurun dengan secara berterusan di pasaran global sejak novel coronavirus mula-mula meletus di China pada akhir tahun 2019.

Sejak itu, penutupan aktiviti ekonomi secara besar-besaran dan laluan perjalanan untuk mengekang penyebaran virus telah menghapuskan permintaan minyak kerana pengangkutan tidak digunakan malah telah terhenti.

Namun, pengeluar minyak terus menjalankan aktiviti mengepam minyak dari telaga mereka, menyebabkan ketidakseimbangan yang tersangat tinggi antara pembekalan minyak yang berlebihan dan penurunan permintaan terbesar selama 25 tahun.

2. Apa yang dimaksudkan dengan "harga negatif"?

harga minyak negatif

Secara ringkas, pengeluar minyak membayar kepada pembeli untuk mengambil alih stok minyak kerana kemudahan penyimpanan mereka telah tersangat penuh.

Pada tahap pasaran paling teruk, sebuah syarikat minyak mungkin telah membayar sekitar $ 40 untuk setiap tong minyak jika seseorang sanggup atau mahu mengambilnya.

Pembeli perlu mengambil kira kos pengangkutan minyak dari telaga ke pelabuhan perkapalan, atau kemudahan penyimpanan, di mana ia mungkin perlu ditahan hingga enam bulan, yang akan menelan belanja yang agak besar.

Mereka juga perlu berharap bahawa harga minyak akan naik semula pada akhir tahun ini untuk mendapatkan pulangan dari "pelaburan" berisiko ini.

Tidak ada syarikat minyak yang ingin "menjual" minyak mentah mereka dengan mengal;ami kerugian, maka banyak pengeluar cenderung untuk menutup telaga mereka sehingga pasaran pulih.

3. Mengapa harga minyak di negara-negara lain masih di atas paras sifar?

harga minyak jadi negatif

Lebihan minyak di dunia sangat ketara di AS, di mana mereka menghasilkan sekitar 10 juta tong minyak setiap hari.

Ini membuatkan tangki simpanan minyak menjadi tersangat penuh dan menyebabkan syarikat minyak terdesak untuk menjual lebihan tong mereka.

Di wilayah lain, termasuk UK, harga minyak sebahagiannya masih di atas paras sifar kerana mereka berhadapan kos pengangkutan yang lebih rendah dan akses yang lebih mudah ke pelabuhan.

Namun, tidak ada pasaran minyak di dunia yang tidak terkesan dengan krisis ini.

Penanda aras harga minyak antarabangsa yang dikenali sebagai minyak mentah Brent, kini masih berada lebih dari $20 setong, namun telah merudum sekitar dua pertiga sejak Januari, menjadi yang terendah dalam tempoh 18 tahun.

4. Apa kesannya kepada harga petrol? 

harga minyak negatif tapi pengguna tetap perlu bayar 2 2

Harga petrol kemungkinan akan turun dengan mendadak tahun ini kerana kejatuhan harga minyak secara tiba-tiba dan ia mungkin akan mengambil masa yang agak lama untuk pulih semula.

Tetapi perlu diingat bahawa harga yang anda bayar untuk mengisi minyak di stesen minyak bukanlah sesuatu yang tepat bagi menggambarkan pasaran minyak kerana harga petrol dan diesel adalah termasuk dengan cukai pemerintah dan margin keuntungan bagi penjual.

Harga minyak negatif yang berlaku di AS tidak akan kekal lama, dan ini tidak bermakna anda akan dibayar oleh pengusahan stesen minyak untuk mengisi minyak.

Anda tetap perlu membayar.

5. Adakah harga minyak akan pulih semula?

adakah harga minyak as akan pulih

Ya, dan mungkin akan berlaku dengan agak pantas.

Harga minyak AS yang negatif merujuk khas kepada harga minyak mentah pada bulan Mei, bulan di mana permintaan minyak dijangkakan menjadi yang terendah dan bekalan dijangkakan yang tertinggi.

Dari 21 April, peniaga minyak akan mula berusaha bersungguh-sungguh untuk menjual tong bagi penghantaran pada bulan Jun, dan ini dijangkakan akan mendapat harga yang jauh lebih tinggi.

Pemulihan harga pasaran minyak akan bergantung kepada seberapa cepat permintaan untuk bahan bakar pengangkutan ini meningkat.

Malah, tindakan negara-negara yang bakal menghentikan sekatan perjalanan dan perintah berkurung juga akan mempercepatkan pemulihan harga pasaran.

Namun, kesan daripada krisis COVID-19 ini mungkin akan memanjangkan derita kewangan bagi pengeluar minyak sehingga tahun 2021.

Rujukan:

1. Harga Minyak AS Jatuh Bawah $0

2. Bagaimana Harga Minyak Menjadi Negatif

3. Permintaan Rendah Harga Minyak AS Jatuh Negatif



Hakcipta iluminasi.com (2017)