pekerjaan paling bahaya dan berisiko tinggi

Cakap pasal pekerjaan, kebiasaannya kerja yang sering dijadikan standard ukuran kualiti sesuatu profesionadalah yang melibatkan kumpulan profesional seperti jurutera, doktor dan sebagainya. 

Ini kerana pada persepsi kita kategori kumpulan pekerja ini mempunyai kestabilan karier yang baik untuk jangka masa panjang, mempunyai potensi perkembangan yang jelas dan sudah tentulah pendapatan yang boleh dikatakan lebih daripada mencukupi.

Di satu aspek berbeza wujud juga beberapa pekerjaan aneh dan boleh jadi berisiko tinggi yang jarang bermain di mulut kita, tetapi  mampu memberikan pendapatan lumayan kepada mereka yang menceburinya.

1. Tukang tarik kapal terbang

tukang tarik kapal terbang

Kita biasa mendengar tentang individu yang bertugas sebagai tukang tarik kereta kan? Siapa pula yang tarik pesawat kalau pinjaman bulanan pesawat tak dilunaskan?

Itulah kerja tukang tarik pesawat yang tugasnya sama seperti tukang tarik kereta, bezanya dia akan tarik pesawat dari tuan punyanya yang culas bayaran bulanan.

Prosesnya sama macam tarik kereta. Selepas menerima arahan, seorang tukang tarik pesawat akan mula menjejaki di mana pesawat itu disimpan. Selepas dikenalpasti lokasinya, pesawat itu akan dicuri atau dirampas secara sah oleh tukang tarik dengan bantuan peralatan yang telah disediakan pihak bank.

Seterusnya tukang tarik itu sendiri perlu menerbangkan pesawat itu ke lokasi yang ditetapkan. Untuk itu, memang sudah jadi kemestian seorang tukang tarik pesawat profesional biasanya memiliki lesen penerbangan yang luas kelayakannya, kerana dia berkemungkinan besar perlu menerbangkan pelbagai jenis pesawat berbeza.

Pendapatannya? Cukup lumayan.

Seorang tukang tarik pesawat bekerja bergantung dengan komisyen. Setiap satu pesawat yang berjaya dikembalikan memberikan pulangan 6% ke 10% komisyen hasil jualan pesawat itu semula kepada pembeli baru.

Tak menghairankan jika ada tukang tarik pesawat bergelar jutawan.

2. Pemburu upahan profesional

bail enforcement agent

Ada dua kategori pemburu upahan yang wujud di serata dunia; pertama, mereka yang bergerak secara tidak sah dan melakukan jenayah untuk upah.

Yang kedua adalah mereka yang bergerak secara sah di sisi undang-undang, memburu orang lain untuk upah. Bagi pemburu upahan berlesen, mereka bekerja untuk mendapatkan ganjaran yang ditawarkan pemburu individu-individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa. 

Antara kategori individu yang diburu dalam konteks undang-undang adalah penjenayah, pendatang asing tanpa izin dan individu yang melarikan diri dari ikat jamin. Mereka inilah sasaran utama pemburu upahan.

Kini dikenali dengan gelaran profesional 'pegawai pelaksana ikat jamin' atau bail enforcement officer, risiko kerja ini tinggi tetapi tetap bergantung kepada individu yang diburu mereka. 

Di negara kita, sistem sebegini bukanlah menjadi amalan biasa walaupun banyak kes melibatkan pemburu upahan tidak diiktiraf dilaporkan berlaku.

Tetapi bagi negara yang menerima sistem ini seperti Amerika Syarikat, seorang pemburu upahan memang mampu hidup senang, berbaloi dengan risiko yang perlu dihadapi mereka. Standard kadar upah yang diamalkan ditetapkan di antara 10% ke 20% daripada nilai keseluruhan ikat jamin yang telah disebutkan dalam mahkamah.

Lebih tinggi nilai ikat jamin, lebih tinggi komisyen mereka. 

3. Pelagak ngeri

spiderman lagak ngeri

Ketika kita leka menonton filem, jarang kita memikirkan nasib individu yang perlu melakukan aksi-aski bahaya yang menjadi tontonan kita. 

Seorang pelagak ngeri atau stuntman merupakan karier profesional yang diiktiraf di seluruh dunia, biasanya melibatkan industri perfileman yang jelas memerlukan banyak kemahiran mereka.

