Kita selalu mendengar berkenaan sistem kasta yang wujud di kalangan masyarakat Hindu.

Sebagai pemberitahuan, artikel ini ditulis bukan untuk menjawab persoalan adakah sistem kasta tetap diamalkan penganut Hindu yang ada di Malaysia, tetapi hanya untuk menjelaskan pada orang ramai berkenaan sistem kasta dan kelasnya. Kami akan cuba menulis tentang sistem kasta Hindu di Malaysia dalam artikel lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami bawakan artikel ini kerana kami melihat masih banyak kekeliruan yang timbul berkenaan kepercayaan masyarakat Hindu ini, menyebabkan banyak gambaran kurang jelas berkenaan isu sensitif ini.

Sejauh mana kefahaman anda berkenaan sistem kasta masyarakat Hindu? Jom kita belajar serba sedikit tentang sistem ini.

Asal-usul sistem kasta

brahma the creator pencipta

Fahaman berkenaan kasta sebenarnya sangat berkait dengan kepercayaan masyarakat Hindu. Ini kerana menurut kepercayaan agama Hindu, dunia ini dicipta oleh Brahma, Tuhan Pencipta dalam masyarakat Hindu yang mempunyai empat wajah.

Turut sama dikenali dengan nama Vagisa dan Savayambhu, Brahma dipercayai pencipta kepada keempat-empat kitab Veda yang setiap satunya mewakili empat mulutnya.

Melalui catatan yang terkandung dalam catatan lama yang dinamakan Rigveda, semua masyarakat Hindu berasal daripada bahagian-bahagian tubuh Brahma sendiri dengan setiap satu bahagian asal kaum tersebut, akan mewakili kedudukan serta fungsi kaum itu dalam sistem masyarakat Hindu.

Kepercayaan mereka menyebut empat kumpulan yang berasal daripada Brahma lahir daripada kepala, tangan, betis dan tapak kaki Brahma - dengan satu lagi kumpulan pula dikatakan bukan berasal daripada Brahma.

Walaupun label kasta sering digunakan, nama sebenar sistem ini adalah 'jati'. Hanya selepas kedatangan orang Portugis ke kawasan Asia Selatan pada sekitar abad ke 16, penggunaan istilah 'casta' yang membawa makna 'kaum' atau 'bangsa' digunakan masyarakat luar, bagi merujuk kepada sistem yang digunakan masyarakat Hindu.

Sejak bila sistem kasta dimulakan?

sistem kasta dalam agama hindu

Sejarah sebenar bagaimana mulanya sistem kasta ini dalam masyarakat Hindu tidak dapat ditentukan, ini kerana wujud pelbagai jenis kisah dan mitos yang tidak jelas asal-usulnya saling bercampur baur.

Pada awalnya sistem kasta dikatakan diperkenalkan oleh orang Aryan yang datang ke kawasan itu dari Asia Tengah, memperkenalkan sistem itu bagi memudahkan mereka mengawal masyarakat. Orang Aryan sendiri melakukan pemilihan, meletakkan individu-individu ke dalam kumpulan masing-masing dan setiap individu diberikan tugas khas.

Bermula daripada itulah setiap individu dalam masyarakat Hindu sejak lahir sudah ditetapkan jalan hidupnya dari mula sehingga akhir hayat.

Pendapat ini dipertikaikan pada zaman moden, yang tidak menemui sebarang hubungkait di antara orang Aryan dengan masyarakat Hindu. Selain itu rekod dalam buku Manusmriti yang ditulis beribu-ribu tahun lamanya, menunjukkan sistem kasta memang sudah sekian lama digunakan dalam melindungi kedudukan dan sistem masyarakat Hindu.

Walaupun tidak diketahui dengan lebih tepat sejarahnya, pemahaman terhadap sistem kasta mempunyai rekod yang terperinci memudahkan kita memahaminya. Setiap kumpulan kasta akan diberikan 'karma' atau 'kerja' yang telah ditetapkan sebagai tanggungjawab setiap hari, dengan 'dharma' atau 'tanggungjawab' yang perlu dipenuhi sebagai tuntutan agama mereka.

Kumpulan-kumpulan kasta

caste system in india 82d77

Terdapat empat kumpulan kasta secara rasmi dalam sistem sosial masyarakat Hindu. Kumpulan pertama dinamakan sebagai Brahmin, mereka yang berada pada kedudukan paling atas berikutan tanggungjawab mereka memelihara agama Hindu serta cara hidup yang mereka amalkan. Golongan Brahmin diberikan tanggungjawab menjadi ahli falsafah serta ahli agama.

