Istilah 'kerajaan' merujuk kepada sistem atau sekumpulan individu yang mentadbir komuniti besar seperti sesebuah negara. Sesebuah kerajaan itu akan menjalankan kuasa politik dan eksekutif melalui pelbagai institusi undang-undang yang ditubuhkan dalam negeri.

Setiap jenis kerajaan pula mempunyai falsafah dan prinsipnya yang tersendiri. Perbezaan yang terdapat antara badan kerajaan adalah berdasarkan struktur kuasa, sumber kuasa dan ideologi politik. Berikut adalah beberapa jenis kerajaan berbeza yang diamalkan di seluruh dunia dan sejarah mengenainya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

7. Autokrasi

autokrasi kim jong un

Autokrasi adalah satu bentuk kerajaan di mana seseorang individu itu memiliki kuasa mutlak tanpa kekangan perlembagaan atau mana-mana undang-undang bertulis.

Ia diambil daripada istilah Yunani purba daripada perkataan autós dan krátos atau autokratōr yang bermaksud 'kekuatan sendiri'. Ia biasanya digunakan oleh maharaja-maharaja dahulu seperti di Rusia yang menggunakan panggilan autokrat 'Tsar' untuk membezakan pemerintahan mereka daripada perlembagaan raja-raja di bahagian lain di Eropah.

Contoh autokrasi terawal ialah pada tahun 27 SM apabila pengasas Empayar Rom iaitu Augustus mengekalkan semua kuasa untuk dirinya sendiri walaupun telah menubuhkan Dewan Negara Rom. Nazi Jerman di bawah pentadbiran Adolf Hitler juga merupakan salah satu contoh rejim autokratik.

Kerajaan monarki mutlak di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Brunei dan diktator autokratik di Korea Utara dan Turkmenistan adalah bentuk autokrasi pada zaman moden.

6. Oligarki

oligarki

Oligarki merupakan sistem politik dan pemerintahan yang dijalankan oleh sekumpulan kecil orang yang berkuasa sahaja. Mereka biasanya diiktiraf sebagai golongan minoriti yang dominan dan sering dibezakan oleh keturunan, pengaruh tentera atau politik, kekayaan dan status.

Kumpulan oligarki ini biasanya merupakan pemerintah kuku besi dan tidak dibatasi undang-undang. Konsep oligarki bukanlah sesuatu yang baru kerana Aristotle pernah menggunakan istilah ini untuk menggambarkan sistem pemerintahan yang dimanipulasi oleh golongan minoriti yang kaya. 

Penubuhan Empayar Rom adalah salah satu contoh pemerintahan oligarki paling awal pernah diketahui. Sejak kebelakangan ini, ramai ahli falsafah politik telah mencirikan keadaan politik semasa di Amerika Syarikat lebih bersifat oligarki berbanding demokrasi.

Oligarki terdapat dalam beberapa bentuk seperti aristokrasi (golongan bangsawan) dan teokrasi (golongan agama). Antara contoh negara teokratik adalah seperti Vatican City dan Iran.

5. Demokrasi

mengundi

Demokrasi adalah sejenis bentuk kerajaan di mana rakyatnya memainkan peranan yang besar dalam proses membuat keputusan. Antara ciri utama sesebuah kerajaan demokrasi ialah negara yang mengamalkan kebebasan politik, kesaksamaan undang-undang dan sistem berperlembagaan. 

Terdapat dua jenis demokrasi yang utama iaitu demokrasi langsung dan demokrasi perwakilan. Demokrasi langsung ialah suatu bentuk demokrasi di mana rakyat membuat keputusan bagi dasar inisiatif tertentu secara langsung.

Penggunaan terawal sistem demokrasi langsung ini berlaku pada kurun ke-5 di Athen di mana kebanyakan warganegaranya mengundi secara langsung terhadap sesuatu isu perundangan dan pentadbiran eksekutif.

Dalam demokrasi perwakilan pula, rakyat menggunakan kuasa pengundian mereka untuk memilih pegawai kerajaan atau wakil yang kemudiannya membentuk badan pemerintahan apabila terpilih. Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang meletakkan institusi Raja Berperlembagaan sebagai ciri demokrasi berparlimen.

4. Republik

sosialisme

Daripada 206 buah negara berdaulat di seluruh dunia, hampir 160 menggunakan perkataan "republik" dalam nama rasmi mereka. Secara umumnya, sebuah republik itu merujuk kepada kedudukan tertinggi (ketua negara atau pemerintah) dan tidak diwarisi. Sesebuah republik itu tidak semestinya merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokratik.

Istilah ini berasal daripada perkataan Latin "res publika" yang bermaksud "perkara awam". Terdapat empat jenis kerajaan republik yang digunakan pada hari ini iaitu Republik Parlimen, Republik Presiden, Republik Islam dan Republik Rakyat (Sosialis).

Dalam sebuah Republik Parlimen, kuasa eksekutif terletak pada ketua kerajaan (Perdana Menteri) yang dipilih dan bertanggungjawab terhadap badan perundangan atau parlimen.

Terdapat perbezaan jelas antara ketua negara dan ketua kerajaan. Bagi negara seperti UK dan Jepun, Raja merupakan ketua negara manakala beberapa negara lain seperti Jerman, India dan Itali pula mempunyai Presiden sebagai ketua negara.