Sayangnya, jurang pendapatan pelagak ngeri tempatan dengan mereka di Hollywood jauh berbeza. Menurut firma SalaryExpert, kadar pendapatan seorang pelagak ngeri tempatan berada pada kadar hampir RM80,000 setahun atau RM6,667 sebulan.

Tetapi di Hollywood, mereka mampu mencecah sehingga USD250,000 setahun sekiranya dia berpengalaman dan sudah dikenali ramai.

Selain itu, badan yang menyelia pekerja pelagak ngeri Amerika Syarikat turut menetapkan seorang pelagak ngeri layak menerima USD1,005 untuk kerja penuh sehari.

Bagi jenis adegan pula, kadar bayarannya pula bergantung kepada tahap kesukaran lakonan yang diperlukan. USD100 dijadikan kadar standard untuk jatuh-jatuh bodoh dan USD5,000 akan dibayar kepada pelagak ngeri dalam situasi lebih ekstrim, seperti perlu duduk dalam kereta yang terbabas semasa rakaman.

Untuk sesetengah pelagak ngeri yang berpengalaman serta unik kerana mempunyai persamaan dengan bintang terkenal dari aspek fizikal, mereka biasanya akan diberikan bayaran pada kadar lebih tinggi disebabkan oleh kelayakan mereka.

4. Patung hidup

patung hidup kerjaya model

Mampu tak anda berdiri pegun dan statik di satu lokasi dalam jangkamasa yang panjang? Jika ya, anda mungkin sesuai untuk berkecimpung dalam bidang karier sebagai patung hidup. 

Bagaimanapun kesabaran saja tidak memadai. Anda juga harus mempunyai wajah dan figura yang dicari-cari serta sesuai untuk tujuan penganjur acara. Anda juga perlulah bersedia untuk disolekkan agar menyerupai sebuah patung. 

Walaupun skop kerja yang memerlukan seorang patung hidup tidaklah besar biasanya berlegar dalam industri fotografi, fesyen, tekstil, peragaan rambut dan beberapa industri lain - pendapatan yang akan dibayar kepada seorang petugas patung hidup agak lumayan.

Dianggarkan kadar USD100 sejam adalah standard minima bayaran yang akan diterima individu yang memenuhi kriteria ditetapkan dan sanggup menahan rasa bosan direnung orang lain untuk beberapa jam.

Dalam masa yang sama, mereka juga terdedah kepada sentuhan fizikal tanpa kebenaran ramai pengunjung. Ada juga patung hidup yang terpaksa berhadapan serangan selepas pengunjung yang terkejut melakukan serangan fizikal, kerana tidak menyangkakan patung yang ada sebenarnya adalah manusia.

5. Bodyguard atau pelindung

bodyguard sultan agong bersenjata

Berbeza dengan pegawai sekuriti, seorang bodyguard atau pegawai pelindung merupakan individu yang dilantik untuk melindungi seseorang secara lebih intim dan rapat.

Karier ini turut ditawarkan di Malaysia, di mana ramai sebenarnya individu dan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan ini kepada mereka yang berkelayakan.

Seperti yang kita sudah ketahui, pelindung keselamatan mempunyai tanggungjawab melindungi individu yang menggajikan mereka khasnya apabila melibatkan situasi cemas dan bahaya. Oleh itu seorang pelindung keselamatan perlu mempunyai pengalaman dalam bidang keselamatan serta mahir seni pertahanan diri, tidak mudah cemas dan melatah.

Selain itu pelindung keselamatan juga biasanya bertindak sebagai pemandu peribadi, jadi lesen memandu biasanya juga merupakan satu keperluan.

Gaji pelindung di negara kita tidak tinggi, secara purata berada pada tahap RM42,000 setahun atau hanya RM20 sejam. Jauh berbeza di Amerika Syarikat, tahap gajinya lebih baik mampu mencecah sehingga USD75,000 setahun dengan anggaran pendapatan USD100 sejam.

Seorang pelindung biasanya bertugas di antara 8 ke 12 jam sehari tetapi perlu bersedia sekiranya perkhidmatan mereka diperlukan.

Bagi mereka yang bertuah dan terlibat melindungi individu berstatus VIP atau selebriti, pendapatan yang jauh lebih lumayan sekitar dua ke tiga kali ganda berbanding petugas biasa boleh mereka perolehi. 

Tapi kena bersedia untuk cedera atau sakitlah demi mempertahankan orang lain.

 



Hakcipta iluminasi.com (2017)