Membangunkan sebuah komuniti memerlukan ruangan yang besar, bagi membolehkan setiap individu dalam komuniti tersebut mempunyai kediaman, fasiliti dan kemudahan khas yang perlu dibangunkan.

Bagaimanapun bagi sebuah komuniti kecil yang hanya diwakili oleh 201 orang penduduk bernama Whittier, terletak di Alaska, Amerika Syarikat, 80% penduduk mereka menetap di sebuah bangunan 14 tingkat yang dinamakan sebagai Menara Begich.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang unik berkenaan Menara Begich, adalah sistem masyarakat yang terkandung di dalamnya. Semua fasiliti yang biasa ada di pekan-pekan seluruh dunia, berkemungkinan besar ada dibina dalam menara tersebut.

Pekan terpencil yang terasing daripada dunia

pekan whittier alaska

Untuk hadir ke pekan Whittier yang terletak lebih 90 km dari Anchorage, hanya ada satu laluan darat saja melalui sebuah terowong sepanjang 4 kilometer merentasi kawasan pergunungan atau pengunjung perlu melalui jalan air.

Keunikan terowong itu adalah laluan yang dibina hanya mempunyai satu lorong sahaja. Disebabkan oleh jalan yang sempit, untuk setiap 30 minit hanya laluan ke satu arah akan dibuka bagi mengelakkan kenderaan bertembung.

Terdapat sebuah lampu isyarat di kedua-dua pintu masuk terowong tersebut lengkap dengan pemasa, bagi membolehkan pemandu tahu berapa lama lagi mereka perlu menunggu sebelum dibenarkan melalui terowong tersebut.

Terowong itu akan ditutup pada waktu malam, sebagai langkah keselamatan.

pintu masuk terowong whittier

Whittier bermula sebagai sebuah pekan lombong emas, dinamakan sempena penyair bernama John Greenleaf Whittier sejak tahun 1915. Ketika era perang dunia kedua, pekan Whittier digunakan sebagai pengkalan tentera Amerika Syarikat, membawa komuniti tentera menjadi penduduk di situ.

Selepas tamat perang dunia kedua, menara setinggi 14 tingkat dibangunkan, mengandungi 150 buah pangsapuri untuk menempatkan tentera dan penjawat awam, dinamakan sebagai Bangunan Hodge - sebelum dijenamakan semula sebagai Menara Begich.

Kenapa komuniti Whittier tinggal dalam satu bangunan?

bangunan menara begich

Disebabkan oleh cuaca yang sukar serta angin yang kencang, mampu mencapai sehingga 98 km/j - penduduk Whittier sejak awal pembukaan menara tersebut menjadikan Menara Begich sebagai tempat berlindung.

Tidak wujud rumah-rumah kediaman tunggal di sekeliling Whittier, dengan hanya beberapa keluarga memilih untuk menetap di beberapa apartment 4 tingkat di sekitar pekan tersebut.

Semua ini berpunca daripada isu pemilikan tanah di Whittier, yang majoritinya dimiliki oleh kerajaan tempatan Alaska, diletakkan di bawah jagaan Alaska Railroad.

Disebabkan itu, sudah menjadi tradisi penduduk Whittier menetap dalam bangunan tertinggi di situ, bersesak-sesak walaupun ada kompleks 8 blok bangunan apartment di situ - yang kini dibiarkan begitu saja.

Setiap kali tiba musim panas, lebih 700,000 pelancong dari luar hadir ke Whittier bagi menjalankan aktiviti-akviti lasak seperti memancing, mendaki atau memburu.

Ketika inilah jeti di Whittier akan dipenuhi bot-bot serta kapal layar memeriahkan pekan tersebut.Inilah yang menjadi sumber pendapatan mereka setiap tahun, sama ada menjual cenderamata, menjadi pemandu pelancong, menyajikan makanan dan bermacam lagi aktiviti lain.

Kehidupan yang terpencil serta bergantung kepada musim membawa kepada kesukaran bagi sesetengah golongan dan penghijrahan keluar penduduk, khasnya anak muda mula menurunkan populasi pekan ini tahun ke tahun.

Walaupun begitu, ada juga individu dari luar yang memilih untuk hadir ke Whittier memulakan hidup baru, dengan menyewa salah satu unit pangsapuri yang ada di menara itu.

Komuniti dalam satu bangunan

taman permainan dalam menara

Kedudukannya yang terpencil menyebabkan penduduk Whittier perlu bergantung antara satu sama lain, untuk terus hidup.

Menara Begich bukan saja dijadikan unit kediaman, malahan direka supaya mampu menempatkan semua fasiliti wajib ada bagi sebuah komuniti. Terdapat taman permainan, gereja, pejabat pos, klinik, balai polis, pejabat pegawai kerajaan, kedai sewa video dan kedai dobi dibuka, diuruskan oleh penduduk setempat.

Bagi memastikan keperluan pendidikan, sekolah yang telah dibuka sejak zaman perang terus digunakan sehingga kini.

Namun sekolah itu terletak di luar bangunan, memerlukan semua pelajar berjalan kaki melalui terowong bawah tanah untuk ke sana, dibina khas sejak dahulu bagi melindungi pelajar dari cuaca yang ekstrim.

Di bangunan tersebut, hanya terdapat dua kedai kecil menjual barangan runcit dengan stok terhad.

Seandainya mereka perlu menambah atau mendapatkan barangan yang tiada bekalan, wakil penduduk akan perlu memandu ke Anchorage yang terletak lebih sejam perjalanan.

Dalam era pandemik Covid-19, itu adalah satu tindakan yang sangat berisiko tinggi.

Ancaman Covid-19 yang dahsyat

begich towers whittier

Tinggal dalam keadaan sempit serta bersesak, berkongsi sistem salur udara yang sama meninggikan risiko penduduk Whittier - seandainya ada di kalangan penduduk dijangkiti Covid-19.

Langkah-langkah pencegahan telah dijalankan penduduk, di mana tatacara pemakaian topeng serta penjarakan sosial diamalkan sebaik mungkin. Lif yang ada hanya dibenarkan untuk kegunaan 1 individu atau 1 keluarga dalam satu-satu masa, termasuklah tangga.

Akses keluar masuk diawasi dan pergerakan penduduk juga terpaksa dihad dan dipantau. Terowong akses ke pekan mereka juga mula dikawal selia siapa masuk dan keluar.

Langkah pencegahan yang diamalkan berjaya untuk beberapa bulan - sebelum Covid-19 akhirnya 'sampai' ke Menara Begich, selepas satu keluarga seramai 6 orang didapati positif, dijangkiti semasa hadir di Anchorage. Kesemuanya diminta menjalankan kuarantin 2 minggu dengan bekalan makanan disediakan oleh komuniti mereka setiap hari.

Setakat ini belum ada kematian berlaku di pekan itu.

Walaupun demikian, pandemik yang melanda benar-benar mengubah nasib Whittier yang sangat bergantung dengan industri pelancongan. Industri itu menyumbang kepada 40% sumber ekonomi pekan tersebut.

Kapasiti restoran yang dihadkan serta syarat himpunan tidak melebihi 10 orang dalam satu-satu masa, mengakibatkan Whittier sunyi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dianggarkan kerugian yang bakal ditanggung oleh pekan kecil ini yang sangat unik sistemnya, berjumlah RM3.2 juta keseluruhannya akibat daripada kesan pandemik.




Hakcipta iluminasi.com (2017)