Orientasi seks merupakan satu subjek yang agak popular diperkatakan ketika ini, berikutan perkembangan-perkembangan masyarakat barat yang dilihat seperti menghadapi masalah krisis identiti yang agak teruk.
Orientasi seks dan jantina kerap kali menjadi topik yang membawa kepada perdebatan hangat kerana setiap orang mempunyai tafsiran dan pandangan masing-masing, kerana setiap individu kini seolah-olah digalakkan untuk mempunyai definisi sendiri terhadap semua perkara berkaitan seksualiti.
Tahukah anda beberapa kategori seksualiti yang wujud pada zaman ini, yang sebelum ini jarang diberikan perhatian? Berikut adalah 6 kategori orientasi seksual yang wujud, sama ada ini adalah masalah psikologi atau kekeliruan seksualiti - anda putuskanlah sendiri. Persoalannya, anda yang mana satu?
1. Heteroseksual
Heteroseksual adalah individu yang merasakan tarikan seksual kepada individu lain yang bukan sama sejantina dengannya. Juga dikenali dengan gelaran straight, het, hetero dan 'breeder,' seorang heteroseksual adalah seorang individu yang menjalankan hubungan yang ditakrifkan sebagai hubungan normal.
2. Homoseksual
Homoseksual adalah kategori individu yang merasakan tarikan seksual kepada individu lain sejantinanya secara eksklusif. Sekiranya lelaki, dia menyukai lelaki sahaja dan jika dia perempuan, dia mendambakan perempuan sahaja. Digelarkan homo, gay atau lesbian bagi wanita, perkataan homo itu adalah perkataan latin yang membawa maksud 'sama.'
3. Biseksual
Golongan biseksual pula adalah mereka yang merasakan tarikan kepada kedua-dua jenis jantina, tak kiralah kepada lelaki atau wanita. Terma 'bi' itu sendiri membawa maksud 'dua' jadi seseorang biseksual mempunyai keinginan terhadap kedua-dua jantina ini.
Seorang yang mempunyai kecenderungan biseksual boleh merasai tarikan kepada lelaki sahaja atau perempuan sahaja atau kedua-duanya pada setiap masa. Media kerap mempopularkan golongan ini dengan banyak filem, seperti Brokeback Mountain, Black Swan dan Basic Instinct mempunyai individu biseksual sebagai watak utama filem.
4. Omniseksual dan Panseksual
Omniseksual dan panseksual merupakan cabang orientasi seks paling sukar untuk dijelaskan. Definisi paling mudah untuk menerangkan individu omniseksual ini adalah mereka merasakan tarikan seksual kepada semua jenis jantina, termasuklah jantina-jantina sendiri ciptaan manusia yang ada sekarang.
Seorang panseksual pula jika dilihat pada asalnya sama seperti seorang omniseksual, kerana dia juga mempunyai kecenderungan seksual ke atas semua jantina- tetapi perbezaan seorang panseksual dan omniseksual terletak pada bagaimana mereka melihat jantina.
Seorang omniseksual mengiktiraf definisi jantina seseorang walaupun 'berkebolehan' merasai tarikan seksual daripada semua jantina sementara seorang panseksual tidak memandang langsung jantina seseorang, kerana bagi dia tidak wujud sebarang kategori jantina. Mereka merasakan tarikan seksual pada individu itu atas nilai individu itu semata-mata tanpa mengambil kira langsung jantina.
Dalam erti kata lain, seorang omniseksual mampu tertarik secara seksual kepada semua jantina, sementara panseksual tertarik secara seksual kepada semua individu secara 'buta jantina.'
5. Autoseksual
Ini adalah kecenderungan seksual yang tidak menganggu individu lain. Seorang autoseksual adalah mereka yang hanya mampu merasakan tarikan seksual ke atas diri mereka semata-mata. Seorang autoseksual hanya mampu merasai tarikan seksual ke atas dirinya sahaja dan hanya mahu tangannya sendiri menyentuh tubuhnya, serta tidak merasai sebarang getaran sekiranya disentuh individu lain.
6. Aseksual
Golongan aseksual ini adalah mereka yang langsung tidak merasai sebarang tarikan seksual kepada mana-mana individu, tak kiralah apa saja jantina dan orientasi. Dalam bahasa mudahnya, mereka adalah individu yang tiada nafsu seks langsung, sama ada mengejar kepuasan seksual pada diri sendiri ataupun melalui aktiviti seksual bersama orang lain. Dipcercayai, pencipta terkenal Nikola Tesla adalah seorang aseksual namun perkara ini tidak dapat disahkan sehingga ke hari ini.