8 kerja dengan gaji paling tak setimpal

Jika ditanyakan, adakah anda rasa pekerjaan anda dibayar dengan gaji yang tidak setimpal? Besar kemungkinan ramai di antara kita akan menjawab ya, lebih-lebih lagi pekerjaan yang memerlukan anda bekerja lebih masa dan pada waktu yang tak menentu. 

Walaupun begitu, tak semua berasakan seperti ini, jika ada pun, kadang-kadang sahaja. Namun hakikatnya, ramai di luar sana yang benar-benar dibayar dengan gaji yang rendah walaupun melakukan kerja yang berat dan dengan itu iluminasi.com ingin kongsikan 8 pekerjaan yang dibayar dengan gaji yang rendah dan tidak setimpal.

1. Pekerja binaan

pekerjaa binaan 7 kerja dengan gaji paling tak setimpal

Gaji bermula dari: RM1,200

Sebagai pekerja pembinaan, anda bukan sahaja berhadapan dengan kerja-kerja berat, tetapi juga risiko kematian yang sangat tinggi berbanding pekerjaan lain. Tak cukup dengan itu, pekerja pembinaan harus bekerja tidak tentu masa sehinggakan ada yang bekerja pada lewat malam.

Kerja yang memerlukan tenaga yang banyak ini seringkali dipandang sebelah mata kerana rata-rata mereka ini tidak mempunyai kelayakan pendidikan yang tinggi. Namun bagi yang pernah merasakan bekerja sebagai pekerja binaan, pasti tahu perit maung yang dilalui setiap hari.

Ditambah pula dengan cuaca di negara kita yang semakin panas, hanya mereka yang benar-benar kuat dan tabah sahaja mampu melakukan kerja seperti ini, yang mana kini dipelopori oleh warga asing, bukti bahawa ia bukanlah satu kerja mudah yang mampu dilakukan oleh warga tempatan, memandangkan gajinya yang sangat tidak setimpal.

2. Pelayan restoran / kedai makan

pelayan restoran 7 kerja dengan gaji paling tak setimpal

Gambar: Sayang Sabah

Gaji bermula dari: RM1,100

Bagi yang pernah bekerja sebagai pembantu dapur atau pelayan di restoran, pasti anda tahu bagaimana teruk dan tertekannya pekerjaan ini. Malah, ramai di antara kita yang tak menghargai kerja keras yang dilakukan oleh pelayan yang menghantar makanan sehingga ke atas meja kita.

Ia sememangnya kerja yang sangat meletihkan dan tertekan, di samping bekerja tak henti sepanjang syif yang panjang. Mereka yang bekerja sebagai pembantu seperti ini biasanya tidak mendapat rehat yang cukup dan seringkali terpaksa berhadapan dengan pelanggan-pelanggan yang biadab terutamanya jika makanan lambat sampai atau tak memuaskan hati.

Walaupun sesetengah di antara mereka menerima gaji pokok bersama-sama elaun kerja lebih masa atau elaun syif, namun ada juga yang menerima gaji mengikut jam yang apabila dihitung, adalah lebih rendah daripada mereka yang mendapat gaji tetap.

Situasi ini juga berlaku di restoran makanan segera. Walaupun terdapat banyak rangkaian restoran makanan segera menawarkan banyak kelebihan kepada kakitangan mereka, namun masih ramai yang menderita daripada tekanan kerja, termasuklah gaji rendah dan kerahan tenaga.

Jadi, sebelum anda rasa nak marah atau memaki pelayan restoran disebabkan makanan anda lambat sampai, adalah lebih baik anda fikir dua kali. Siapa tahu sudah berapa jam mereka berhempas pulas melayan pelanggan-pelanggan lain, kan?

Purati gaji sebanyak $2,083 atau RM6,191 sebulan dibayar kepada pekerja restoran makanan segera di Australia.

