sungai nil mesit egypt

Sungai Nil yang berukuran hampir 6,719 km panjang ini dianggap sebagai sungai terpanjang di dunia walaupun sering diperdebatkan ukurannya dengan Sungai Amazon. Sungai Nil merentasi sembilan buah negara di seluruh benua Afrika.

Walaupun perkara ini mungkin dianggap sebagai pengetahun biasa, perairan berliku ini mempunyai banyak lagi kisah menarik yang tidak anda ketahui. Berikut adalah 10 fakta menarik mengenai sungai yang membentuk empayar Mesir purba ini.

1. Tanpa Sungai Nil tidak wujud tamadun Mesir purba

lukisan penduduk mesir

Sungai Nil merupakan sumber kehidupan orang Mesir purba dan memainkan peranan penting dalam sejarah negara yang kaya dengan budaya itu. Selain itu, Sungai Nil juga merupakan faktor yang sangat penting dalam pembangunan sosioekonomi dan kejayaan Mesir kuno.

Tanpa Sungai Nil, peradaban kuno yang hebat mungkin tidak wujud memandangkan hujan hampir tidak wujud di Mesir dan sungai itu sahajalah yang menjadi sumber kelembapan untuk aktiviti pertanian.

2. Sumber sebenar Sungai Nil masih kekal misteri

punca utama sungai nil

Sesetengah orang berpendapat bahawa Tasik Victoria yang merupakan tasik utama Afrika, adalah sumber kepada Sungai Nil. Sebahagian yang lain pula mengatakan bahawa Sungai Kagera dan anak sungainya Ruvubu, yang berhulu di Burundi adalah sumber sebenar. Walau bagaimanapun, sumber sebenar Sungai Nil masih menjadi misteri sehingga hari ini.

3. “Lebuh raya” Sungai Nil

bot mesir purba

Sungai Nil adalah lebuh raya yang menggabungkan beberapa negara bersama, selain merupakan faktor yang penting untuk aktiviti perdagangan dan pengangkutan. Hingga abad ke-19, perjalanan darat adalah sesuatu yang agak sukar untuk digunakan di rantau ini.

Kapal dan bot adalah cara utama untuk mengembara, berniaga dan membawa barangan ke seluruh Afrika dan Sungai Nil merentasi sembilan negara di benua ini.

4. Punca kehidupan

lukisan dinasti mesir ke 4

Selain merupakan sumber air yang utama, Sungai Nil juga menawarkan kesuburan tanah yang baik untuk penanaman sumber makanan. Ini menjadi sebab utama mengapa ramai penduduk Mesir yang memilih untuk tinggal berhampiran sungai itu.

Selain tanah yang subur, penduduk tempatan juga menggunakan tombak dan jaring untuk menangkap ikan dan memerangkap burung yang terbang dekat dengan permukaan air.

5. Elemen penting bagi sejarah

tanaman papirus

Begitu banyak perkara yang kita ketahui mengenai tentang sejarah Mesir kuno adalah melalui catitan dan rekod yang dihasilkan di atas daun papirus. Daun papirus ini berasal daripada sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di sepanjang sungai ini. 

6. Banjir di Sungai Nil

sungai nil dan piramid 946

Salji yang mencair dan hujan musim panas yang lebat di Pergunungan Ethiopia akan menyebabkan air di tebing Sungai Nil di Mesir melimpah hingga ke tanah gurun yang rata. Perkara ini menyebabkan berlakunya banjir besar setiap tahun dan begitu dinanti-nantikan oleh masyarakat Mesir purba.

Sebab mengapa Sungai Nil tidak lagi berlaku banjir seperti dahulu adalah kerana siapnya pembinaan Empangan Tinggi Aswan pada tahun 1960-an.

7. Dewi Mehet-Weret dan Dewa Hapi

lukisan dewa hapi

Sehinggalah Empangan Tinggi Aswan dibina, banjir tahunan di Sungai Nil berlaku antara bulan Jun dan September. Musim banjir ini disebut oleh penduduk Mesir purba sebagai Akhet.

Penduduk Mesir purba percaya banjir besar yang berlaku itu adalah disebabkan Dewi Mehet-Weret, yang menandakan sebagai kedatangan tahunan Dewa Hapi yang membawa kesuburan pada tanah di situ. 

8. Osiris: Tuhan Sungai Nil paling suci

osiris

Walaupun Hapi merupakan Dewa yang dihormati oleh penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Nil, namun tuhan yang paling berkait rapat dengan sejarah dan kebudayaan sungai itu adalah Osiris. Dewa Osiris telah dibunuh oleh saudaranya Seth di tebing Sungai Nil dan menjadi raja kepada Dunia Selepas Kehidupan.

Oleh sebab itu, Sungai Nil juga merupakan bahagian penting dalam kehidupan rohani orang-orang Mesir purba. Mereka percaya sungai ini adalah laluan antara hidup dan mati. Itulah sebabnya semua perkuburan Mesir dibina di bahagian barat Sungai Nil. Mereka percaya bahawa barat adalah tempat kematian memandangkan tuhan matahari Ra akan terbenam di bahagian barat setiap hari.

9. Sukan purba yang popular dimainkan di Sungai Nil

sukan tombak air

Orang Mesir kuno mengamalkan satu sukan air yang popular iaitu Tombak Air. Pengetahuan moden mengenai sukan ini datangnya daripada kajian sebuah kubur Mesir purba. 

Terdapat catitan dan lukisan yang menunjukkan kapal kecil membawa sekumpulan lelaki sedang memegang galah panjang. Beberapa lelaki akan menggunakan galah itu untuk mengemudi kapal mereka, manakala beberapa yang lain pula akan berdiri dan cuba untuk menjatuhkan pihak lawan mereka menggunakan galah masing-masing.

10. Makhluk tertua Sungai Nil

buaya sungai nil

Buaya telah tinggal di Sungai Nil selama beribu-ribu tahun lamanya dan mereka tidak suka apabila manusia menghampiri mereka. Buaya diketahui sering menyerang manusia dengan kerap, terutamanya mereka yang mandi, memancing atau membasuh di tepi sungai. Dianggarkan sekitar 200 kes serangan buaya yang dilaporkan berlaku di Sungai Nil setiap tahun.

Rujukan:

1. BBC

2. Ancient Egypt



Hakcipta iluminasi.com (2017)