matawang hilang nilai hiperinflasi

Sistem matawang merupakan satu standard yang diwujudkan tamadun manusia, bagi memudahkan urusniaga dan pertukaran dilakukan pada satu skala yang mudah difahami dan setara untuk semua orang.

Namun sebaik-baik mana pun sistem yang cuba dibangunkan manusia, pasti akan wujud kelemahan serta kelompongan yang berlaku; disebabkan oleh kecuaian manusia itu sendiri atau sifat tamak yang menguasai golongan pemerintah sehingga menjatuh atau boleh menghilangkan nilai yang digunakan ke atas matawang itu sendiri.

Berikut adalah lima sejarah ringkas dalam dunia moden, di mana matawang susut nilainya dalam nilai yang sangat besar atau lebih teruk; terus lupus nilainya sehinggakan ramai yang jatuh papa kedana sekelip mata.

1. Duit pokok pisang Jepun di Tanah Melayu

duit pokok pisang zaman jepun

Selepas kejayaan Jepun menjajah negara kita pada tarikh 15 Februari 1942, kerajaan Jepun mula memperkenalkan langkah bagi menggantikan wang kertas yang digunakan ketika itu kepada matawang ciptaan mereka.

Wang kertas baru Jepun yang dinamakan sebagai wang 'pokok pisang' akibat ilustrasi pokok tersebut pada wang $10 diperkenalkan di Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei untuk penularan bermula pada 23 Februari 1942.

Bagi meningkatkan kadar penggunaan matawang baru itu, Jepun memperkenalkan beberapa kaedah seperti pengenalan sistem loteri serta mewajibkan penduduk Tanah Melayu mendapatkan pas penduduk baru, di bawah kelolaan mereka yang hanya boleh dibayar dengan duit pokok pisang.

Bagaimanapun kegagalan kerajaan Jepun menjalankan dasar yang berkesan mengakibatkan wang tersebut susut nilainya, disebabkan oleh mudahnya untuk wang itu dipalsukan akibat ketiadaan nombor siri. Selain itu, kerajaan Jepun juga akan mencetak wang apabila perlu; mengakibatkan kadar inflasi meningkat dan nilainya menurun berbanding harga pasaran sebenar.

Selepas Jepun menyerah kalah, secara automatik wang 'pokok pisang' hilang nilainya.

2. Langkah penggantian duit di Venezuela

venezuela matawang hilang nilai

Venezuela menjadi antara negara terbaru terkandas dalam situasi hiperinflasi akibat daripada kejatuhan harga minyak yang mendadak. Bermula pada tahun 2016, kadar inflasi di negara tersebut meningkat kepada konsisten sehingga mencecah 130,060% bagi tahun 2018.

Disebabkan masalah itu, kerajaan Venezuela di bawah pimpinan Nicolas Maduro memperkenalkan langkah drastik pada bulan Ogos tahun 2018 menggantikan keseluruhan sistem matawang berasaskan 'bolivar fuerte' dengan matawang baru 'bolivar soberano'.

Perbezaannya adalah 'soberano' akan dikira menggunakan nilai 1 ke 1,000 berbanding 'fuerte' yang menggunakan nilai 100,000 sebagai nilai mula, dengan tempoh transisi diperkenalkan di mana kedua-dua matawang akan digunakan serentak.

Bagaimanapun tambatan matawang baru mereka itu diletakkan pada nilai yang rendah berbanding matawang utama dunia, menurunkan nilai matawang sedia ada sebanyak 96% memaksa kerugian besar perlu ditanggung masyarakat mereka.

Selepas dua tahun, langkah yang diperkenalkan Maduro tetap gagal mengekang hiperinflasi dan aktiviti membeli barangan harian, masih memerlukan seseorang membawa berguni-guni wang kertas.

3. Kegagalan Zimbabwe menguruskan matawang

matawang zimbabwe sejuta

Dasar kerajaan Zimbabwe di bawah pemerintahan Robert Mugabe, yang memperkenalkan beberapa perubahan drastik ke atas sistem sosio ekonomi mereka merencatkan perkembangan negara itu sejak era 90-an.

