Pemerintahan berbentuk monarki ataupun beraja merupakan sistem pemerintahan rasmi satu masa dahulu, sebelum amalan demokrasi mula menjadi majoriti sistem pilihan utama kerajaan dan negara dunia.

Berbeza dengan demokrasi yang memberikan kuasa melalui sistem pilihanraya, sistem monarki menentukan pewarisan kuasa melalui sistem keturunan dan hirarki yang telah ditetapkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah dunia menunjukkan kebanyakan monarki yang masih wujud dalam zaman moden telahpun mengalami proses pemansuhan yang ketara bermula abad ke 20 sehinggalah ke abad 21, meninggalkan kita dengan beberapa individu yang berstatus 'bekas raja' yang masih hidup.

Berikut adalah lima orang bekas raja yang terpaksa menyaksikan sendiri bagaimana warisan mereka dihapuskan.

1. Simeon Saxe-Coburg-Gotha (Bulgaria)

simeon raja terakhir bulgaria

Dikenali dengan nama King Simeon ke 2 atau Tsar Simeon II, Simeon merupakan raja terakhir susur galur dinasti Tsar pemerintah Bulgaria, daripada bermulanya penubuhan Empayar Bulgaria pada tahun 681.

Warisan keluarganya dimansuhkan dalam satu referendum awam yang bersetuju menghapuskan sistem pemerintahan monarki di negara itu pada tahun 1946.

Simeon pada ketika baru berusia 9 tahun, dalam tahun ketiga diangkat sebagai Raja Bulgaria menjalankan tugasnya dengan bantuan pihak penasihat diketuai pakciknya, Putera Kiril.

Referendum tahun 1946 itu memansuhkan sistem monarki seterusnya memaksa Simeon serta ahli keluarganya melarikan diri ke Sepanyol, hidup sebagai orang buangan.

Di Sepanyol, dia memulakan karier sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum kembali ke Bulgaria pada tahun 1996, 50 tahun selepas melarikan diri.

Simeon menubuhkan parti politik, berjaya memenangi majoriti Parlimen Bulgaria pada tahun 2001, sebelum naik menjadi Perdana Menteri Bulgaria. Dia akhirnya bersara dan mengundur diri dari politik pada tahun 2005.

2. Gyanendra (Nepal)

gyanendra of nepal

Lahir pada tahun 1947, Raja Gyanendra Bir Bikram Shah Dev merupakan Raja Nepal terakhir serta orang Hindu terakhir di dunia memegang gelaran Raja.

Pada usia baru 4 tahun, Gyanendra telah pun diangkat sebagai Raja Nepal dalam tahun 1951 selepas Raja Nepal ketika itu, datuknya Tribhuvan serta ahli keluarganya terpaksa melarikan diri ancaman besar-besaran dilakukan kepada keluarga monarki Tribhuvan.

Gyanendra dinamakan  pewaris keluarga di-raja dan diletakkan sebagai Raja Nepal, sebelum kerajaan Nepal membenarkan Tribhuvan kembali memegang takhta membolehkan Gyanendra meneruskan hidup seperti biasa.

Pada 1 Jun 2001, semasa berlangsungnya sebuah majlis di Istana Negara Nepal, putera raja Nepal yang bernama Dipendra menembak mati 12 orang ahli keluarganya termasuklah Raja Nepal ketika itu Raja Birendra.

Dipendra yang sepatutnya mewarisi takhta, nekad membunuh diri namun gagal dan hanya meninggal dunia 3 hari kemudian selepas berada dalam koma. Insiden itu membolehkan Gyanendra, sepupu kepada Dipendra kembali menguasai takhta.

Gyanendra memperkenalkan beberapa perubahan bagi memperkukuhkan kuasa dengan taktik keras, sebelum rusuhan yang berleluasa serta desakan agar beliau melucutkan kuasanya sebagai raja mula lantang disuarakan.

Kuasa raja dalam parlimen Nepal berjaya dikurangkan sebelum parlimen Nepal memutuskan agar sistem monarki dihapuskan sepenuhnya di Nepal pada tahun 2008.

3. Fuad II (Mesir)

raja terakhir egypt

Sebuah keluarga monarki berpengaruh di Mesir dan Sudan, Dinasti Muhammad Ali yang ditubuhkan oleh Muhammad Ali Pasha semasa kegemilangannya menguasai sebahagian besar Mesir, Sudan dan beberapa bahagian di tanah Arab.

Raja terakhir dinasti hebat ini adalah Fuad II yang mewarisi takhta dari ayahnya Raja Farouk, yang bertindak melepaskan takhta pada tahun 1952 ekoran berlakunya revolusi. Fuad pada ketika itu baru berusia beberapa bulan diharapkan dapat menyatukan masyarakat Mesir yang berpecah-belah, namun usaha ini gagal.