3. Pegawai Khidmat Pelanggan

pegawai khidmat pelanggan 7 kerja dengan gaji paling tak setimpal

Gaji bermula dari: RM1,500

Pastinya ramai yang bersetuju dengan kenyataan bahawa meskipun bekerja dengan jumlah masa yang panjang, pegawai khidmat pelanggan adalah antara pekerjaan dengan gaji yang terendah di Malaysia.

Itu belum diambil kira dengan aduan, runguntan dan caci-maki yang diterima mereka daripada pelanggan-pelanggan, terhadap masalah-masalah yang dihadapi.

Perkara ini berlaku terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai sijil di peringkat diploma ataupun ijazah sarjana muda, walaupun mereka melakuka kerja yang sama banyak seperti mana mereka yang mempunyai kelayakan.

Ramai yang mengatakan dan menanggap kerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan adalah kerja mudah, namun orang ramai tak tahu jumlah tekanan yang perlu dihadapi oleh mereka setiap hari.

4. Pembantu tadbir

pembantu pentadbiran 7 kerja dengan gaji paling tak setimpal

Gaji bermula dari: RM1,200

Tak kiralah di mana terletaknya sesebuah pejabat itu, namun pembantu pentadbiran sering dibebani dengan begitu banyak tugasan setiap hari. Mereka biasanya adalah orang yang terawal datang ke pejabat dan pulang lewat untuk menutup pejabat (jika perlu).

Walaupun pembantu tadbir merupakan individu yang menyediakan pelbagai sokongan dan bantuan pentadbira kepada syarikat, namun mereka ini sering tidak dihargai oleh rakan sekerja yang lain.

Tugas seharian mereka sangat memerlukan butiran-butiran terperinci, seperti menyediakan pelbagai kertas kerja, memfailkan dokumen penting dan mengawasi keperlua pejabat dan bekalan untuk berpuluh malah beratus-ratus kakitangan syarikat yang lain.

5. Pembantu pusat asuhan

pembantu pusat asuhan 7 kerja dengan gaji paling tak setimpal

Gaji bermula dari: RM900

Kebanyakan para ibu bapa, lebih-lebih lagi jika kedua-duanya bekerja, akan menghantar anak-anak kecil mereka ke pusat asuhan kanak-kanak dengan jangkaan dan harapan anak-anak mereka dijaga dan diasuh dengan baik.

Bergantung kepada kawasan, sesetengah pusat asuhan mengenakan bayaran bulanan yang sangat tinggi bagi setiap seorang kanak-kanak, namun tak ramai yang tahu bahawa pembantu-pembantu yang mengasuh dan mengawasi kanak-kanak ini, kebanyakannya dibayar dengan gaji yang sangat rendah.

Malah, sesetengah pembantu dibayar dengan gaji serendah RM900 sebulan, bergantung kepada kelayakan mereka dan juga lokasi pusat asuhan tersebut. Gaji yang rendah ini sangatlah tidak bersesuaian dengan tugas-tugas mereka menjaga kanak-kanak seperti memberi makan, menukar lampin, memandikan dan juga memastikan keselamatan terjaga di pusat asuhan.

Itu belum termasuk di mana biasanya setiap pembantu diberikan tanggungjawab menjaga sehingga 10 orang kanak-kanak pada satu-satu masa, membuatkan kerja mereka lebih tertekan berbanding kerja-kerja lain.

Jika di Australia, pembantu pusat asuhan diberikan gaji di antara $17.61 hingga $25.14 (RM52.34 hingga RM74.72) sejam, atau purata RM61.62 sejam di mana gaji untuk pekerjaan ini tidak banyak berubah berdasarkan pengalaman. Jika pembantu bekerja lebih masa, untuk setiap jam, mereka dibayar sebanyak RM89, membolehkan mereka menerima gaji di antara $3,025 hingga $4,338 (RM8,991 hingga RM12,893) sebulan.

