Lokasi-lokasi misteri kerap kali menjadi tumpuan peminat aktiviti paranormal, bukan saja di Malaysia malahan di seluruh dunia.

Sama ada anda merasakan perkara tahyul ini membuang masa atau memang benar sebahagian daripada kejadian alam yang norma, kisah-kisah berkenaan misteri sesuatu tempat memang popular untuk diceritakan.

Salah satu lokasi paling misteri yang sering menimbulkan tanda tanya di Eropah serta dikatakan menjadi tempat yang disumpah, adalah sebuah pekan kecil bernama Colobraro yang terletak di Itali.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hikayat Pekan Colobraro Sebagai Pekan Sumpahan

colobraro pekan sumpah itali jalanan

Terletak di wilayah Basilicata, Itali - suasana pekan Colobraro didakwa seakan menyembunyikan rasa kurang senang setiap masa.

Dinamakan sempena 'coluber' atau ular, Colobraro dibina di atas sebuah bukit, menjadikan kedudukannya agak tinggi di kelilingi Sungai Sinni yang menjadi punca utama bekalan air.

Tidak jelas mengapa pekan itu dinamakan sedemikian rupa, tetapi ramai percaya nasib malang yang menimpa Colobraro datang daripada namanya sendiri.

Disebabkan itulah, penduduk pekan itu sendiri enggan menyebut nama rasmi pekan mereka sebaliknya mengistilahkan tempat tinggal mereka sebagai 'chillu paese' atau 'pekan itu.'

Mereka percaya pantang larang itu perlu dihormati, bagi melindungi diri mereka daripada sumpahan yang telah jatuh kepada seluruh pekan tersebut.

Kisah sumpahan itu dikatakan bermula selepas keceluparan salah seorang penduduk mereka, memulakan bala ke atas mereka.

Sumpahan Bermula Kerana Mulut Puaka

legenda pekan disumpah colobraro

Pekan Colobraro sudah wujud beratus tahun lamanya serta ditakuti kerana namanya. Bagaimanapun, insiden pada dekad 1940-an dikatakan menjadi sebab utama sumpahan semakin menggila.

Salah seorang penduduk pekan itu yang juga dilantik sebagai Datuk Bandar Colobraro adalah seorang peguam berjaya dan terkenal, bernama Biagio Virgilio. Walaupun sukses, sikap Virgilio yang angkuh serta bongkak menyebabkan penduduk 'chillu paese' kurang gemarkan dia.

Dalam salah satu perbicaraan yang berlaku di mahkamah, bagi membuktikan kebenaran hujahnya Virgilio mencabar mahkamah dengan mengatakan seandainya dia berbohong, lampu candelier yang menjadi penghias mahkamah akan runtuh.

Selepas saja dia habis bersuara, lampu itu jatuh dan pecah remuk mengejutkan semua pihak.

Kejatuhan lampu candelier itu akibat mulut celupar Virgilio yang didakwa berani berbohong, menjadi permulaan kepada banyak lagi insiden menakutkan, menyebabkan penduduk 'chillu paese' mula merasa kurang selesa dengan apa yang terjadi.

Wanita Tua Misteri Ahli Sihir Yang Digeruni

witch colobearo

Berikutan reputasi 'chillu paese' serta hikayat sumpahan akibat keceluparan Virgilio, pekan itu mula menjadi tumpuan orang ramai sebagai lokasi mistik.

Sebuah kisah yang popular menceritakan tentang seorang ahli antropologi yang hadir ke 'chillu paese' bagi mencari jalan membuang sial yang dipercayai datang dari pekan tersebut serta balasan sumpahan tindakan Virgilio.

Ahli antropologi itu merayau di sekeliling pekan bagi mencari penduduk yang boleh membantunya, sehinggalah dia terserempak dengan seorang wanita tua.

Wanita itu enggan membantunya dan secara kebetulan, semasa ahli antropologi itu berada di situ - dia dan ahli pasukan kajiannya mengalami kemalangan. Disebabkan kemalangan itulah, ahli antropologi itu percaya dia telah disumpah wanita tersebut pula.

Kisah ini mula tersebar di kalangan masyarakat setempat, sehinggakan wanita itu dirujuk sebagai 'La Cattre' atau 'ahli sihir' yang mampu menyebabkan nasib malang kepada sesiapa yang tidak disukainya.

Sejak pertemuan itu, 'chillu paese' semakin terkenal bukan saja kerana namanya dan sumpahan Virgilio - sebaliknya turut sama didakwa sebagai lokasi utama di mana ahli sihir wanita menyembunyikan diri.

Legenda 'Chillu Paese' Terus Diceritakan Kepada Anak Cucu

perarakan ahli sihir colobraro

Beberapa insiden buruk yang menimpa pengunjung yang hadir bagi menyaksikan sendiri 'sumpahan' pekan tersebut mula menjadi bualan.

Insiden kemalangan kenderaan yang kerap menimpa dipercayai berpunca daripada sumpahan pekan itu. Bencana tanah runtuh yang berlaku kepada pengunjung memperkuatkan lagi kepercayaan mereka.

Kelahiran bayi dengan dua jantung dan tiga paru-paru dikatakan petunjuk nasib malang pekan itu.

Bunyinya seakan sukar untuk dipercayai bukan? Memang. Namun bagi penduduk Colobraro sendiri, stigma yang ada terhadap mereka telah menyebabkan mereka berhadapan kesukaran dalam hidup.

Anak muda Colobraro yang perlu ke pekan bersebelahan untuk menghadiri sekolah menengah sehingga kini terus menanggung stigma masyarakat luar, bahawa mereka komuniti yang disumpah.

Polis Itali juga dikatakan tidak akan menyaman mana-mana pihak yang memandu melebihi had laju merentasi Colobraro, disebabkan rasa takut yang hadir.

Bagi penduduk Colobraro sendiri, ada yang rasa rimas dikunjungi pelancong yang hadir cuba membongkar misteri di sebalik pekan mereka. Ada yang berpendapat semua kisah sumpahan hanyalah bohong belaka.

Bagi yang kreatif, mereka mula menjadikan kisah dan hikayat pekan Colobraro ini sebagai tarikan pelancong dalam usaha memperkembangkan lagi mitos dan hikayat komuniti mereka dalam usaha menjana ekonomi setempat.

Apa saja yang ingin dilakukan, pastikan anda tidak merujuk pekan mereka dengan nama asalnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)