Anda ada RM4 juta ringgit? Dengan jumlah sebanyak itu, anda boleh memiliki pekan anda sendiri yang terletak di kawasan pergunungan Inyo, California. Pekan itu yang dinamakan Cerro Gordo merupakan sebuah pekan yang ditubuhkan pada abad ke 19 semasa perlombongan sedang rancak di sana.

Dengan harga tersebut, anda boleh memiliki 300 ekar tanah, hak untuk menyimpan kesemua galian yang ditemui serta ketenangan yang jarang dirasai di bandar-bandar besar. 22 bangunan terletak di kawasan tersebut, termasuklah sebuah hotel, tempat minum, gereja kecil serta sebuah muzium.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seandainya anda adalah pembeli bertuah Cerro Gordo, semuanya bakal jadi milik anda. Bak kata orang zaman sekarang - semuanya 'fully furnished.'

Sejarah Pembukaan Cerro Gordo

bahagian dalaman cerrod gordo pekan terbiar

Pekan Cerro Gordo memang menjadi hak milik persendirian selama ini, namun keluarga yang menjadi tuan punya pekan tersebut merasakan sudah tiba masanya Cerro Gordo mempunyai tuan baru. Tidak ada syarat dikenakan sekiranya pembelian dilakukan dengan tuan baru pekan tersebut bebas mengubah apa saja yang dirasakan perlu dalam membangunkan pekan itu.

Cerro Gordo mendapat namanya daripada pelombong-pelombong Mexico yang bekerja di situ mencari logam perak, yang bermaksud 'Bukit Gemuk.' Penemuan perak di situ membuka lombong secara kecil-kecilan, diasaskan oleh seorang lelaki bernama Pablo Flores pada tahun 1865. Berikutan tersebar kisah penemuan bahan berharga di situ, pelombong-pelombong lain mula membanjiri Cerro Gordo untuk mencuba nasib.

Pada tahun 1868, seorang ahli perniagaan bernama Mortimer Belshaw menggunakan perak yang telah berjaya ditemui untuk membiayai pembinaan jalan keretapi daripada Cerro Gordo ke Los Angeles. Setahun selepas itu, Cerro Gordo menjadi lombong terbesar pengeluar perak dan plumbum.

Kerancakan aktiviti ekonomi Cerro Gordo terhenti pada tahun 1880 selepas berlaku kebakaran yang menyukarkan operasi perlombongan. Tidak lama selepas itu, harga perak merudum teruk menyebabkan pelombong serta ahli perniagaan mula mencari sumber lain dalam menjana keuntungan. Aktiviti perlombongan dimulakan kembali pada tahun 1905 selama berdekad lamanya, namun kemuncak Cerro Gordo sudah lama berlalu.

Pekan berhantu

bangunan hotel lama cerro gordo tidak berpenghuni

Ketika ini, Cerro Gordo memang sebuah pekan yang sunyi. Namun selepas ditawarkan untuk jualan, beberapa pihak yang berminat menyatakan rancangan untuk menukarkan Cerro Gordo menjadi sebuah taman tema atau mungkin juga pusat aktiviti berkaitan ganja.

Pekan ini juga pernah dijadikan lokasi pengambaran filem-filem Hollywood, seperti "Night Passage" lakonan Audie Murphy askar legenda yang pernah kami ceritakan dalam artikel kami, "Nevada Smith" lakonan pelakon terkenal Steve McQueen serta "Waterhole Number 3" lakonan James Coburn.

Pemilik Cerro Gordo, Michael Patterson mewarisi Cerro Gordo daripada isterinya, Jody Stewart Patterson setelah isterinya meninggal dunia. Keluarga Jody adalah pemilik asal Cerro Gordo yang sebenarnya berkeluasan lebih 100 ekar ketika zaman kegemilangannya. Mendiang isterinya membeli perkongsian pekan ini dengan pakciknya pada tahun 1973 dan menjadi pemilik penuh Cerro Gordo selepas pakciknya itu meninggal dunia pada tahun 1984.

pekan cerro gordo daripada udara pekan kosong lama

Michael berkenalan dengan Jody setelah bekerjasama membangunkan teknologi tenaga menggunakan kuasa angin di situ pada tahun 1985. Mereka berkahwin pada tahun 1999 namun perkahwinan mereka tidak lama selepas Jody meninggal dunia pada tahun 2001.

Perniagaan 'bed & breakfast' yang mereka buka pada tahun 1986 membawa kemasukan pelancong ke pekan kecil mereka namun usia yang semakin tua membataskan pergerakan Michael. Cerro Gordo tetap berdiri, cuba diselamatkan oleh Michael sebaik mungkin dalam mengingati memorinya bersama isterinya yang tersayang.

Bagaimanapun, Michael akhirnya meninggal dunia pada bulan September 2009 akibat serangan jantung meninggalkan beberapa orang anak, yang kesemuanya tidak berminat untuk menjadi tuan punya Cerro Gordo, bertanggungjawab menguruskan pekan kecil itu.

Anda boleh jadi orang yang terus menggalas usaha yang dimulakan sejak dahulu lagi, meletakkan nama anda dalam sejarah Amerika Syarikat sebagai pemilik pekan yang sangat mendalam nilai sejarahnya. Anda berminat? Pautan ada di bawah.

Rujukan

LA Times "Old Ghost Town Is Getting a New Lease on Life"

Ghost Town for Sale

Explore California History




Hakcipta iluminasi.com (2017)