6. Penulis / Copywriter

penulis 7 kerja dengan gaji paling tak setimpal

Gaji bermula dari: RM1,000

Penulis tak dapat nafikan bahawa pekerjaan sebagai seorang copywriter (dan penulis secara amnya), sering dipandang rendah dan dibayar dengan gaji yang tidak setimpal. Frasa "sesiapa sahaja boleh menulis" sering digunakan oleh orang ramai, walaupun sebenarnya ia adalah sangat tidak benar.

Mana-mana penulis yang mendengar frasa ini pastinya kecewa kerana untuk mencari idea dan menghasilkan penulisan berkualiti bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan carian dan penyelidikan yang agak lama serta proses penyuntingan yang sangat rumit bagi menghasilkan penulisan yang berbaloi untuk dibaca.

Selain itu, kebanyakan penulis biasanya bekerja pada masa yang tidak menentu dan biasanya terasing daripada orang ramai kerana individu-individu kreatif ini memerlukan ruang dan masa bersendirian untuk berfikir. Jadi, tak hairanlah apabila kebanyakan penulis mengalami kemurungan.

Namun begitu, copywriter yang mempunyai pengalaman dan pintar mampu meraih pendapatan yang agak lumayan. Copywriter dan pengarang kandungan yang mengkhususkan diri dalam industri digital dan teknikal mendapat menjadi buruan kerana industri-industri ini memerlukan kepakaran tertentu yang tak ramai penulis boleh lakukan.

7. Pekerja penyelenggaraan dan juruteknik

juruteknik 7 kerja dengan gaji paling tak setimpal

Gaji bermula dari: RM1,500

Biasaya pekerja selenggara dan juruteknik menjadi orang pertama yang dipanggil apabila paip rumah anda bocor atau rosak. Mereka ini bekerja pada waktu yang tidak menentu dan biasanya kerja-kerja yang dilakukan adalah berbahaya dan meletihkan. 

Tugas mereka termasuklah membaiki barangan yang rosak, menyelenggara peralatan elektrik seperti pendingin hawa. Dengan kerja-kerja yang memerlukan kepakaran yang dilakukan mereka, ramai yang memandang kerja-kerja mereka sebagai sesuatu yang remeh, sehinggalah mereka diperlukan.

Gaji mereka juga dilihatkan sebagai tidak setimpal dengan usaha dan kepakaran mereka.

8. Pereka Grafik 

pereka grafik 7 kerja dengan gaji paling tak setimpal

Gaji bermula dari: RM1,500

Bagi setiap muka hadapan majalah atau iklan-iklan yang menarik yang anda lihat, anda perlu berterima kasih kepada pereka grafik. Namun, mereka ini seringkali tidak dihargai dan dibayar dengan gaji yang rendah meskipun menghabiskan masa yang banyak dalam menghasilkan sesuatu rekaan grafik.

Ramai orang menganggap pekerjaan ini adalah sesuatu yang mudah dengan ingin membayar bayaran yang murah, namun hakikatnya adalah bertentangan di mana ia merupakan pekerjaan yang memerlukan kreativiti yang tak dimiliki oleh semua orang.

Masalah ini disebabkan oleh bekalan dan permintaan, yang mana terlalu ramai graduan dalam bidang ini bersemangan untuk bekerja dan berkongsi kreativiti mereka dengan dunia.

Situasi ini mewujudkan industri yang sangat kompetitif, kerana syarikat-syarikat besar lebih cenderung mengambil pereka grafik yang berpengalaman dan berbakat. Ia membuatkan mereka yang kurang berpengalaman ataupun yang tidak mempunyai pengalaman langsung, untuk terpaksa menerima gaji yang sangat rendah.

Namun, kelebihan yang ada pada pereka grafik adalah mereka boleh melakukan kerja-kerja yang memberikan pendapatan sampingan sebagai freelancer. Dan dengan pengalaman yang cukup dan portfolio, mereka boleh mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik bila-bila masa sahaja.

Rujukan:

1. Ringgit Plus

2. Pay Scale


tags : , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)