Golongan kedua pula digelarkan Kshatriya (Kesatria) yang bermakna pelindung kepada orang awam. Golongan ini diberikan tanggungjawab memimpin masyarakat, memainkan peranan sebagai raja, pahlawan atau panglima mereka. Majoriti pemimpin masyarakat Hindu akan dipilih daripada golongan Kshatriya. Individu Kshatriya paling terkenal dalam sejarah dunia adalah Siddartha Gautama Buddha, pengasas kepada agama Buddha yang lahir sebagai seorang pewaris kasta Kshatriya.

Vaishyas adalah golongan ketiga yang mempunyai tugas mentadbir keamanan masyarakat melalui aktiviti harian seperti perladangan, penternakan dan kegiatan ekonomi. Kumpulan ini mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat Hindu berikutan dekatnya tugasan mereka dalam masyarakat setiap hari. Golongan peniaga akan datang daripada golongan Vaishyas. Sekiranya anda lihat ceti-ceti pemberi hutang, kebiasaannya mereka datang dari kelompok ini.

Kelompok rasmi terakhir dalam sistem kasta adalah golongan Shudras. Mereka ini adalah orang-orang kebanyakan yang tidak mendapat sebarang keistimewaan. Kebanyakan daripada mereka ini diberikan tanggungjawab melakukan pekerjaan-pekerjaan biasa. Golongan ini datang daripada mereka yang lahir sebagai Shudras dan boleh juga datang daripada kelompok kasta atas yang dihukum kerana melakukan kesalahan-kesalahan tertentu.

Kelompok terakhir yang di luar sistem

orang dalit kerja kotor

Dalam sistem kasta, empat 'jati' di atas adalah empat kumpulan rasmi yang digelarkan sebagai 'varna.' Bagaimanapun, wujud sebuah lagi kelas yang dipercayai tidak datang daripada bahagian tubuh Brahma - kelompok yang dinamakan 'achoot.'

'Achoot' bermakna 'mereka yang tidak layak disentuh' atau 'untouchables.' Dalam zaman moden, mereka kini digelarkan sebagai golongan Dalit, membawa makna 'golongan yang ditekan'. Gelaran Dalit hanya mula digunakan sejak 1930-an sebagai penambaikan kepada gelaran 'Harjian' (pengikut Hari/Tuhan) yang cuba diperkenalkan sebelum tiu.

Bagaimana seseorang itu diiktiraf sebagai Dalit? Dia tidak punya pilihan.

Dia dilahirkan sebagai seorang Dalit dan akan mati sebagai Dalit. Seorang Dalit tidak boleh keluar daripada kastanya dan perlu menerima nasibnya, kerana setiap ahli keluarga kelompok Dalit dipercayai pernah melakukan kesalahan dalam kehidupan lalu mereka.

Seorang Dalit wajib melakukan kerja-kerja kotor, bergelumang dengan najis serta perlu menguruskan bangkai-bangkai lembu yang mati sebagai salah satu tanggungjawab utama mereka. Individu Dalit dilarang daripada masuk ke tempat-tempat keagamaan serta tidak dibenarkan berkongsi sumber air dengan masyarakat lain. Mereka juga tidak boleh melalui kawasan di mana masyarakat kasta lain tinggal.

orang dalit india

Selepas penjajahan British sedikit sebanyak membantu orang Dalit keluar daripada tekanan sistem ini, wujud gerakan untuk membantu mereka menjadi lebih berdikari dalam sistem sosial masyarakat mereka. Sedikit sebanyak masyarakat Dalit berjaya keluar daripada kepompong yang membelenggu mereka sehingga berjaya menjadi komuniti yang semakin disegani.

Bagaimanapun, stigma terhadap orang Dalit masih menghantui India.

Walaupun mempunyai jumlah populasi yang amat signifikan dalam populasi keseluruhan negara tersebut dengan leebih 16 peratus atau 300 juta individu Dalit hidup di India, mereka tetap berdepan ancaman sistem kasta yang seakan mahu menjadikan mereka mangsa, hamba atau kedua-duanya.

Kes-kes keji seperti pembunuhan seorang gadis Dalit berusia 14 tahun hanya disebabkan ada pasangan benci akan status gadis itu atau seorang pemuda Dalit yang dibunuh hanya disebabkan dia telah menunggang kuda (yang sepatutnya menjadi larangan pada dia) masih kedengaran.

Dua kes ini, bukannya berlaku lama dahulu tetapi baru saja berlaku tahun ini. Kita harus sedar pada tahun 2018 di India, seseorang boleh kena pancung hanya kerana ada orang tak suka dengan keturunan kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)