Situasi itu diburukkan lagi dengan sekatan yang dikenakan ke atas negara mereka oleh Amerika Syarikat disebabkan oleh beberapa pelanggaran hak asasi manusia, yang didakwa Amerika Syarikat dilakukan oleh beberapa kelompok individu berkait dengan pemerintah Zimbabwe. Sekatan tidak rasmi itu bermula pada tahun 2002.

Kesan daripada kelembapan ekonomi yang teruk serta kegagalan mengurus dengan betul, mengakibatkan nilai matawang Zimbabwe mula terjejas sehinggakan kerajaan mereka perlu mencetak wang bernilai 1 trillion Z$ hanya untuk kegunaan harian.

Zimbabwe menghentikan penggunaan matawang mereka sendiri, mula menggunakan matawang asing khasnya USD dan wang Afrika Selatan bagi menstabilkan ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat inflasi.

Situasi ini kekal sehinggalah pada bulan Jun 2019, apabila mereka memperkenalkan matawang 'Zimdollar' namun nilainya yang dikhuatiri tidak stabil, akan mengakibatkan pendapatan orang ramai mampu menurun secara mendadak.

Perubahan itu tetap tidak membantu menurunkan kadar inflasi negara mereka dengan kadar 837% dilaporkan pada bulan Ogos tahun 2020.

4. Bagaimana Brazil berhadapan inflasi teruk

hiperinflasi brazil dekad 80 an

Bermula pada era 1950-an, kerajaan Brazil mahu menjayakan rancangan bagi membangunkan ibu negara mereka yang baru - dinamakan sebagai Brasillia. Demi mencapai hasrat tersebut, kerajaan mereka mula mencetak wang bagi digunakan sebagai dana projek besar-besaran itu.

Kesannya mula dirasai beberapa dekad selepas itu, apabila ekonomi Brazil mula menghampiri dengan kadar tahunan 235% pada tahun 1983. Situasi itu stabil sehinggalah pada awal tahun 1990, apabila kadar inflasi Brazil melonjak dalam tempoh 3 bulan pertama menyebabkan Brazil jatuh dalam situasi hiperinflasi.

Harga barangan mula melonjak berkali-kali ganda setiap minggu dalam tempoh beberapa bulan dan kerajaan Brazil terpaksa memperkenalkan kawalan harga yang berjaya menstabilkan harga; namun selepas kawalan ditarik, harga kembali mencanak naik.

Hanya pada tahun 1994 melalui beberapa taktik pengenalan unit kawalan harga serta penggunaan matawang baru pada 1 Julai 1994, barulah Brazil dapat mengawal penurunan nilai matawang mereka seterusnya membolehkan lebih 20 juta orang yang sebelum itu jatuh miskin - kembali kepada landasan sepatutnya.

5. Kejatuhan matawang Jerman

german hyperinflation marks perang dunia

Sejarah hiperinflasi di Jerman yang berlaku semasa era pemerintahan Republik Weimar pada tahun 1921, banyak membentuk mentaliti masyarakat mereka sehingga kini.

Bagi mendapatkan sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan perang ketika Perang Dunia pertama, kerajaan Jerman bertindak melakukan pinjaman sebagai modal perang - berkeyakinan bahawa selepas menang perang, semua hutang kerajaan Jerman dapat dilangsaikan dengan mudah ekoran 'kejayaan' menguasai banyak ekonomi besar dunia ketika itu.

Tambatan matawang 'mark' ke atas nilai emas digantung bagi membolehkan nilainya didagangkan secara bebas, menurunkan nilai matawang mereka daripada 4.2 mark kepada 7.9 mark untuk setiap 1 dollar. Semuanya dilakukan secara sulit, selepas kerajaan Jerman bertindak memperkenalkan polisi penutupan pasaran saham serta tidak lagi mengsiytiharkan nilai matawang mereka.

Polisi itu yang berjalan demi perang mula dirasai kesannya pada tahun 1921 sebelum memuncak pada tahun 1923. Kos perbelanjaan harian keluarga yang sebelum itu 60 mark seminggu naik kepada 230 mark pada bulan November 1920.

Jerman tewas teruk dalam perang tersebut. Walaupun begitu pinjaman-pinjaman yang dibuat, masih perlu dilunaskan. Perancis yang menjadi pemiutang mula mengambil alih beberapa pelabuhan sebagai balasan.



Hakcipta iluminasi.com (2017)