Mesir diumumkan sebagai republik pada 18 Jun 1953 dan Fuad II di bawa ke Switzerland untuk dibesarkan di sana.

Berbeza dengan dua nama yang kami senaraikan di atas, Fuad II langsung tidak terlibat dalam sebarang bentuk pergolakan kuasa di negara asalnya, sebaliknya memilih hidup sebagai orang biasa.

Fuad diberikan kewarganegaraan Mesir semasa pemerintahan Presiden Anwar Sadat pada tahun 1970-an namun memilih untuk terus kekal di Switzerland, hanya sekali-sekala kembali ke Mesir - tidak mahu meninggalkan hidup bebas yang telah diberikan kepadanya setelah kehilangan takhta.

4. Jamshid bin Abdullah (Zanzibar)

jamshid bin abdullah

Jamshid bin Abdullah tidaklah mempunyai kuasa pemerintahan berstatus empayar gergasi yang besar.

Ini kerana Kesultanan Zanzibar hanya mempunyai kuasa ke atas wilayah seluas 16 kilometer persegi yang terletak berdekatan Kenya. Bagaimanapun itu sudah cukup bagi Kesultanan tersebut mewujudkan dinasti panjang yang bermula pada penghujung abad ke 17 sehinggalah pertengahan abad ke 20.

Selepas berhadapan krisis dengan kerajaan Kenya sekitar tahun 1920, Zanzibar diselamatkan sebagai salah sebuah naungan di bawah koloni British, melindungi jajahan mereka daripada diambil alih sepenuhnya. Namun sebahagian besar kawasan takluk Zanzibar perlu diserahkan kepada pemerintahan baru di bawah British yang dinamakan British Kenya.

Perjanjian di antara British, pemimpin Kenya dan keluarga di-raja Zanzibar berakhir pada tahun 1963, membolehkan Zanzibar dan Kenya membentuk sendiri negara secara berasingan selepas mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun Revolusi Zanzibar yang berlaku pada awal tahun 1964 mengorbankan hampir 20,000 nyawa akibat pertempuran antara etnik Arab dan Afrika yang bertelagah, memaksa Sultan Jamshid bin Abdullah melepaskan kuasanya sebagai Sultan Zanzibar terakhir dalam dinasti keluarganya.

Dia melarikan diri ke Oman sebelum hadir ke Portsmouth, England bagi mendapatkan perlindungan, hidup dengan bantuan dana sekutu rapatnya kerajaan Britain.

Berita terakhir tentang beliau dilaporkan sekitar tahun 2012, tidak dapat dipastikan masih hidup atau sudah meninggal dunia. Pada hari ini, hak kuasa ke atas kerajaan Zanzibar dipegang 5 orang anak lelaki beliau.

5. Constantine II (Greece)

king constantine ii greece

Dinasti keluarga di-raja Greece bermula sekitar abad ke 19 selepas mendapat kemerdekaan daripada kerajaan Uthmaniyah pada tahun 1832.

Atas desakan tiga kuasa besar iaitu Britain, Perancis dan Russia; Raja Otto menjadi raja pertama dinasti itu. Constantine II menjadi raja kesembilan dalam sejarah raja Greece dinasti moden ini, mewarisi takhta selepas kematian ayahnya.

Campur tangan beliau dengan gerakan bagi menjatuhkan pemimpin kerajaan pusat Greece pada tahun 1965 menimbulkan kontroversi, memulakan kejatuhan dinasti tersebut.

Selepas ketidakstabilan tercetus akibat perang saudara yang berlaku akibat daripada kegagalan Perdana Menteri yang dilantik Constantine mengawal situasi, junta tentera melakukan rampasan kuasa pada tahun 1967. Tiada lagi tempat berpaut, Constantine diperkotak-katikkan dipaksa mengiktiraf pemerintahan junta di Greece sebagai kerajaan yang sah.

Cubaan Constantine mengambil alih semula kerajaan dengan melakukan serangan berdepan kegagalan dan beliau terpaksa melarikan diri bersama keluarganya ke Rom, Itali.

Malang bagi keluarga di-raja Greece, referendum orang ramai yang dianjurkan pada tahun 1973 memilih untuk memansuhkan secara mutlak sistem monarki di Greece, membawa kepada kejatuhan pemerintahan tentera yang berlaku pada tahun 1974.

Republik Greece ditubuhkan tidak lama selama selepas itu namun Constantine hanya dibenarkan kembali ke Greece pada tahun 1981 selama beberapa jam, bagi menghadiri pengebumian ibunya Permaisuri Frederica.

Dia hilang status kewarganegaraan selepas berlaku pindaan undang-undang yang melucutkan taraf kerakyatannya pada tahun 1992. Hanya pada tahun 2013 dia dibenarkan pulang menjadi rakyat Greece dan memilih menetap di tanah tumpah darahnya hingga kini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)