Sistem Republik Rakyat pula adalah sebuah negara yang berdasarkan prinsip sosialis yang mula diasaskan oleh Kesatuan Soviet. Hanya terdapat dua buah negara sahaja yang masih mengamalkan ideologi ini iaitu China dan Laos.

Satu lagi bentuk kerajaan republik ialah Republik Islam. Pada dasarnya, ia adalah sebuah negara yang berdasarkan demokrasi Islam yang menentang monarki mutlak. Hanya empat buah negara sahaja yang diiktiraf mengamalkan sistem ini iaitu Afganistan, Iran, Mauritania dan Pakistan.

3. Monarki

sultan brunei 531

Kerajaan Monarki adalah suatu bentuk kerajaan di mana sesebuah keluarga diraja itu mewakili negara atau merupakan wakil tertinggi dalam sistem politik. Kuasa tertinggi kerajaan monarki biasanya diwarisi dan ia bertentangan dengan sistem pemerintahan republik.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 45 buah negara berdaulat yang mempunyai Raja sebagai ketua negara. Namun, majoriti negara-negara ini mengamalkan sistem raja perlembagaan di mana raja lebih berperanan dalam adat istiadat dan hampir tidak mempunyai sebarang pengaruh politik dalam negara.

Satu lagi bentuk sistem ini ialah monarki mutlak di mana raja (yang umumnya merupakan seorang autokrat) mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas negara dan tidak dibatasi oleh badan perundangan atau mana-mana undang-undang bertulis. Antara negara yang mengamalkan sistem ini adalah Brunei, Oman, Qatar dan Arab Saudi.

Walaupun Emiriah Arab Bersatu menggunakan sistem monarki mutlak, secara asasnya ia adalah sebuah persekutuan yang merangkumi beberapa buah negeri yang masing-masing diketuai oleh pemerintah tersendiri. Ini menjadikan mereka sebagai kerajaan monarki persekutuan.

2. Kerajaan kesatuan atau Negeri Persekutuan

wilayah persekutuan

Sesebuah negeri itu digelar sebagai Negeri Persekutuan apabila sebahagian besarnya ditadbir oleh kerajaan pusat secara eksklusif tanpa mana-mana bahagian pentadbiran sub-nasional yang kuat.

Walau bagaimanapun, kerajaan pusat di negara-negara tersebut mempunyai kuasa untuk mencipta serta menghapuskan pentadbiran sub-nasional pada bila-bila masa sama ada untuk meringankan tugas pentadbiran atau mengembangkan kuasa. 

Sebilangan besar negara yang diiktiraf PBB dan mempunyai struktur kuasa kesatuan termasuk Perancis, Itali, Sepanyol, United Kingdom, dan China. Kebanyakan negara di Afrika juga adalah negara kesatuan. 

Di negeri persekutuan pula, terdapat pengagihan kuasa di mana pemerintah daerah berkongsi tugas pentadbiran dengan pemerintah pusat berdasarkan undang-undang bertulis. Unit sub-nasional dilindungi oleh perlembagaan dan tidak boleh dihalang atau diubah oleh kerajaan pusat. 

1. Anarki

anarki

Anarki merujuk kepada pemansuhan sistem pentadbiran kerajaan tradisional oleh masyarakat atau rakyat sesebuah negeri. Fahaman anarkisme menolak segala bentuk kekuasaan atau kawalan melalui institusi kerajaan dan membina sistem pemerintahan tersendiri secara sukarela. Dalam erti kata lain, anarki ini merupakan sebuah masyarakat tanpa hierarki.

Anarkisme menganggap kewujudan hierarki atau penubuhan negeri sebagai sesuatu yang tidak perlu malah boleh mendatangkan bahaya. Istilah ini pada mulanya digunakan sebagai perkataan sinonim bagi ketiadaan kepimpinan.

Namun, pada tahun 1840, seorang ahli politik dan ahli falsafah Perancis bernama Pierre-Joseph Proudhon menyifatkannya sebagai "perintah tanpa kuasa." Proudhon juga merupakan manusia pertama yang melabelkan dirinya sebagai seorang anarkis.

Kejatuhan sesebuah kerajaan sepanjang lima abad yang lalu telah menyebabkan sesebuah negara terjerumus ke dalam lembah anarki. Semasa 'Perang 30 Tahun' misalnya, Eropah Tengah mengalami keadaan yang begitu hampir dengan anarki dari tahun 1618 hingga 1648.

Ia diikuti pula dengan Perang Saudara Inggeris dari tahun 1642 hingga 1651 manakala Perang Saudara Rusia yang tercetus sebelum Perang Dunia Pertama pula telah menyaksikan kebangkitan politik anarkis digelar Tentera Pemberontakan Revolusi Ukraine.

Komuniti anarkis juga pernah tersebar secara meluas di Sepanyol semasa rejim Francisco Franco. Selain itu, Albania dan Somalia juga pernah menyaksikan penyebaran fahaman tersebut suatu ketika dahulu.

Rujukan:

1. Scholastic

2. Mocomi

3. Live Science




Hakcipta iluminasi.com (2017)